Kenyataan Media Parti Rakyat Malaysia (PRM) Mengapa Kawal Kemasukan Beras?
PRM bersetuju bahawa dari segi keselamatan memang perlu diadakan kawalan ketat di sempadan negara. Oleh itu memang tidak ada alasan kuat untuk menentang tindakan pemerintah mengadakan sekatan lalu lalang bebas melalui jalan sungai di sempadan Malaysia-Thai, dan juga sekatan ke atas pembawaan masuk beras dari Thailand ke Malaysia. Peristiwa serbuan dan melarikan senjata dari kem 304 Wataniah di Pengkalan Hulu baru-baru ini tentu memperkuat lagi alasan tindakan pemerintah itu.
Tetapi tiap-tiap tindakan pemerintah mesti mengambil kira juga kesannya ke atas rakyat ramai. Akibat daripada sekatan-sekatan ini, harga barang seperti bawang dan beras telah naik dan membebankan rakyat Malaysia di kawasan sempadan Malaysia-Thai itu. Misalannya, harga bawang yang dulu cuma RM1.50 sudah naik sampai hampir sekali ganda. Harga beras juga menunjukkan tanda semakin meningkat. Beras dari Siam ialah jenis mutu tinggi yang tidak dikawal harga.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri ketika mengumumkan sekatan membawa masuk beras, tidak menerangkan dengan sepenuh-penuhnya apakah tujuannya, selain dari keselamatan. Sekarang ini telah timbul soalan, adakah satu lagi tujuannya ialah untuk memperkukuh kedudukan monopoli BERNAS (Beras Nasional) sebagai pengimport tunggal beras dari Thailand? Adakah ini benar? Lagi pula, mengapakah perlu diadakan unit pengawalan khas? Adakah polis dan kastam secara sendirian tidak boleh dipercayai? Atau adakah ini cara untuk menggunakan alat pemerintah bagi melindungi kepentingan perniagaan BERNAS?
Ada pula dakwaan bahawa BERNAS mengadakan usaha sama dengan sebuah syarikat di Thailand untuk mengimport beras Thai bermutu tinggi ini. Mengikut dakwaan yang sama, syarikat ini bukannya kepunyaan Thai, tetapi dimiliki oleh rakyat Malaysia. Adakah ini benar? Jikalau benar, perlu dijelaskan siapa sebenarnya di belakang syarikat ini. Dengan kerjasama ini, kedudukan monopoli BERNAS akan lebih kuat. Kekuatan monopoli ini boleh digunakan pula untuk menaikkan harga beras import itu.
Untuk memastikan kenaikan harga beras tidak membebankan rakyat sempadan, yang rata-rata bergantung hanya kepada beras luar selama ini, PRM mencadangkan dua langkah. Pertama, beras bermutu tinggi yang diimport, sama ada dari Thailand, Vietnam dll. hendaklah dimasukkan dalam senarai barang-barang yang dikawal harganya. Kedua, hendaklah dikeluarkan permit bagi satu dua syarikat pengimport yang lain supaya berlaku persaingan sihat yang boleh menurunkan harga beras dari Thai itu. Langkah-langkah ini tidak harus menjejaskan pasaran dan harga pasaran beras tempatan, yang bekalannya memang tidak cukup. Kepentingan dan kebajikan rakyat ramai perlu dilindungi.
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
4hb Julai 2000