Kenyataan Media
Hentikan Keganasan
Parti Keadilan Nasional (keADILan) dimaklumkan bahawa EXCO Pemuda
keADILan, Sdra. Lokman Noor Adam dikasari oleh lima orang berpakaian
biasa, dipercayai anggota polis, pagi tadi, di tengah jalan bersebelahan Mahkamah Majistret Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.
Sekiranya tanggapan ini tepat, ini adalah bukti ketara akan provokasi
polis yang harus dikutuk oleh semua pihak yang menghargai hak asasi
manusia. Tindakan polis itu bertentangan sama sekali dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan dan etika profesionalisme polis sendiri.
Lokman dan seorang lagi EXCO Pemuda keADILan, N. Gopalakrishnan dan
aktivis reformasi, Munasufian, hanya mengedarkan risalah mengenai alibi Dato Seri Anwar Ibrahim. Mengedarkan risalah adalah kegiatan sah di sisi undang-undang. Polis atau pihak berkuasa tidak harus menggunakan kekerasan terhadap individu-individu yang bertindak berdasarkan lunas-lunas demokrasi.
KeADILan difahamkan bahawa ketiga-tiga aktivis itu ditahan oleh polis, bersama-sama empat orang yang lain, termasuk tiga aktivis dari SUARAM. Tiga orang yang ditahan adalah wanita. keADILan menyeru kepada pihak polis supaya membebaskan mereka tanpa syarat.
Menyekat dengan keras dan kasar kegiatan-kegiatan yang sah dari segi
Perlembagaan dan sistem demokrasi hanya akan mencemarkan imej negara.
Perbuatan-perbuatan sedemikian rupalah yang jelas bertentangan dengan patriotisme.
DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Nasional (keADILan)
4 Ogos 2000