Sejak tercetusnya peristiwa rompakan senjata ATM oleh sekumpulan orang yang disebutkan sebagai kumpulan al-Ma`unah di Sauk, isu mengenai Amanat Haji Hadi diungkitkan semula dalam akhbar-akhbar perdana seperti bertih digoreng bunyinya. Isu tersebut menjadi relevan semula walaupun telah hampir dua puluh tahun berlalu kerana kononnya akibat amanat itulah maka kumpulan al-Ma`unah itu 'bangkit menentang kerajaan untuk mati syahid'. Menariknya, isu dan peristiwa itu muncul berderetan selepas perwakilan UMNO mencadangkan supaya kerajaan mengharamkan nama Islam dalam PAS, yang dikatakan menjadi sebab utama undi terhadap UMNO/BN merosot teruk kerana PAS 'memperalatkan Islam' dalam kempen mereka. (Sepatutnya UMNO mengambil langkah menggunakan juga nama 'Islam' itu, umpamanya memperkenalkan parti itu sebagai 'Parti Islam UMNO Baru' supaya pengundi tertarik dengannya, bukan melarang orang lain memakainya.)
Sebelum pilihanraya yang ke-10 yang lalu, sebenarnya telah terpapar wacana panjang (hampir satu muka surat penuh) seorang pangarang akhbar perdana (Abdullah Hassan dalam Mingguan Malaysia 13/6/99 - Amanat Haji Hadi bawa padah) tentang amanat itu, tetapi ia tidak berlarutan kerana asasnya hanyalah semata-mata hendak mencari punca tuduhan bahawa PAS telah mengkafirkan UMNO. Walau bagaimanapun, ia menjadi hangat semula apabila berlakunya tragedi Sauk oleh kumpulan militan yang bergelar al-Ma`unah, yang mana dikatakan sebahagian besar anggotanya adalah ahli PAS yang hendak berjuang menentang kerajaan secara bersenjata dan bercita-cita mati syahid.
Nah! Inilah bukti kesan Amanat Haji Hadi terhadap masyarakat yang sejak sekian lama disogok dengan kempen membenci kerajaan (sebenarnya pihak kerajaan pun tidak pernah bercuti atau berehat daripada kempen 'membenci' pembangkang melalui media perdana yang dimonopoli mereka, sepatutnya kerajaan marahkan pembangkang jika pihak kerajaan telah menjalankan kempen 'menyayangi' pembangkang…) kerana dalam amanat itu terdapat seruan untuk mati syahid.
Sejak tragedi Sauk, maka bersahut-sahutanlah pembicara politik semasa mengambil bahagian dalam menghukum amanat yang kontroversi itu, terutamanya orang surat khabar, terutamanya lagi dua buah surat khabar itu, lebih-lebih lagi orang seperti Awang Sulung dan Astora Jabat. Bagi Astora Jabat, ianya amat menguntungkan profesionalismenya kerana banyak modal untuk memenuhi ruang mingguannya yang selalu dihiasi 'dusta agama'.
Sebelum kita membicarakan lebih lanjut tentang amanat tersebut, eloklah kita rakamkan di sini kandungannya yang dikatakan sebagai bukti PAS mengkafirkan UMNO, terjadinya solat dua imam dan paling kritikal tragedi Sauk.
Amanat itu berbunyi, "SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN, PERCAYALAH, KITA MENENTANG UMNO BUKAN KERANA NAMA DIA UMNO. KITA MENENTANG BARISAN NASIONAL, BUKAN KERANA NAMA DIA BARISAN NASIONAL. KITA MENENTANG DIA KERANA DIA MENGEKALKAN PERLEMBAGAAN PENJAJAH, MENGEKALKAN PERATURAN KAFIR, MENGEKALKAN PERATURAN JAHILIYYAH.
OLEH KERANA ITULAH KITA BERJUANG MELAWAN MEREKA. PERCAYALAH SAUDARA, PERJUANGAN KITA ADALAH JIHAD, UCAPAN KITA ADALAH JIHAD, DERMA KITA ADALAH JIHAD, DAN KERANA KITA BERJUANG DENGAN PUAK-PUAK INI, KALAU KITA MATI KERANA BERLAWAN INI, MATI KITA ADALAH MATI SYAHID, MATI KITA ADALAH MATI ISLAM.
KITA TIDAK PAYAH MASUK YAHUDI, KITA TIDAK PAYAH MASUK KRISTIAN, KITA TIDAK PAYAH MASUK HINDU, KITA TIDAK PAYAH MASUK BUDHA, TETAPI KITA MENJADI KAFIR DENGAN MENGATAKAN POLITIK SUKU AGAMA SUKU".
Inilah dia amanat yang amat kontroversi itu. Kontroversi kerana UMNO berpendapat ianya bercanggah dengan Islam, sedangkan PAS berpandangan tiada apa-apa yang menyalahi Islam dalam amanat itu dengan menyimpulkan ianya hanyalah sebagai suatu amanat untuk menerangkan batas-batas antara iman dan kufur. Namun dakwaan UMNO bahawa amanat itu bercanggah dengan Islam hanyalah dakwaan yang berbau politik kepentingan sekular semata-mata, bukan dakwaan yang ikhlas atas dasar untuk mencegah sesuatu yang bercanggah dengan Islam (kemungkaran). Ketidak ikhlasan ini dapat dilihat dengan jelas terhadap sikap UMNO terhadap kemungkaran dan percanggahan yang lain, di mana tiada usaha untuk mencegahnya, bahkan kadang-kadang UMNOlah yang mempertahankannya atas alasan-alasan yang tidak syar`ie.
