Guanna Gammok,
Kg Sungai Buaya, Dungun.
Kalau dulu, pemerhati kes Sauk terkeliru dengan babak yang berlaku
dan berita yang dilaporkan, kini giliran wartawan pula.
Semalam Bernama melaporkan kenyataan Tan Sri Norian Mai bahawa ahli
Al-Ma'unah yang tertangkap akan dikenakan tuduhan esok.
Sejurus selepas laporan itu disiarkan, Norian menafikan dengan
mengatakan, "Saya hanya memberitahu wartawan hari ini bahawa saya
akan menyediakan perkembangan terkini apabila saya berada di Perak
esok".
Apapun, semua itu melambangkan kehebatan tragedi Sauk yang berjaya
memaparkan gabungan babak yang melucukan, menakutkan, mengharukan dan
pada masa yang sama mengelirukan.
Melihatkan sehingga kini kekeliruan masih timbul, baik di pihak
pemerhati, baik di pihak pemberita, mahupun di pihak yang berkuasa,
maka rakyat dan golongan tertentu tidak harus dipersalahkan dan
diugut sekiranya mereka tidak mahu mempercayainya.
Sebenarnya 'simple' sahaja untuk menghapuskan kekeliruan.
Pertama, pihak polis hendaklah memastikan tiada golongan menggunakan
tragedi ini untuk tujuan politik.
Pihak polis hendaklah juga adil dan saksama di dalam menguatkuasakan
tindakan mereka itu -- janganlah hanya kepada golongan pembangkang
sahaja penguatkuasaan dikenakan.
Kedua, percepatkan urusan mengenakan tuduhan ke atas mereka yang
ditangkap. Mereka hendaklah di bawa ke muka pengadilan seberapa
segera.
Penggunaan ISA ke atas mereka tidaklah akan menghapuskan kekeliruan
dan tidak pula akan mengembalikan kredibiliti pihak polis dan pihak
berkuasa yang tercemar selepas kes mata lebam Anwar.
Malah penggunaan ISA boleh menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat
dan pemerhati.
Sekiranya mereka itu terlalu lama di dalam tahanan ISA, apa sahaja
kenyataan yang dibuat oleh mereka sebaik sahaja keluar daripada ISA
akan dianggap oleh rakyat dan pemerhati sebagai tidak benar,
dirancang, dan kesan daripada 'torture' dan 'brainwash'.
Kenapa perlu menggunakan ISA? Kenapa perlu menapis dan menyekat apa
yang kami sebagai rakyat ingin dan perlu tahu?
Kerajaan yang bersih, cekap dan telus tidak perlu berselindung di
sebalik akta zalim ISA.
Kerajaan yang adil dan saksama tidak perlu mengugut rakyat yang tidak
mahu percaya.