Abu Bakar Rashid
penulis_jalanan@hotmail.com
Kenyataan Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew, yang mendedahkan jawapan Datuk Seri Dr
Mahathir Mohamed kepadanya pada awal tahun 1999 di Davos bahawa Perdana Menteri Malaysia itu
tidak tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
semakin menimbulkan keraguan umum tentang sejauh manakah kebenaran kenyataan-kenyataan dan
cakap-cakap orang tua yang terlalu lama mencengkam Malaysia itu.
Lee memberitahu wartawan bahawa beliau pernah bertanya Dr Mahathir tentang tindakan menahan
Anwar di bawah ISA.
"Saya bertanya beliau, mengapa memberkas (Anwar) di bawah ISA. Bagaimana beliau (Anwar) boleh
menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara sedangkan baru empat minggu sebelumnya beliau
adalah timbalan (Perdana Menteri)?" akhbar Singapura, Berita Harian 18 Ogos lalu memetik Lee sebagai
berkata.
AFP 17 Ogos pula melaporkan, “Lee berkata, beliau terperanjat apabila Dr Mahathir memberitahunya
bahawa beliau (Dr Mahathir) tidak tahu Anwar akan ditangkap di bawah ISA, kerana ia adalah
bidangkuasa Ketua Polis Negara”.
Umum mengetahui bahawa Ketua Polis Negara akan memaklumkan apa sahaja tindakan yang penting
yang membabitkan kepentingan dan keselamatan negara kepada Menteri Dalam Negeri. Ketika Anwar
ditahan di bawah ISA, Dr Mahathir adalah Menteri Dalam Negeri.
Mengulas lebih lanjut tentang isu Anwar, Lee menyifatkan Dr Mahathir telah melakukan kesilapan demi
kesilapan dalam mengendalikan kes bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Saya telah menyatakan ini sebelumnya, sebelum perbicaraan(Anwar) lagi.
"... Saya fikir Dr Mahathir membayar harga lebih tinggi dan saya berasa simpati kepadanya. "Terdapat
beberapa kesilapan dalam penilaian yang saya fikir adalah malang sekali," BH memetik beliau sebagai
berkata.
Tindakan menahan Anwar di bawah ISA, BH melaporkan Lee berkata, adalah kesilapan pertama kerana
beliau berasa adalah lebih baik Anwar ditangkap dan didakwa di bawah kanun kesiksaan secara
langsung.
Ini kemudian disusuli dengan peristiwa Anwar ditumbuk hingga matanya lebam.
Silapnya, kata Lee, ialah kerajaan Malaysia tidak membentuk suruhanjaya siasatan dengan segera yang
sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesangsian rakyat.
Soal kesilapan Dr Mahathir memang suatu tragedi yang tidak boleh dimaafkan. Seperti kata Orang
Putih, “It is too high a price for a leader to make mistake”. Bahana kesilapan pemimpin seperti Dr
Mahathir bukan sekadar ditanggung oleh diri, keluarga dan kroninya, malah negara dan rakyat turut
kepanasan oleh bahang kesilapan pemimpin yang gelojoh atau tidak cerdik itu. Tetapi, yang lebih buruk
dari kesilapan yang diulang-ulang oleh Dr Mahathir itu ialah apa yang kelihatan sebagai tabiat tidak
bercakap benar.
Dalam mengendalikan kes Anwar, Dr Mahathir beberapa kali dilihat tidak bercakap benar. Yang paling
masyhur ialah pembohongan perdana apabila beliau mendakwa Anwar memukul dirinya sendiri. Apabila
Tan Sri Rahim Noor kemudiannya mengakui bahawa beliaulah yang membelasah Anwar, Dr Mahathir
tidak kelihatan mahu memohon maaf kepada rakyat atas pembohongannya.
Jika benar dakwaan Lee bahawa Dr Mahathir menyatakan beliau tidak tahu Anwar akan ditahan di bawah
ISA “kerana ia adalah bidangkuasa Ketua Polis Negara,” saya yakin saya tidak bersalah jika saya
bersetuju dengan Anwar yang dilaporkan sebagai mendakwa “dia (Dr Mahathir) akan terus berbohong
dan memaksa orang lain berbohong sama semata-mata untuk menyelamatkan dirinya…”