Amanat tersebut diucapkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika berceramah biasa di sebuah kampung (Banggol Peradong, yang hanya beberapa minit perjalanan dari kampung kelahiran saya) di daerah Kuala Terengganu pada 1981, di mana ketika itu amat ramai orang (boleh diagak daripada puak mana orang itu…) mempersendakan Islam seperti berkata "…kalau nak ikut semua hukum Islam kita tak boleh bergerak!", "…kalau hudud dijalankan, ramailah orang kudung tangan…", "…kalau hukum rejam diamalkan, kita tak boleh buat jalan raya kerana kehabisan batu…" dan pelbagai ucapan persendaan yang tidak wajar keluar daripada mulut orang yang mengaku beriman.
Tiba-tiba ucapan biasa dalam ceramah itu dicetak dan diedarkan ke seluruh negara oleh pihak yang tidak dapat dipastikan permulaannya, tetapi bukan dengan arahan pucuk pimpinan atau Haji Hadi sendiri. Oleh kerana ianya tidak dianggap bersalahan dengan Islam, maka PAS pun tidak melarang ianya diedarkan. Sama ada setuju atau tidak, hakikatnya Haji Hadi adalah antara ulama di Malaysia yang dipakai cakapnya dalam hukum agama. Hasilnya, sejak sepuluh tahun yang terakhir ini orang-orang yang dahulunya amat celupar mempersendakan hukum-hukum Islam, kini tidak berani lagi.
Berbalik kita kepada sebab yang menjadikan amanat itu sebagai kontroversi, iaitu persoalan apakah ianya bercanggah dengan Islam. Sebagai muslim dan mukmin, kita tidak boleh meletakkan hukum salah atau tidak pada pandangan Islam berdasarkan cakap si polan bin si polan walau setinggi mana pun kedudukannya sama ada dalam PAS atau dalam UMNO. Sebaliknya cakap seseorang itu diterima sebagai hukum Islam apabila ada rujukan kepada al-Quran dan hadis sahih. Inilah adalah perkara yang wajib disepakati oleh orang yang mengaku sebagai muslim kerana ini arahan Allah s.w.t. (al-Nisa': 59, 65 dll.)
Atas semangat sebagai seorang Islam, saya menyelidiki amanat itu tanpa cenderung kepada mana-mana pihak sama ada PAS atau UMNO (dulu saya menyokong UMNO atas beberapa sebab, sekarang sokong PAS atas banyak sebab, tetapi tidak pernah menganggotai mana-mana parti itu). Kecenderungan saya hanyalah kepada kehendak al-Quran dan hadis yang sahih berdasarkan bekalan ilmu yang saya pelajari secara serius bermula di al-Azhar.
Apa yang saya fahami daripada hujah UMNO yang mengatakan amanat itu bercanggah dengan Islam ialah tentang 'syahid jika mati kerana melawan puak-puak ini' (UMNO/BN). Itulah perkara yang paling sensitif di sisi UMNO, kerana mereka faham hanya kematian yang disebabkan oleh perlawanan dengan orang kafir sahaja yang boleh diklasifikasikan sebagai mati syahid. Dengan itu mereka membuat konklusi bahawa orang PAS telah mengkafirkan orang UMNO.
Sebelum kita bahaskan tentang sebab-sebab syahadah (mati syahid), apakah ianya hanya kematian yang bersebabkan jihad bersenjata melawan kafir harbi (kafir yang harus diperangi) atau ada sebab-sebab lain yang boleh membawa syahadah, eloklah kita bahaskan dari perspektif Islam setiap satu daripada perenggan amanat itu.
Perenggan yang pertama:
Menerangkan sebab PAS berjuang secara demokrasi (bukan secara kekerasan atau bersenjata) melawan UMNO/BN, bukan kerana namanya UMNO atau Barisan Nasional, tetapi kerana parti perikatan yang sedang memerintah Malaysia itu mengekalkan (melalui kuasa majoriti lebih dua pertiganya) perlembagaan warisan penjajah, peraturan kafir atau jahiliyyah.
Apakah benar UMNO/BN mengekalkan peraturan penjajah, kafir atau jahiliyyah ke atas negara majoriti umat Islam Malaysia ini?
Berdasarkan aqidah Islam, iman itu bermakna kepercayaan dengan penuh yakin, pengucapan dengan lidah dan pengamalan dengan anggota terhadap segala yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan hadis yang sabit daripada baginda (makna sebuah hadis riwayat al-Bukhari). Antara rukun iman yang wajib dipegang ialah keyakinan terhadap al-Quran sebagai kitab wahyu yang terpelihara daripada perubahan (Surah al-Hijr: 9). Ianya adalah natijah kepada iman kepada Allah s.w.t. (rukun iman yang pertama) yang menurunkan al-Quran itu. Ertinya, sesiapa yang mengaku beriman dengan Allah s.w.t., wajiblah beriman dengan al-Quran secara keseluruhannya. Jika tidak, ia dikira kafir kerana tidak beriman dengan apa yang Allah s.w.t. suruh imankan, antaranya kitab suci al-Quran. Tidak percaya atau ragu-ragu terhadap sebahagian kecil daripada kandungan al-Quran pun dikira kafir, kerana Allah menyuruh kita beriman dengan al-Quran secara total dan keseluruhannya tanpa sedikit keraguan (Surah al-Baqarah: 2).
