KENYATAAN MEDIA
Pemuda keADILan mengutuk sekeras-kerasnya tangkapan yang dibuat oleh pihak
polis terhadap dua exco Pemuda keADILan Malaysia, saudara Lokman Nor Adam
dan Saudara N. Gobalakrishnan bersama lima orang lagi rakyat Malaysia (dua
lelaki, tiga wanita) hari ini. Saudara Lokman dan saudara Gobalakrishnan
berada di mahkamah majistret hari ini kerana menghadiri satu kes perbicaraan
yang melibatkan mereka. Mereka mempunyai alasan kukuh untuk berada di
mahkamah sesuai dengan prinsip dan semangat menjunjung kedaulatan
undang-undang negara. Tindakan polis menahan mereka merupakan satu
perbuatan yang jelas mencabul prinsip keluhuran undang-undang negara.
Tindakan polis yang merempuh dan merusuh ke atas perhimpunan awam yang telah
pun mulai bersurai memperlihat sikap biadap dan ganas pihak polis di negara
ini. Peristiwa ini memperjelas dakwaan saya semalam bahawa pembatalan
keputusan perbicaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini bermotif politik dan
merupakan agenda pemerintah memperalat polis dan institusi kehakiman
sendiri untuk lari dari menghadapi kenyataan berdepan dengan kebangkitan
rakyat yang jijik dengan permainan politik kotor dan tidak bertamadun
kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad. Saya ulangi kenyataan saya semalam dan
pagi ini yang mendakwa mempunyai bukti bagaimana seorang Timbalan Menteri
telah mengetahui beberapa hari lebih awal penangguhan keputusan perbicaraan
hari ini. Pemuda keADILan mendesak agar ke semua mereka yang ditahan hari
ini dibebaskan segera. Kami juga bersedia berkerjasama dengan Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi membuktikan keganasan polis hari ini. Kami
juga mendesak langkah segera harus diambil untuk mempastikan Hakim Mahkamah
Tinggi, Dato' Ariffin Jaka dipastikan bebas dari tekanan politik.
Polis semakin mengganas, satu program yang dijadualkan berlangsung di Markas
PAS Taman Melewar malam ini telah diarah dibatalkan oleh polis. Pihak
penganjur juga telah diugut untuk membatalkan program ini atau menghadapi
tindakan ditahan oleh polis. Tindakan polis ini jelas bercanggah dengan
undang-undang. Penganjur tidak seharusnya diugut. Program akan dijalankan
dalam premis sebuah parti yang sah dan berdaftar yang mempunyai hak
menjalankan program yang difikir sesuai oleh mereka dalam premis dan
bangunan parti! Jelaslah negara ini menuju ke arah Negara Polis!
Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua Pemuda
Parti keADILan Nasional
4 Ogos 2000