Assalamualaikum W.b.t
Segala puji bagi Allah serta selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Rasullullah S.A.W
Dengan segala rendah hati hamba rakyat yang dhaif, kami ingin merujuk kepada forum "Dialog-Pemimpin Bersama Rakyat" yang telah diadakan di Dewan MDD pada 28.07.2000 jam 9.15 malam bersamaan 25 Rabiul 'Akhir 1421.
Walaupun masa yang diberi kapada rakyat untuk mengajukan soalan masing-masing amatlah singkat (hanya tujuh soalan lisan dibenarkan pada majlis yang berjalan hampir tiga jam !) sehingga ada dikalangan yang keluar dewan selepas pukul 12.00 tengah malam itu, kami merasa terlalu terkilan dan tertipu. Namun, pada fikiran kami ,sesuatu forum seperti itu tiada akan membawa yang selain daripada maarof, yakni kebaikan dan keberkahan, lebih-lebih lagi kepada parti dan rakyat .
Yang demikian itu, kami rakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada tuan selaku Yang DiPertua PAS , Kawasan Parlimen Dungun.
Selanjutnya,kami juga berpendapat bahawa forum -forum yang bersifat dialog sebegini adalah amat bermakna dan bermanfaat sekali. Di bawah ini kami kemukakan di antara sebab-sebabnya:-
1. Jalan Nabi-Nabi dan Khalifah
Nabi-Nabi Allah dan Khalifah-Khalifah Islam terduhulu sentiasa berdepan dan berbicara dengan rakyat bagi mengadili atau membantu menyelesai permasalahan mereka. Kisah-kisah yang tersohor, umpamanya, ialah kisah-kisah Nabi Allah Sulaiman dan Khalifah Harun Ar-Rashid.
2. Senario Baru Politik Tanahair
Dengan mengadakan dialog seperti ini , PAS telah berjaya memboloskan diri daripada kongkongan politik sekular tradisi UMNO, yang mana selama 40 tahun memerintah Terengganu, boleh dikatakan tidak pernah berani menganjurkan dialog terbuka bersama rakyat." It is a first for PAS".
3. Interaksi Positif Pemimpin Rakyat
Hamba rakyat pasti merasa gembira kerana berpeluang mengadu hal sosio ekonomi dan politik masng-masing kepada pemimpin mereka secara "direct interaction". Para pemimpin pula berpeluang mendapat "feedback" dan seterusnya menilai keberkesanan polisi-polisi kerajaan secara " first hand". Hal yang demikian sudah tentu akan mengami suatu keadaan yang makmur diantara kerajaan dengan rakyat, iaitu apa yang sering diucapkan sebagai "win-win situation".
4. Melebarkan Pengaruh Politik
Forum-forum dialog yang bersifat informatif boleh membantu melebarkan pengaruh politik PAS dikalangan rakyat atau pengundi yang, atas sebab-sebab tersendiri, masih belum yakin dengan kredibiliti kerajaan kini. Forum-forum sebegini akan membuka mata serta minda mereka supaya menilai PAS dari sudut kelayakan serta kewibawaannya memikul panji-panji pemerintahan Islam yang total dinegeri Terengganu kita masakini, dan serterunya dibumi Tanah Melayu ini pada masa yang terdekat.
5. Pemimpin Sebagai Role Model Islamik
Forum dialog memberi peluang kepada pemuda dan muslimat, samada dari dalam parti atau lainnya, berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin yang mereka pilih dan sanjungi. Mereka juga berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada mencontohi role-model islamik yang ditonjolkan oleh pemimpin masing-masing.
6. Hubungan silaturrahim
Pemimpin-pemimpin berpeluang mengenali serta memahami sikap dan minda rakyat secara lebih dekat. Hal demikian sudah tentu akan membawa kepada hubungan silaturrahim yang lebih erat dan bermakna di antara pemimpin dan rakyat. Perkara ini akan menjadi penting ketika menjelang pilihanraya.
7. Penyokong dan Pemerhati Luar
Melalui forum-forum dialog, penyokong-penyokong serta pemerhati-pemerhati kerajaan PAS Terengganu daripada negeri-negeri lain seperti Pahang, Johor, Kedah dan sebagainya tentu akan merasa kagum dengan sikap terbuka, telus dan tulus serta "accountability" kerajaan PAS Terengganu terhadap rakyatnya. Sudah tentu mereka akan memperkatakan betapa islamiknya parti PAS ; betapa telusnya kerajaan PAS; betapa tulusnya sikap kepimpinan PAS. Tambah lagi, Islam amat-amat menganjurkan sikap mahmudah seperti di atas.
8. Maklumat Bagi Mengatur Strategi Pembangunan
Setiap maklumat yang ditimbulkan pada forum-forum dialog, walaupun pahit untuk ditelan, jikalau diteliti dan dianalisa secara seksama, nescaya akan sedikit sebanyak membantu kerajaan negeri merancang dan melaksanakan program-program serta projek-projek yang senantiasa mesra-rakyat. Tambah lagi, tindakan susulan yang tepat dan cekap boleh diambil bagi menangani segala tuntutan dan permohonan, hatta rungutan / rintihan serta saranan atau cadangan daripada rakyat.
9. Senjata Penangkis Serangan Politik
Forum-forum dialog yang kerap diadakan boleh dijadikan satu senjata yang ampoh bagi menangkis segala tohmahan, fitnah dan serangan-serangan gila yang dilemparkan oleh parti-parti lawan , terutamanya UMNO. Jika UMNO ada media elektronik, media cetak dan "road -shows", maka PAS ada ceramah , Harakah dan "dialoues"
10. Dunia Akhirat
Adalah terlebih sejahtera pemimpin dan rakyat bersoal jawab didunia ini dahulu sebelumnya rakyat dan pemimpin bersoal jawab di Yaumil Mahsyar berhadapan Allah Rabbul Jalil kelak.
Oleh yang demikian, saya menyarankan kepada pimpinan PAS seperti berikut:
1. Mengadakan dialog seperti diatas sekerap mungkin dan paling-paling kurang sekali sebulan.
2. Quarom ahli panel bagi setiap sessi dialog hendaklah tidak lebih daripada tiga orang dan tidak kurang daripada dua orang, yang terdiri dari kalangan ahli-ahli Yang Berhormat setempat.
3. Ahli panel dibenarkan hanya 15 minit seorang untuk berucap. Masa selebihnya adalah untuk sessi soal-jawab.
4. Peserta-peserta dibenarkan hanya 3 minit seorang untuk menyampaikan soalan masing-masing. Ini bagi membuka ruang masa kepada seramai mungkin peserta untuk mengajukan soalan.
5. Soalan-soalan lisan hendaklah di beri keutamaan keatas soalan-soalan bertulis.
Alhamdulillah, demikian pendapat dan saranan kami, dan dipersembahkan kepada tuan dengan segala rendah hati, semoga memperoleh sangka baik serta pertimbangn tuan yang wajar dan saksama. Wallahualam.
Terima Kasih.