keADILan/04/01(10/00)
27 Julai 2000
Yang Berbahagia
Tan Sri Musa Hitam
Pengerusi SUHAKAM
Kementerian Luar Negeri
Wisma Putra
50602 Kuala Lumpur
YBhg. Tan Sri,
Assalamuālaykum wa rahmatuLlahi wa barakatuh
Saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk menyatakan penghargaan Parti Keadilan Nasional [keADILan] kepada YBhg. Tan Sri dan ahli-ahli Suruhanjaya di atas inisiatif yang diambil oleh pihak SUHAKAM untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkaitan mengenai isu kebebasan mengadakan perhimpunan aman, sepertimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara.
keADILan merasa terpanggil untuk merakamkan desakan kami kepada semua pihak yang berkewajipan di negara ini untuk menghormati perkara 10 di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan berpesatuan. Peruntukan mulia Perlembagaan yang jelas memaktubkan bahawa semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata; sejak akhir-akhir ini telah tidak dihormati lagi oleh pemerintah.
Oleh itu keADILan menyarankan agar pihak SUHAKAM di bawah pimpinan YBhg. Tan Sri meneruskan inisiatif mulia yang telah dilakukan itu untuk mengembalikan hak berhimpun secara aman di negara ini.
Kami percaya kebebasan mengadakan perhimpunan aman tidak akan menggugat kedudukan negara dalam apa bentuk sekalipun. Malah amalan sebegini akan mempertingkatkan keyakinan semua bahawa demokrasi masih benar-benar hidup di negara ini.
Bagi keADILan, perhimpunan aman adalah hak asasi yang mesti dipertahankan oleh setiap pencinta kedaulatan rakyat dan negara. Kami mendoākan agar mereka yang berjuang mempertahankan hak-hak asasi rakyat Malaysia sentiasa dilimpahi barakah Yang Maha Esa.
Sekian. Terima kasih.
MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
s.k. 1. Presiden
2. Timbalan Presiden
3. Akhbar-akhbar Tempatan