Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Berdendam nafikan keadilan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan baru pilihan rakyat Terengganu tidak akan mengamalkan sikap berdendam kepada pembangkang kerana ia menafikan keadilan dilaksanakan untuk semua.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong berkata, rakyat akan diberi layanan yang sama samada penyokong kerajaan atau pembangkang. Mereka yang berhak menerima bantuan kerajaan termasuk kebajikan, rumah dan lain-lain akan diberi hak mereka sewajarnya tanpa mengira sama ada mereka menyokong kerajaan atau tidak.

Haji Wan Abdul Muttalib berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Khatam al-Quran di Perkarangan Masjid Raja Chendering, baru-baru ini. Seramai 92 pelajar termasuk 28 lelaki dan 64 perempuan tamat membaca al-Quran di bawah bimbingan enam guru al-Quran di kampung berkenaan yang diketuai oleh Haji Arifin Taib.

Haji Abdul Muttalib seterusnya meminta rakyat mengembelingkan tenaga., mengatasi masalah keruntuhan moral dikalangan belia akibat pengaruh media dan budaya kuning. Beliau berkata, golongan belia begitu cepat terpengaruh dengan budaya tidak bermoral yang disalurkan melalui siaran televisyen dan jika tidak dibendung ia akan merosakkan akhlak belia hari ini.

Justeru itu katanya, rakyat perlu memberi perhatian serius terhadap pendidikan anak-anak dan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam pendidikan mereka.

Penolong Pengarah Khidmat Masyarakat dan Dakwah Yayasan Islam Terengganu, Fadluldin Mohamad dan pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat Kampung Raja, Mamat Ngah turut berucap di majlis berkenaan.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com