Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Royalti minyak hak rakyat

KUALA TERENGGANU : Bapa Saudara Sultan Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja memuji Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Mohd. Hassan Marican kerana mempertahankan hak memberi lima peratus royalti petrolium kepada Kerajaan Negeri.

Tengku Sri Paduka Raja juga memuji bekas Perdana Menteri Allahyarham mencadangkan royalti diberi kepada Terengganu tanpa dihadkan tempoh masa persetujuaan tersebut. Perjanjian Royalti Petroleum 1975 antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS disiarkan sepenuhnya dalam WARTA keluaran lepas. Tengku Sri Paduka Raja berkata, kerajaan kini bukan berkuasa melalui rampasan kuasa dan tidak berkuassa dengan cara membeli wakil-wakil rakyat seperti berlaku di beberapa buah di negara ini.

"Saya percaya pemberian ini adalah ikhlas yang ditujukan kepada rakyat Terengganu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini. Beliau percaya ada pihak yang dengki terhadap perolehan royalti sekitar RM810 juta tahun ini. Difahamkan ia mungkin meningkat sehingga RM1 billion melihat kepada perkembangan kenaikan harga minyak dunia mutakhir ini. Beliau menyifatkan mana-mana pihak yang mengaku anak watan Negeri Terengganu yang berusaha menghalang pemberian hasil minyak kepada rakyat Terengganu sebagai pengkhianat rakyat dan negeri.

"Saya percaya, pihak-pihak tertentu bimbang wang berkenaan dimanfaatkan dengan baik oleh kerajaan baru tidak seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu," katanya. "Jangan ada mana-mana pihak yang memandang serong dan memperkecilkan kebolehan Kerajaan Negeri Terengganu ini," tambahnya. Mereka dipilih dan dilantik melalui saluran demokrasi iaitu melalui pilihanraya umum yang sah.

"Semua pihak mesti menerima hakikat ini," tegasnya. Tengku Sri Paduka percaya Kerajaan Baru Terengganu hari ini amat peka akan tanggungjawab sebagai pemerintah berteraskan islam. Katanya, sejak ia memerintah, rakyat sudah menikmati pelbagai kesenangan dan kemudahan termasuk bayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud dimansuhkan, cukai pintu rumah kediaman dibatalkan dan lain-lain.

Beliau mengakui perkara-perkara yang mahu dilaksanakan tidak boleh dilakukan dengan sekelip mata. Undang-undang Negeri dan Persekutuan perlu dikaji sebelum sesuatu perkara diputuskan dan diluluskan. "Ini tentu sahaja akan mengambil masa," katanya. Beliau berharap bayaran royalti minyak terus dubuat sebagaimanan di dalam perjanjian. "Hak rakyat perlu dihormati oleh semua pihak," tegasnya lagi.

Warta Terengganu


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com