Berdasarkan pegangan aqidah di atas, sama ada kita suka atau tidak, kita wajib percaya dengan yakin dalam hati, ucapkan keyakinan itu dengan lidah dan amalkan segala yang Allah s.w.t. titahkan dalam al-Quran itu daripada perkara aqidahnya, syariatnya dan akhlaknya. Syariat (perundangan Islam) itu pula amat luas, daripada hal ibadatnya (fardhu `ain), munakahat (nikah kahwin/kekeluargaan), muamalat (perekonomian), jinayat (perundangan jenayah), qadha' (kehakiman), siasah (politik/pentadbiran), siyar (hubungan Islam-kafir/antarabangsa) dan sebagainya lagi, yang semuanya itu dihuraikan oleh ulama Islam dalam kitab-kitab Fiqah (yang lengkap) dalam semua mazhab aliran Sunnah atau Syiah.
Peraturan penjajah/kafir/jahiliyyah yang mana UMNO/BN kekalkan?
Untuk menjawab soalan ini, kita perlu jelaskan bahawa sejak Islam bertapak di Tanah Melayu bermula dengan tarikh yang tercatat di atas Batu Bersurat Terengganu (702H/1303M) dan kemunculan Kerajaan Melayu-Islam Melaka di awal abad ke-15 Masihi, bahawa hukum Islam telah diamalkan oleh orang Melayu-Islam secara adat (tidak dikodifikasikan - cuba ingat kisah hukum sebat penzina, walaupun tidak menepati cara Islam, dalam filem Semerah Padi lakonan P. Ramlee) dan kadang-kadang secara bertulis di sesetengah tempat dan zaman (seperti Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911 yang bergelar Itqan al-Muluk bi-Ta`dil al-Suluk) -lihat Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah, Gerakan Anti Penjajahan Di Malaysia 1511-1950, Penerbitan Kintan Sdn Bhd, 1994.
Sesiapa yang mengkaji sejarah Kesultanan Acheh, Melaka, Riau-Lingga, Patani dan Terengganu sebelum campur tangan penjajah akan mendapat bukti bahawa kerajaan-kerajaan tersebut telah menjadi al-Quran dan Sunnah sebagai sumber perundangan mereka secara tidak bertulis sebagai akta atau enakmen. Di zaman itu juga mereka memberikan wala' (kesetiaan) mereka kepada kerajaan Islam terbesar ketika itu iaitu Khilafah `Uthmaniyyah di Turki, sehinggakan tersebut dalam sejarah Riau bahawa Raja Ali Kelana (atau Raja Ali bin Raja Muhammad Yusuf) telah dihantar ke Turkey pada 1899M untuk meminta pertolongan khalifah memerangi Belanda, yang telah menjatuhkan takhtanya kerana sikapnya yang anti-Belanda. Malangnya misi Raja Ali itu gagal (kerana `Uthmaniyyah Turkey ketika itu telah menghadapi zaman kemerosotannya sehingga dihancurkan secara rasmi oleh rejim Kamal Atartuk pada Mac 1924), lalu Raja Ali lari ke Johor dan dilantik oleh Sultan Johor sebagai Syeikhul Islam sehingga beliau mati pada 1927. (Lihat Abu Hasan Sham, Karya-karya Yang Berunsur Agama Dari Pengarang Melayu-Riau Sehingga Awal Abad Ke-20, Dewan Sastera, Dis. 1983, m.s: 23 dan Ibrahim Abu Bakar, Islamic Modernism in Malaya: The Life and thought of Sayid Syekh Al-Hadi 1867-1934, Univ. of Malaya Press, K. Lumpur, 1994, m.s: 53.)
Sebaliknya, dengan kedatangan penjajah (terutamanya Inggeris dalam konteks Tanah Melayu), melalui kuasa campur tangan Residen British, sultan (ketua umat Islam di setiap negeri) hanya diberikan hak untuk mentadbir adat istiadat Melayu dan 'agama Islam' sahaja. 'Agama Islam' pada pemahaman orang Inggeris penjajah, sejak bermula sekularisme di Eropah, ialah seperti agama Kristian yang hanya berperanan dalam kehidupan peribadi seseorang dan tidak lebih daripada itu. Jadi yang dimaksudkan dengan 'agama Islam' dalam bidang kuasa yang diberikan kepada sultan hanyalah perkara yang berkaitan aqidah, ibadah dan munakahat (fardhu `ain dan kekeluargaan) sahaja. Maka benarlah apa yang disebutkan bahawa tujuan pertama dan utama Inggeris menguasai satu demi satu negeri-negeri Tanah Melayu ialah seperti yang dinyatakan oleh Eunice Thio dalam bukunya British Policy in The Malay Peninsula 1880-1910, Univ. of Malaya Press, Singapore, 1969, m.s: xvii dan Ibrahim Abu Bakar dalam bukunya Islamic Modernism in Malaya, Penerbitan Univ. Malaya, K. Lumpur, 1994, m.s: 7:
"The main duties of the Residents, as laid down for them by the Governor with the approval of the Colonial Office, were: to maintain law and order, initiate a sound system of taxation, supervise the collection of revenue and encourage economic development."
