Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


PANDUAN PERHIMPUNAN 4 OGOS, 2000

1. Ikut kumpulan orang ramai. Jangan pisahkan diri anda daripada orang ramai dan penyokong reformasi

2. Ikut arahan pemimpin yang dikenali. Kalau mereka berceramah, dengar ceramah mereka. Kalau mereka minta menyanyi atau melaungkan slogan, barulah ikut pemimpin.

3. Sentiasa tenang, waspada, tengok sekeliling, ikut arahan pemimpin/aktivis reformasi atau seseorang yang dikenali & dipercayai.

4. Jangan ikut hati sendiri sebab kumpulan demonstrasi akan jadi lemah apabila kita berpecah. Bertindak dalam kumpulan ramai. Bersatu kita teguh.

5. JANGAN bawa senjata, kayu, besi, pisau, batu atau benda tajam dalam pakaian. Jangan terlibat membaling batu, mengeluarkan kata-kata kesat, jangan terlibat dengan kumpulan/orang yang merosakkan harta awam. Jauhi kumpulan ini.

INGAT: Perhimpunan ini perhimpunan aman.

6. Jika anda dipukul (dan tidak dapat melepaskan diri) oleh seseorang, sama ada berpakaian seragam atau pakaian biasa, selamatkanlah bahagian kepala. Anda berhak mempertahankan diri anda. Jika anda dipukul atau ditahan oleh seseorang yang tidak mempunyai tanda pengenalan (kad kuasa), MINTA TUNJUKKAN kad kuasanya dahulu.

7. Jangan ikut orang tidak dikenali. Selalu bersama pemimpin yang dikenali.

8. Sebaik-baiknya pergi ke tempat perhimpunan dengan sekurang-kurangnya 1 atau 2 orang orang kawan. Sila beritahu rakan dan keluarga sebelum pergi berkumpul.

9. Pakaian mestilah sesuai, misalnya wanita tidak boleh memakai kasut bertumit tinggi, atau kain ketat. Seluar, T-shirt dan kasut yang selesa dan mudah berjalan cukup sesuai.

10. Jangan bawa anak-anak kecil atau anak yang masih bersekolah.

11. Jika ada kamera, bawa kamera dan ambil gambar orang-orang yang mencurigakan dan kejadian-kejadian ganas (rancangan SB polis). Sila bawa air mineral supaya mudah menghilangkan dahaga.

12. Jika dikejar polis, jangan lari sehingga keluar arahan pemimpin. Jika pemimpin minta bertahan, ikut arahan pemimpin. Jika mahu beredar, pastikan beralih di kawasan orang ramai. Jangan bergerak di kawasan sunyi dan tersorok sebab polis (SB) senang membelasah. Polis takut memukul dan menumbuk di depan orang ramai.

13. Jika ditangkap, berikan nama penuh dan nombor telefon (orang yang boleh dihubungi) kepada pemerhati-pemerhati daripada Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), Suaram (Suara Rakyat Malaysia) dan aktivis-aktivis reformasi (yang mengumpul nama-nama orang yang ditahan).

14. Sebaik-baiknya sebelum keluar rumah, sediakan sekeping kertas kecil dan tulis nama penuh anda (dan juga nombor telefon & nama kawan/keluarga yang boleh dihubungi). Campakkan atau berikan kepada Suhakam dan Suaram yang sedang bertugas.

15. (Jika ditahan dan disoal-siasat). Berikan nama penuh, nombor Kad Pengenalan, alamat rumah, nombor telefon rumah dan pekerjaan SAHAJA. Apabila polis bertanya soalan-soalan lain, jawab kepada polis itu: "Saya akan JAWAB DI MAHKAMAH"

16. (Jika ditahan di dalam lokap). Pastikan anda dibenarkan memakai seluar panjang dan baju. Mengikut peraturan lokap, seseorang yang ditahan MESTI dibenarkan memakai baju dan seluar (dan cermin mata).

17. (Jika berada di lokap). Kalau anda mempunyai penyakit atau berasa sakit, beritahu pegawai polis dan minta kebenaran untuk dibawa ke hospital. Polis MESTI bawa anda ke hospital.

18 (Jika ditahan di dalam lokap). Kalau anda mempunyai "pantang", sila beritahu polis jenis-jenis makanan yang anda boleh makan atau tidak boleh makan.

19. (Jika dibawa mahkamah). Segera jumpa peguam dari Majlis Peguam Malaysia. Beritahu masalah anda dalam tahanan. Jika anda cedera, sakit atau dipukul polis, beritahu peguam dengan segera. Jika polis tidak ikut peraturan lokap, beritahu segera kepada peguam.

20. Jika anda mengesyaki rakan atau keluarga anda ditahan polis, sila hubungi pejabat Suaram dengan segera. Berikan nama penuhnya dan nombor kad pengenalannya. Anda juga boleh membuat panggilan ke balai polis dan bertanya (minta sambung ke bahagian pertanyaan) rakan/keluarga yang disyaki ditahan polis.

Jawatankuasa Reformasi Kuala Lumpur
2 Ogos 2000
SILA FOTOSTAT banyak-banyak dan EDARKAN ketika perhimpunan 4 Ogos (Jumaat, 8 pagi)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com