Kelahiran Universiti Teknologi MARA, memperlihatkan satu wadah baru dalam
agenda pemusnahan syiar dan syariat Islam. Entah apa yang didengki kan pada nama
Islam sehinggakan sebahagian daripada Persatuan berteraskan Islam di UiTM
seperti ADASI, PKPIM dan PAKAR menjadi mangsa pengguguran nama Islam pada
Persatuan. (Rujuk Perlembagaan Persatuan UiTM)
BAHAGIAN II
PERSATUAN
PERKARA 3
Penubuhan Persatuan.
(1) Maka adalah ditubuhkan suatu persatuan pelajar yang hendaklah dikenali
sebagai "Persatuan …………………..……., Universiti Teknologi MARA" di bawah Seksyen 8,
Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.
(2) Persatuan yang ditubuhkan di bawah Fasal (1) tidak dibenarkan menggunakan
apa-apa nama -
(a) negeri, wilayah, daerah, mukim, kampung atau apa-apa nama lain yang membawa
maksud kenegerian atau kedaerahan;
(b) agama atau kepercayaan atau apa-apa nama lain yang membawa maksud keagamaan
atau kepercayaan; dan
(c) mana-mana kumpulan etnik atau suku kaum,
pada nama Persatuan.
(3) Persatuan adalah dibenarkan bekerjasama, berhubung atau bersekutu dengan
mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang di luar Universiti
tetapi kerjasama, perhubungan atau persekutuan ini adalah tertakluk kepada
kelulusan bertulis Menteri atau wakilnya.
Merujuk kepada fasal 2 (b) jelas menunjukkan sikap pengurusan UiTM terutamanya
Naib Canselor yang tidak sensitif dengan agama dan kepercayaan. Tanpa sebarang
perbincangan dengan pimpinan-pimpinan persatuan, UiTM mengeluarkan perlembagaan
baru yang jelas memusuhi agama dan kepercayaan.
Selepas pengurangan kursus Universal Islamic Studies (UIS) daripada 6 semester
ke 3 semester, permusuhan terhadap agama semakin menular ke peringkat
persatuan-persatuan dalaman. Apa yang jelas di dalam isu kursus UIS ialah subjek
201 : Pemikiran Islam semasa (Untuk semester 3) digantikan dengan 251 : Tamadun
Islam (Untuk semester 4). Sebagai makluman, di dalam silibus 201, menjelaskan
tentang ideologi-ideologi semasa yang bertentangan dengan Islam seperti
sekularisme, nasionalisme, kapitalisme dan sebagainya. Perkara ini juga dapat
menjelaskan kedudukan negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam atau tidak,
berdasarkan kepada dasar-dasar dan perbandingan dengan ilmu-ilmu Islam.
Permasalahan gejala sosial yang berterusan di kalangan mahasiswa UiTM juga
merupakan satu perkara yang tidak selari dengan ketaqwaannya UiTM. Sekiranya
agama sudah dijauhkan, pendidikan Islam diabaikan, maka tidak hairanlah perkara
kebejatan akhlak berlaku walaupun seorang itu bergelar mahasiswa.
Program-program UiTM pula sibuk dengan kursus bahasa Inggerisnya seperti BEL,
ELM dan sebagainya sehingga ke peringkat ijazah. Wal hal ianya sebagai satu
"ilmu alat" yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Akan tetapi kursus
pendidikan Islam yang mampu menjadi pembina insan menjadi mangsa pemendekan
program atas alasan tidak perlu dan memadai dengan 3 semester sahaja.
Proses menjauhkan golongan mahasiswa dengan agama berjalan dengan lancar di
UiTM pada masa kini. Alasan tidak mencampur adukkan agama dan kegiatan keilmuan
menjadi asas sekularistik UiTM untuk berhujah.
Nama Islam merupakan satu syiar yang dilaungkan pada setiap persatuan. Apa yang
tercatit pada nama, itulah perjuangannya. Adakah UiTM sudah cukup Islamnya
sehingga tidak perlu ada nama pada persatuan-persatuan dalaman mahasiswa?
Bagaimana pula dengan Pusat Khidmat Islam Bersepadu (PKIB) dan Pusat Pendidikan
Islam (PPI) UiTM? Adakah mencukupi dengan kewujudan dua Pusat tersebut untuk
memperlihatkan Islamnya UiTM?
Atas asas-asas inilah maka di manakah taqwanya UiTM yang dilaung-laungkan di
dalam lagunya, objektifnya dan misinya?
Misi UiTM :
Membangun generasi Bumiputera supaya menjadi profesional, berilmu,
berinovasi, berdaya saing, bertaqwa dan mampu menerajui pembangunan.
Pertikaian berterusan tentang kepada apa atau kepada siapakah UiTM
bertaqwa…..?
Alim Mujahid
FBM, UiTM