Dengan tugas Residen Inggeris yang utama itu, maka segala undang-undang termasuk undang-undang Islam (selain ibadat dan munakahat) yang telah diamalkan oleh orang Melayu-Islam telah diselenggara dan diubah oleh mereka mengikut selera Inggeris.
Dengan terjajahnya negeri Melayu yang terakhir (Terengganu) pada 1919M dan berlakunya campur tangan Inggeris dalam segala bidang kehidupan orang Melayu-Islam (selain ibadat dan munakahat) di seluruh Tanah Melayu, maka berubahlah bentuk pengamalan Islam daripada praktikal dalam semua bidang kepada praktikal dalam dua bidang itu sahaja. Sehingga British memberikan 'kemerdekaan' kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Islam ibadat dan munakahat itulah sahaja yang difahami oleh kebanyakan orang Melayu-Islam, termasuk yang mewarisi pemerintahan negara pasca-kolonialisme hingga hari ini. Ini bermakna, British hanya membenarkan orang Melayu-Islam mempraktikkan Islam setakat peribadi (ibadat fardhu `ain) dan keluarga (munakahat) sahaja. Mereka tidak membenarkan Islam diamalkan dalam lebih luas daripada itu seperti dalam politik pentadbiran dan kenegaraan, perekonomian, kehakiman dan lain-lain bidang kehidupan.
Malahan perlu disebut bahawa semacam ada komplot antara British-Zionis dalam dasar penjajahan Inggeris terhadap tanah jajahannya. Adalah diketahui bahawa antara protokol Zionis ialah menguasai tanah, pemerintahan, ekonomi dan pendidikan goyim, iaitu bangsa bukan Yahudi (Lihat Victor E. Marsden, The Protocols of the Meetings of the Learned Elders of Zion, 1934, (Protokol-protokol Mesyuarat Para Pemimpin Ilmuan Zionis), terj. Ummu Muhammad, Thinkers Library, 1999). Teori komplot ini dibuktikan lagi oleh penyerahan negara Palestin (yang asalnya diperintah oleh Arab-Islam sebelum penjajahan) oleh British kepada Israel-Zionis pada 1948.
Bahkan amat penting untuk disebut -sebagai bukti teori komplot ini- bahawa Sultan Abu Bakar (memerintah 1885-1895) yang diberi gelaran 'Bapa Johor Moden' oleh British itu, disekolahkan di sekolah missionary Kristian yang bernama Keasberry School di Bukit Zion, Singapura (kenapa tempat itu diberi nama Bukit Zion? Dan Keasberry itu ialah nama gurunya yang merupakan seorang preacher) - Lihat R. O. Winsted, A History of Johore 1365-1895, Kuala Lumpur, 1979, m.s: 120 dan Ibrahim Abu Bakar, Islamic Modernism in Malaya, m.s: 65.
Kennedy Gordon Tregonning dalam bukunya A History of Modern Malaya , Eastern Univ. Press, S`pore, 1964, m.s: 185 dan L. Richmond Wheeler dalam bukunya The Modern Malay , George Allen & Unwin Ltd., London, 1928, m.s: 39 menyebutkan bahawa pada tahun 1921 bilangan penduduk Yahudi di Tanah Melayu ialah seramai 703 orang. (Ibrahim Abu Bakar, Islamic Modernism in Malaya, m.s: 19)
Namun di sini kita tidak berniat untuk memaparkan semula sejarah secara keseluruhannya. Baca dan kajilah semula fakta sejarah yang tidak boleh didustakan itu, bagi sesiapa yang ingin mendengar dan melihat kebenaran.
Maka pada tahun 1957 itu British telah meninggalkan undang-undang, peraturan dan perlembagaan Malaysia menurut acuan mereka. Antaranya ada yang tidak bercanggah dengan Islam (terutama undang-undang atau hukuman terhadap kesalahan yang tidak disebutkan dalam al-Quran dan hadis sahih, pentadbiran kewangan, kebebasan asasi, kewarganegaraan), tetapi banyak juga yang bercanggah dengan Islam. Antara yang bercanggah dengan Islam ialah:
1. Perlembagaan negara terletak di atas sekali sehingga mana-mana undang-undang negeri (termasuk dari al-Quran, seperti Kanun Jenayah Syariah II Kelantan) yang didapati bercanggah dengannya dikira terbatal dengan sendiri dan tidak boleh dipakai (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 75) dan kuasa pengampunan terhadap apa-apa hukuman diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Persekutuan dan Sultan untuk negeri (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 42).
2. Akta ISA (akta untuk menahan seseorang tanpa diberi hak membela diri) sedangkan Islam tidak membenarkan sesiapa pun ditahan tanpa bicara kerana setiap kesalahan sudah ada undang-undang dan hukuman untuknya. Ini adalah satu bentuk kezaliman dan Islam mengharamkan kezaliman dalam apa bentuk sekali pun.
3. Akta Keterangan yang mengizinkan sesiapa sahaja menjadi saksi walaupun seorang yang fasiq atau kafir ke atas tertuduh yang beragama Islam. Sedangkan ini jelas bertentangan dengan syarat saksi yang dikehendaki oleh al-Quran dan hadis.
4. Tiada syarat seorang hakim seperti yang dikehendaki oleh Islam. Berdasarkan peraturan penjajah ini sesiapa sahaja boleh menjadi hakim bila ada sijil, kewarganegaraan, pengalaman 10 tahun dan dilantik (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 122B dan 123). Maka ini termasuklah hakim yang tertohmah dengan tuduhan rasuah atau hakim yang ada hubungan dengan salah satu pihak yang dihakimi.
