Sumber Berita :
Harakah Daily
KOTA BHARU, 30 Ogos (Hrkh) - Lebih 1,100 guru sekolah agama bantuan kerajaan negeri Kelantan kini semakin selesa apabila mendapat pembelaan sewajarnya kerajaan PAS.
Usaha mereka untuk mendapatkan beberapa kemudahan yang diperjuangkan sejak sekian lama, sekarang membuah hasilnya.
Antara keselesaan yang mereka nikmati sekarang iaitu kenaikan elaun sebanyak 10 peratus, kadar habuan persaraan bulanan dinaikkan dari RM250 kepada RM500 setahun.
Umur persaraan dipendekkan dari 55 tahun kepada 45 tahun atau guru bantuan yang sudah berkhidmat 15 tahun ke atas boleh memohon bersara dan diberi elaun habuan bermula dari tarikh guru berkenaan berkhidmat dengan kadar habuan persaraannya sebanyak RM500 setahun.
Selain itu, guru perempuan yang bersalin diberi elaun atau gaji penuh dan layak diberi kemudahan cuti selama 60 hari. Semua kemudahan tersebut dilulus berkuatkuasa mulai 1 Jun 2000.
Manakala kadar elaun baru yang dinaikkan 10 peratus berkuatkuasa mulai 1 Januari 2000. Kadarnya sebagaimana berikut;
- Guru berijazah dengan kepujian dinaikkan dari RM960 kepada RM1,086
- Guru berijazah am dinaikkan dari RM880 kepada RM968.
- Diploma atau STTUP dinaikkan dari RM475 kepada RM522.50
- STPM dinaikkan dari RM475 kepada RM522.50
- SPM/STU/STUP dinaikkan dari RM475 kepada RM522.50 Ekoran kenaikan itu, Persatuan Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Kelantan (PGSABK) merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri.
Yang Dipertuanya, Wan Jusoh Wan Mat berkata, kerajaan Kelantan begitu prihatin membela nasib guru-guru sekolah bantuan kerajaan negeri.
Katanya, kertas cadangan persatuan mengenai kenaikan elaun 10 peratus dikemukakan kepada kerajaan negeri pada 14 Julai lalu.
"Kelulusan mengenai kenaikan elaun itu diumumkan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik) selepas anggota Lembaga Yik pada mesyuaratnya pada 10 Ogos 2000 meluluskan permohonan tersebut," katanya di sini.
Menurutnya, pembayaran tambahan elaun 10 peratus kepada guru-guru sekolah agama bantuan itu berkuatkuasa 1 Januari lalu.
"Insya Allah guru-guru berelaun akan menikmati kadar kenaikkan elaun baru dan tunggakkannya pada September ini," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Yik menubuh Majlis Pengetua Sekolah Menengah Ugama (Arab) Bantuan Kerajaan Negeri.
Majlis pengetua berkenaan berperanan bagi membantu yayasan tersebut meningkatkan pencapaian sekolah-sekolah Yik di bidang akademik.
Majlis itu dipengerusikan Mudir Sekolah Asoriah Banggol Chicha, Pasir Mas, Ustaz Zulkefli Zakaria, naib pengerusinya, Mudir SMU (A) Darul Anwar Pulau Melaka, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan setiausaha, Ustaz Zulkefli Mat Yusof dari Taqadum Maarif, Pasir Tumbuh.