Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Kubu Kumpulan Perompak Senjata dibina dengan Terancang

KUALA KANGSAR, 7 Julai (Bernama) -- Kubu dan tempat bersembunyian kumpulan perompak senjata api tentera di Bukit Jenalek, Sauk mempunyai lapan parit di sekelilingnya. Menurut pasukan keselamatan yang menyiasat kem persembunyian itu pagi ini kubu itu juga mempunyai bekalan air minum dari sebuah mata air.

Siasatan juga mendapati "trip flare" dipasang di sekeliling kubu itu untuk mengesan jika ada anggota keselamatan memasuki kawasan itu, kata seorang pegawai yang menyertai siasatan tersebut.

"Trip flare" ialah sejenis alat yang dipasang di tanah dan apabila dipijak ia mengeluarkan cahaya.

Kubu itu yang terletak dekat Kampung Ngor, kampung ketua kumpulan itu, Mohd Amin Mohd Razali, tidak begitu besar tetapi mempunyai tempat memasak dan sebuah khemah untuk berehat.

Pasukan keselamatan juga menemui dua tali nilon biru tergantung dari sebatang pokok durian dalam kawasan kubu itu, yang dipercayai digunakan untuk menggantung kedua-dua anggota pasukan keselamatan yang dibunuh mereka dengan cara sangat kejam pada Selasa dan Rabu lepas.

Kedua-dua anggota pasukan keselamatan itu ialah Detektif Koperal R Sagadevan, 48, anggota polis cawangan khas dari ibu pejabat polis daerah Kuala Kangsar dan Prebet Mathew A/K Medan, 20-an, dari Pasukan Gerak Khas Kem Terendak.

Sagadevan yang pecah kepalanya akibat ditembak dan Mathew pula yang hancur kakinya, telah ditanam dalam sebuah kubur berukuran enam kaki panjang dan empat kaki lebar dalam kedudukan bertindih, Mathew di bawah dan Sagadevan di atas.

Beliau berkata kedudukan kubur itu adalah kira-kira 20 meter dari tempat tali nilon itu digantung dan terletak di bawah sebuah bukit kecil dalam kawasan persembunyian kumpulan itu.

"Kubur itu penuh dengan lalat dan ulat," katanya.

Kubu itu juga dipenuhi dengan beratus-ratus kelongsong peluru pelbagai senjata termasuk senjata automatik jenis M16 dan M203, katanya. Lebih 100 pelbagai jenis senjata api yang dirompak oleh kumpulan itu dari dua kem tentera di Gerik Ahad lepas yang disimpan di kubu itu, hari ini diangkut ke Balai Polis Kati, kira-kira 15 km dari kawasan itu.

Antara senjata yang dilarikan kumpulan jenayah ini dalam tiga buah kenderaan pacuan empat roda berwarna serta bernombor kenderaan tentera, ialah senjata automatik M-16, raifal automatik M203, mesingan pelbagai guna dan mesingan jenis ringan.

Mereka kemudian bersembunyi di kubu yang mereka bina, bersama 12 lagi anggota kumpulan itu.

Kubu itu sangat dekat dengan rumah bapa Mohd Amin. Kesemua mereka telah menyerah diri semalam dengan lima cedera, termasuk tiga yang parah. -- BERNAMA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com