5. Undang-undang dan hukuman jenayah yang telah disebutkan dalam al-Quran dan hadis (hudud, qisas dan diat) tidak dipakai, sebaliknya undang-undang warisan penjajah ditegakkan, seperti dalam jenayah bunuh, mencedera, curi, rompak dan seumpamanya.
6. Kesalahan-kesalahan yang dikira jenayah oleh al-Quran atau hadis sahih serta ada hukuman Islamnya (hudud), tidak dikira jenayah oleh peraturan penjajah seperti jenayah zina, tuduhan zina tanpa saksi, minum arak, murtad dan sebagainya. (Enakmen Jenayah Syariah di peringkat negeri setakat ini tiada satu pun yang menepati kehendak Islam walaupun diberi nama 'syariah', kecuali satu percubaan oleh kerajaan PAS Kelantan yang ditolak (dihalang?) oleh Kerajaan Pusat melalui surat rasmi bertarikh 15hb. Julai 1994)
Sebenarnya jika hendak dikumpulkan banyak lagi bukti pertentangan yang wujud antara undang-undang penjajah yang diwarisi oleh kerajaan UMNO/BN dan undang-undang Islam yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah. Jadi benar atau tidak kerajaan UMNO/BN mempertahan dan mengekalkan peraturan penjajah/kafir/jahiliyyah sejak kemerdekaan sehingga sekarang dan tiada tanda-tanda hendak menerima undang-undang al-Quran dan Sunnah secara keseluruhannya? Jawabnya benar! Maka benarlah maksud perenggan pertama daripada Amanat Haji Hadi itu.
Sebelum kita berpindah kepada perbahasan terhadap perenggan kedua daripada Amanat Haji Hadi itu, kita ingin tahu apa hukumnya jika memakai sebahagian hukum Islam (khususnya dalam ibadat dan munakahat serta sebahagian muamalat) dan menolak sebahagian besar yang lain (sebahagian muamalat yang lain, siasah, qadha', jinayat, siyar dll) lalu memakai undang-undang penjajah/kafir/jahiliyyah itu?.
Kita telah jelaskan pegangan aqidah di atas tadi bahawa al-Quran itu wajib diimani keseluruhannya, mengingkari sebahagian bererti ingkar kepada seluruh rukun iman, dan balasannya ialah seperti yang tersebut dalam ayat 85 Surah al-Baqarah:
"Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Maka tiadalah lagi balasan bagi orang yang melakukan perbuatan demikian di kalangan kamu melainkan kehinaan di dunia dan pada hari Kiamat akan dicampakkan ke dalam azab yang paling sengsara…"
Apakah tujuan al-Quran diturunkan oleh Allah? Adakah sekadar untuk dihafaz, dilagu, dipertanding dan dibuat hiasan dinding? Jawapannya ialah seperti yang dinyatakan oleh ayat 105 Surah al-Nisa':
"Sesungguhnya Kami (Allah) turunkan kepadamu (Muhammad) kitab al-Quran itu dengan kebenaran supaya kamu berhukum di antara manusia mengikut apa yang Allah tunjukkan kepadamu dan janganlah engkau jadi pembela orang-orang yang khianat."
Allah s.w.t. juga memberi amaran keras kepada Ahlul Kitab (kaum Yahudi dan Kristian) dengan hukum kafir, zalim dan fasiq jika mereka tidak berhukum dengan apa yang Allah s.w.t. turunkan, seperti tersebut dalam ayat 44-47 Surah al-Maidah:
"Sesungguhnya Kami telah turunkan kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya, dengan kitab itu para nabi menyerah diri (Islam) lalu berhukum dengannya ke atas orang Yahudi, demikian juga ulama dan pendita mereka (berhukum dengan hukum Allah), kerana mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum daripada kitab Allah, dan mereka juga menjadi saksi atas amanah itu. Oleh itu janganlah kamu (zahirnya, ganti nama ini untuk umat Islam yang baca Al-Quran) takutkan manusia, takuitlah padaKu dan janganlah kamu perniagakan ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit, dan sesiapa (umum, termasuk umat Islam) yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itulah orang-orang yang kafir (44) Dan Kami telah telah tetapkan bagi mereka dalam kitab Taurat itu bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (dengan seimbang), tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka itu adalah penebus dosa baginya dan sesiapa (umum, termasuk umat Islam) yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itulah orang-orang yang zalim (45) Dan Kami utuskan Nabi Isa bin Maryam mengikuti jejak langkah mereka (nabi-nabi Bani Israel) untuk membenarkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan Kami telah berikan kepadanya kitab Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya dan mengesahkan kitab yang sebelumnya, iaitu kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa (46) Dan hendaklah Ahli Kitab Injil berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya, dan sesiapa (umum, termasuk umat Islam) yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itulah orang-orang yang fasiq (47)"
Ayat 44-47 daripada Surah al-Maidah ini, walaupun asalnya diturunkan untuk mewajibkan Ahlul Kitab berhukum dengan hukum Allah, namun ianya tidaklah bermakna umat Islam tidak termasuk dalam kewajipan itu, kerana ancaman tidak melaksanakan perintah wajib ini (kafir/zalim/fasiq) adalah secara umum (wa man…/ dan sesiapa...). Mendakwa ayat tersebut adalah semata-mata untuk Ahlul Kitab dan tiada kena mengena dengan orang Islam adalah satu dakwaan jahat daripada ulama jahat kerana ia membawa fitnah seolah-olah Allah s.w.t. tidak adil kerana menyalahkan orang Yahudi dan Kristian yang tidak berhukum dengan hukumnya, tetapi apabila kesalahan yang sama dilakukan oleh orang Islam, tiba-tiba Allah s.w.t. tidak salahkan. Ia juga seolah-olah menganggap kitab al-Quran itu hanyalah berperanan sebagai buku sejarah semata-mata atau buku cerita lagenda atau mitos yang mana pembacanya tidaklah wajib mengamalkannya.
