Perletakan jawatan Datuk Abu Hassan Omar sebagai
Menteri Besar Selangor sememangnya telah dijangka
oleh ramai.
Sudah terdapat desas-desus sejak awal Julai lagi dari
dalam UMNO sendiri bahawa Abu Hassan akan meletakkan
jawatan sebelum bulan September ini.
Tetapi yang menjadi tanda-tanya adalah siapakah yang
mendalangi konspirasi untuk menjatuhkan Abu Hassan ?
Dua minggu sebelum Abu Hassan meletakkan jawatan
telah tersebar risalah di sekitar Gombak, Ampang Jaya
dan Shah Alam yang dikeluarkan oleh kumpulan yang
menggelarkan diri mereka sebagai "Jawatankuasa
Bertindak Selamatkan UMNO Selangor 2000".
Risalah itu berbunyi :
"Pulihkan Maruah UMNO Selangor"
"Kembalikan Kegemilangan Kepimpinan Tan Sri Dato'
Muhammad Mohd. Taib"
"Kami menolak pemimpin yang tidak bermoral"
Terdapat gambar Muhammad Taib dan lambang UMNO pada
risalah tersebut. Manakala gambar Abu Hassan pula
adalah dipangkah.
Dengan tidak menuding jari kepada sesiapa sememangnya
Muhammad Taib merupakan orang yang paling beruntung
akibat dari krisis yang dihadapi oleh UMNO Selangor
ini.
Satu lagi perkara yang menjadi tanda-tanya adalah
kemunculan dengan tiba-tiba Dato' Mufti Shuib, ADUN
Ampang dan Ketua Bahangian Ampang Jaya, yang pada
mesyuarat perhubungan UMNO Selangor minggu lepas
duduk di sebelah Muhammad Taib.
Mengapakah ahli politik yang selama ini berada di
pinggiran politik Selangor dan menunggu masa untuk
dilupuskan nyawa politiknya tiba-tiba tampil ke
hadapan ?
Adakah penampilan dengan tiba-tiba Mufti ini ada
kaitan dengan pengedaran risalah jawatankuasa
bertindak itu di Ampang Jaya ?
Bagaimana pula dengan peranan pemimpin-pemimpin UMNO
lain di Ampang Jaya ?
Sudah tentu terdapat ramai pemimpin-pemimpin UMNO di
Ampang Jaya yang bercita-cita tinggi seperti ADUN
Pandan, Dato' Mad Aris Mad Yusuf, yang baru mendapat
gelaran Dato'.
Ataupun Dato' Fuad Hassan yang pernah dikatakan akan
menjadi Menteri Besar tetapi sekarang ini sudah
hilang entah ke mana.
Rakyat Selangor mahukan jawapan kepada
persoalan-persoalan ini.
Walau bagaimanapun apa yang nyata mereka sebenarnya
sudah bosan dengan UMNO yang penuh dengan pelbagai
konspirasi di dalam perebutan pemimpin-pemimpin untuk
mendapatkan kedudukan. Semakin lama UMNO berkuasa di
negeri Selangor semakin hancurlah negeri itu.
Bakhtiar Effendi
13 Ogos 2000