Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Aku dan internet

Pengalaman dengar ceramah

Pujian harus diberikan kepada warga kerja Tranung Kite, Mimbar2000 dan beberapa laman web yang menyediakan koleksi ceramah dan kuliah. Atas idea dan usaha gigih mereka maka dapatlah saya dan rakan-rakan mendengar ceramah. Walaupun tidak secara on-line tetapi, sesuatu yang menarik telah berlaku dan wajar dikongsi bersama.

Pada peringkat permulaan saya hanya mendengar koleksi ceramah secara persendirian sama ada di pejabat atau di rumah. Di pejabat saya gunakan waktu rehat tengahari sepenuhnya. Apabila tiba waktu rehat, saya akan tergesa-gesa ke café/kantin untuk membeli nasi bungkus. Dapat nasi bungkus, balik ke pejabat dan mula mencari koleksi ceramah dalam internet. Sambil menikmati nasi bungkus, mendengar ceramah. Kadang-kadang ceramah lagi sedap dari nasi bungkus, dan kadang-kadang sebaliknya.

Kalau ada masa, lepas waktu pejabat saya buka lagi koleksi ceramah dalam internet. Tak kiralah lama atau baru.

Lama kelamaan, aktiviti saya menarik minat beberapa orang kawan. Sekarang, waktu rehat merupakan waktu yang paling meriah di pejabat saya bagi menikmati nasi bungkus dan mendengar ceramah dari internet. Ada sesetengah ceramah yang kami dengar berulang-ulang. Macam dengar lagu juga, lagu yang sedap kita dengar berulang-ulang.

Aktiviti berikutnya adalah di rumah. Hujung minggu, saya akan jemput kawan-kawan untuk mendengar ceramah menerusi internet di rumah saya. Seronok kalau dapat berkumpul sesama kawan-kawan, berbincang pasal politik semasa, menambah pengetahuan melalui kuliah/ceramah dan sebagainya.

Kini kami tertunggu-tunggu sesi ceramah BA yang seterusnya.

Saya yakin pengalaman saya boleh diikuti oleh warga cyber yang lain. Tidak semua diantara kita rakyat Malaysia yang mampu memiliki pc di rumah. Apa salahnya jika kita tumpangkan pc kita menghebahkan apa yang pemimpin BA ucapkan.

Begitu juga di pejabat. Tidak semua rakan pejabat kita yang ada pc. Ada juga yang ada pc tapi disekat daripada melayari internet. Maka sumbangan kita itu, walaupun kecil, insyaAllah besar manfaatnya.

Tidak dinafikan kadang-kadang ada gangguan siaran dan sebagainya. Namun begitu, saya ingin memberikan sedikit pandangan bagi memperbaiki prestasi mutu siaran dan melebarkan lagi sayap perjuangan.

Setiap pemimpin BA perlu mempunyai pasukan internet sendiri. Pasukan ini ditugaskan untuk merakam dan menyalurkan ucapan ke internet. Dengan cara ini beban kerja tidak dibebankan kepada web master semata-mata. Saya yakin lebih banyak koleksi ceramah dapat dikumpul dari seluruh negara dan tidak terhad kepada Kelantan dan Terengganu sahaja. Web master atau mereka yang berpengetahuan pula perlu memberikan kerjasama dengan memberikan tunjuk ajar kepada pasukan yang ditubuhkan.

Antara pasukan di atas dan web master perlu saling lengkap melengkapi. Jika sesuatu siaran ada gangguan maka pihak yang lagi satu dapat memberikan backup yang sewajarnya. Misalnya melalui rakaman pita dan sebagainya.

Esok, cuti merdeka. Saya ambil cuti sehari untuk melengkapi cuti 4 hari. Saya ada rancangan untuk membawa balik pc saya ke kampung. Maka dapatlah nanti keluarga dan orang kampung saya nanti mendengar koleksi ceramah menerusi internet.

Sekian

akmal_aura@yahoo.com


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com