Jadi kesimpulannya, tidak mengamalkan keseluruhan atau sebahagian al-Quran yang merupakan wahyu Allah s.w.t. dan menggantikan tempatnya dengan hukum atau undang-undang yang lain adalah dikira tidak berhukum dengan hukum Allah s.w.t.
Ketika mentafsirkan ayat 50 Surah al-Maidah (" Maka sesudah itu, apakah hukum Jahiliyyah yang mereka cari…") dalam kitab Tafsir al-Quran al-`Azim, al-Imam Ibn Kathir menyebutkan bahawa pentadbiran Jenkhiz Khan (panglima Moghul yang masuk Islam bersama tenteranya selepas menawan Baghdad pada 656H/1258M) telah menggubal undang-undang campuran daripada agama Yahudi, Kristian, Islam dan lain-lain lalu dinamakan rang undang-undang itu sebagai al-Yasaq untuk digunakan ke atas umat Islam, beliau (Ibn Kathir) berkata bahawa "itu adalah kekufuran yang nyata yang wajib diperangi (dilawan) oleh umat Islam sehingga kerajaan itu kembali kepada hukum Allah s.w.t. dan Rasul-Nya dan tidak mengamalkan selainnya sama ada banyak atau sedikit."
Oleh kerana itulah PAS mengatakan mereka melawan UMNO/BN kerana UMNO/BN mengekalkan serta mengamalkan peraturan penjajah/kafir/jahiliyyah, bukan kerana namanya UMNO/BN.
Perenggan yang kedua dalam Amanat Haji Hadi:
Menerangkan bahawa sekiranya ditakdirkan berlaku kematian ketika melawan UMNO/BN itu, maka mati itu adalah mati syahid. Inilah titik persoalan yang amat tidak disenangi UMNO. Dalam masa yang sama mereka ternampak peluang untuk mereka menuduh PAS ekstrim dan telah mengkafirkan UMNO, lalu dengan menggunakan amanat ini mereka bermati-matian mendakwa orang PAS kata orang UMNO kafir.
Kita ingin bahaskan dari kaca mata Islam (al-Quran atau hadis), apakah sebab syahadah (mati syahid) itu hanya tertumpu pada kematian yang disebabkan oleh perlawanan dengan orang kafir sahaja dan tiada lagi sebab-sebab lain yang memungkinkan seseorang Islam itu mati syahid?
Kata-kata Dato' Safei Daud (Setiausaha Biro Hal Ehwal Agama Penerangan UMNO Terengganu) bahawa "…Bagi kita orang Islam, apabila 'mati syahid' maka lawannya tentulah orang kafir. Amanat (Haji Hadi) ini secara terang membawa maksud UMNO kafir kerana tidak boleh mati syahid seseorang Islam itu jika dia berlawan sesama Islam. Untuk mati syahid, kita mesti berlawan dengan orang kafir. Dalam amanat itu, mahu tidak mahu UMNO mesti dikafirkan baru boleh mati syahid." (Mingguan Malaysia, 13/8/2000) adalah satu kenyataan yang dibuat secara semberono atas dasar politik kepartian sempit tanpa ilmu dan penyelidikan tentang sebab-sebab mati syahid dalam Islam. Bagaimana S/U Biro Agama ini boleh bercakap atas nama Islam sedangkan tiada satu pun nas al-Quran atau hadis digunakan untuk menyokong cakapnya. Sekadar hendak gunakan fikiran dan mulut sendiri, jangan gunakan nama Islam kerana itu bermakna pendustaan atas nama agama Allah s.w.t. Islam adalah bersumberkan al-Quran dan/atau hadis sahih, bukan mulut sendiri. Mulut itu hanya sekadar alat untuk menyampaikan Islam yang keluar daripada al-Quran dan/atau hadis sahih.
Mari kita lihat nas-nas sahih tentang sebab-sebab seseorang Islam itu memperoleh mati syahid:
1. Daripada Abu Hurayrah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: " Syuhada' (orang-orang yang mati syahid) itu ada lima jenis; mati kerana taun, kerana sakit dalam perut (seperti barah), kerana lemas, kerana tersepit/tertindih (termasuk kemalangan jalan raya) dan mati kerana berjihad di jalan Allah (melawan orang kafir)" -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
2. Daripada Abu Hurayrah r.a. juga, Rasululah s.a.w. menyoal Sahabat, maksudnya: "Siapakah yang kamu kira syuhada' di kalangan kamu? Jawab Sahabat: Orang-orang yang mati di jalan Allah (kerana memerangi kafir). Kata Nabi s.a.w.: Kalau begitu, syuhada umatku sedikit sahajalah. Sahabat bertanya: Jadi siapa itu syuhada' wahai Rasulullah? Jawab Nabi s.a.w.: Sesiapa (orang Islam) yang mati di jalan Allah (kerana berperang) adalah syahid, sesiapa yang mati di jalan Allah (kerana selain berperang seperti jatuh kuda) adalah syahid, sesiapa mati kerana penyakit taun adalah syahid, sesiapa mati kerana sakit dalam perut adalah syahid dan orang yang mati lemas pun adalah syahid." -Riwayat Muslim.
3. Daripada `Abdullah bin `Amr bin al-`As r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya adalah mati syahid." -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
4. Daripada Sa`id bin Zayd bin `Amr bin Nufayl r.a. (salah seorang Sahabat yang dijamin syurga), Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya adalah syahid, sesiapa yang mati kerana mempertahankan darah/nyawanya adalah syahid, sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya adalah syahid, sesiapa yang mati kerana mempertahankan keluarga (orang di bawah jagaannya, atas dasar kebenaran) adalah syahid." -Riwayat Abu Dawud dan al-Turmuzi: Hadis Hasan Sahih.
Berdasarkan hadis-hadis sahih di atas dan lain-lain lagi jika dikumpulkan, adalah jelas sebab syahadah itu bukan sahaja terhad kepada kematian yang disebabkan berperang melawan orang kafir, bahkan banyak lagi sebab-sebab lain untuk mendapat syahadah seperti mati akibat beberapa jenis penyakit yang bahaya dan sukar dipulihkan, mati kemalangan, mati mempertahankan maruah, harta dan nyawa sendiri dan juga mati ketika bekerja mempertahankan tuntutan agama Islam seperti berkempen untuk memenangkan parti Islam dalam pilihan raya.
Jadi jelaslah di sini bahawa mengatakan PAS mengkafirkan UMNO kerana Amanat Haji Hadi itu berdasarkan tafsiran yang jahil dan salah terhadap sebab-sebab syahadah adalah satu konklusi yang tertolak dari segi 'aqli (logik) dan naqli (syarak). Setelah jelas kedudukan isu amanat ini, tidak perlu lagi mana-mana pihak mempolemikkannya. Sekiranya UMNO masih mendakwa PAS mengkafirkannya, itu bermakna UMNO telah kehabisan modal untuk memburukkan PAS, dan bermakna UMNO amat berharap jika ada orang kata dia kafir.
Jadi jelaslah tiada percanggahan hukum dalam amanat yang mengatakan jika orang PAS mati ketika melawan UMNO/BN untuk tegakkan Islam, maka matinya itu adalah syahid, tetapi ia tidak secara terus membawa maksud bahawa orang UMNO (secara si anu bin si anu) kafir. Namun timbul persoalan, jika PAS tidak kata orang UMNO kafir, kenapa ada sembahyang dua imam dan tidak hadir kenduri orang UMNO seperti di Besut, Terengganu? Bukankah itu bermakna orang PAS kata orang UMNO kafir?
Sebenarnya sebab terjadi solat dua imam, tidak bersembahyang di masjid yang diimami ahli UMNO, tak hadir kenduri dan sebagainya itu tidak boleh dijadikan bukti PAS telah mengkafirkan UMNO. Banyak faktor lain yang menyebabkan masalah-masalah tersebut terjadi terutamanya di Besut seperti dendam dan ketidakpuasan hati sejak imam ahli PAS dipecat. Kajian yang melibatkan faktor sosio-budaya dan cara hidup masyarakat Besut juga mesti diberi perhatian. Sebagai orang Terengganu dan bergaul dengan ramai anak-anak Besut semasa bersekolah, saya kenali mereka sebagai kumpulan masyarakat yang dipengaruhi oleh budaya 'oghe barat' (pada mereka, maknanya orang Siam atau Kelantan) yang terkenal dengan 'gedebe' (keras kepala, suka melawan dan kuat berpegang kepada sesuatu yang mereka terima), walaupun tidak semua mereka begitu. Bagi mereka yang telah menerima bahawa perjuangan PASlah yang benar, maka memang mereka 'gedebe' bila ada pihak lain yang mencabar. Pada saya, faktor 'gedebe' itu sahaja yang menyebabkan mereka terus tidak ingin menjadi makmum kepada ahli UMNO, tidak hadir kenduri dan sebagainya. Bukannya mereka berkata si anu bin si anu yang menjadi ahli UMNO itu kafir, kerana jika betul mereka berpegang begitu, sudah pasti mereka akan meminta bekas ahli-ahli UMNO yang masuk PAS itu mengucap dua kalimah syahadah dahulu sebelum mereka terima sebagai rakan seperjuangan mereka.
Selain faktor 'gedebe', kemungkinan ada faktor tidak selesa berimamkan orang yang mereka tidak restui. Dan ini ada sandarannya dalam Islam, iaitu berdasarkan hukum Fiqh Islam, adalah makruh berimamkan orang yang tidak disukai. Imam al-Turmuzi meriwayatkan daripada Ibn `Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
"Tiga golongan akan berada di atas bukit haruman kasturi pada hari Kiamat; seorang hamba yang menunaikan hak Allah dan hak tuannya, seseorang yang mengimami solat dalam keadaan jemaah redha akannya dan seseorang yang melaungkan azan untuk solat lima waktu." (Hadis Hasan)
Ketika memberi komentar terhadap hadis-hadis dalam bab 'Keimaman si fasiq', Imam al-Syawkani menyatakan dalam kitabnya Nayl al-Awtor, cetakan Maktabah Dar al-Turath, Kaherah, t.t., m.s: 164,
"…yang dipersilisihkan (oleh ulama) ialah tentang ke'sah'an berjemaah di belakang imam yang fasiq, ada pun tentang makruh hukumnya, maka tiada perselisihan (khilaf) lagi…"
Apakah hukum orang yang bersetuju dengan pengekalan undang-undang penjajah/kafir/jahiliyyah kalau tidak paling kurang pun ianya fasiq? Jadi orang PAS menganggap imam ahli UMNO yang bersetuju dengan dasar UMNO/BN adalah fasiq, maka mereka tidak restui untuk berimamkannya kerana hukumnya makruh dan mengurangkan pahala jemaah mereka.
Cuma cara mereka tidak mahu berimamkan ahli UMNO itu tidak tepat apabila mereka adakan solat dua imam serentak. Sepatutnya mereka bersolat pada waktu yang berasingan ataupun pergi ke masjid yang berlainan. Tetapi demi untuk menjaga perpaduan, bersolat bersama dengan imam semasa yang dilantik oleh pihak berkuasa itu adalah lebih baik kerana kadang-kadang imam yang menyokong UMNO/BN itu pun masih jahil hukum Islam (soalnya, apakah orang yang jahil layak menjadi imam?). Lagi pun, melakukan perkara yang makruh (berimamkan orang yang tidak disukai) adalah lebih baik daripada melakukan perkara yang boleh membawa kepada haram (perpecahan berpanjangan dengan solat dua imam serentak).
Jadi kesimpulannya, solat dua imam itu tidak boleh dijadikan dalil bahawa orang Pas menghukumkan orang UMNO sebagai kafir kerana ada faktor-faktor lain yang tidak boleh diabaikan daripada perkiraan seperti yang dihuraikan di atas.
Perenggan ketiga Amanat Haji Hadi:
Menerangkan batas-batas antara iman dan kufur iaitu sesiapa daripada orang Islam yang mengatakan politik tidak boleh bercampur dengan Islam (politik suku agama suku), hukumnya boleh jatuh kafir. Bagaimana?… Telah menjadi aqidah umat Islam bahawa ajaran Islam itu lengkap dan merangkumi semua bidang kehidupan manusia, kerana ia adalah ajaran wahyu Allah s.w.t. yang sempurna dan terpelihara daripada sebarang perubahan seperti yang ditegaskan Allah s.w.t. dalam ayat 3 Surah al-Maidah. Maka sesiapa yang tidak berpegang dengan penegasan Allah s.w.t. ini, dengan mengecualikan bidang politik (yang termasuk di dalamnya mengenai kepimpinan, pentadbiran, perundangan dan sebagainya) daripada kawalan agama (Islam), bermakna dia telah tidak beriman dengan Allah s.w.t. dan al-Quran (kafir).
Itu sahaja yang diungkitkan dalam perenggan ketiga amanat itu dan tiada sebarang percanggahan dengan hukum Islam, bahkan itulah dia hukum Islam. Membuat takwilan jauh seperti yang dilakukan oleh Dato' Safei Daud dalam Mingguan Malaysia 13/8/2000, dengan mengatakan tidak mengapa kalau dikatakan politik komunis tidak boleh dicampur dengan agama, adalah satu tindakan untuk melepaskan diri daripada maksud yang sebenar. Maksud yang sebenar ialah untuk memberitahu orang UMNO bahawa tidak boleh kita berkata "agama tak boleh campur dengan politik", atau " orang agama tak boleh masuk politik, cukuplah jadi lebai, tukang nikah, baca doa saja" dan macam-macam dakyah sesat dan menyimpang daripada ruh Islam. Siapa di negara ini yang bercakap tentang politik komunis? PAS sedang bercakap tentang politik dan pemerintahan sekarang ini yang wajib menerima dasar al-Quran dan Sunnah. Menolak peranan al-Quran dan Sunnah daripada bidang politik negara bermakna satu aspek hidup telah dikeluarkan daripada kawalan hukum Islam, sedangkan Islam itu adalah satu sistem lengkap.
Kesimpulan terakhir, tiada sebarang percanggahan dalam Amanat Haji Hadi itu dengan hukum Islam yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah seperti yang dibahaskan di atas. Pihak UMNO yang mendakwa ianya bercanggah dengan Islam tidak membawa apa-apa hujah daripada al-Quran dan Sunnah, melainkan dengan mengaitkannya dengan Majlis Fatwa Kebangsaan. Hakikatnya, hukum Islam itu tidak bersumberkan sesiapa atau mana-mana pihak pun selain al-Quran dan Sunnah (hadis yang sahih).
Akhirnya, saya tidak mencari apa-apa kepentingan selain untuk maslahat umat Islam keseluruhannya tidak kira yang berada dalam PAS atau UMNO. "…Saya tidak takut… saya tidak kejar undi, saya tidak kejar kekayaan, dan ini mungkin satu kebodohan saya sendiri…" (meminjam kata Prof. Di Raja Ungku Aziz ketika mengkritik keras ahli politik Melayu yang tidak pun membela nasib Melayu - MM, 20/8/2000).
"Aku tidak inginkan apa-apa melainkan islah (pembaikan/reformasi) setakat kemampuanku, kepada-Nya aku bertawakkal dan kepada-Nya aku akan kembali"
(Surah Hud: 88)
alimuda
26/8/2000