Petikan :
Tranung Kite eGroups
Malaysiakini adalah satu kumpulan wartawan bebas yang sejumlah besar
daripada mereka bukan beragama Islam. Memaklumi hakikat tersebut,
kita tidak wajar mengharapkan mereka bertindak adil dan peka terhadap
Islam.
Walau bagaimana pun, kita sebagai umat Islam hendaklah menjalankan
tanggungjawab dengan bersikap perihatin terhadap ketidakadilan dan
tohmahan yang cuba dilemparkan oleh segelintir penulis yang secara
sengaja ingin mencemarkan kewibawaan Islam, mahupun secara tidak
sengaja kerana kekurangan pengetahuan yang mendalam.
Dan saya amat bersetuju dengan tindakan segolongan penulis yang
begitu pantas memberikan tindakbalas terhadap penulisan yang telah
menghina agama kita Islam. Alhamdulillah, dan syabas kepada mereka
semua dan teruskan perjuangan.
Melihat kepada apa yang berlaku, saya melihat kepentingan penguasaan
pelbagai bahasa dengan cekap dan tinggi telah banyak membantu di
dalam usaha kita menagkis tohmahan prejudis yang telah dilemparkan
dan direncanakan.
Pada saya, saya menyukai Malaysiakini kerana berita dan ulasan
tentang perkembangan semasa adalah agak lebih bagus dan agak mematuhi
etika kewartawanan. Tambahan, berita yang disampaikan mempunyai
kredibiliti yang lebih kerana ia berdasarkan sumber yang kebenarannya
telah disahkan (selalunya).
Saya juga suka membaca penulisan daripada penulis-penulis tertentu.
Banyak daripada penulisan mereka yang saya agak bersetuju. Tetapi,
walaupun saya suka dengan penulisan mereka dan kebanyakannya
bersetuju dengan pandangan mereka, tidaklah bermaksud saya akan
sentiasa bersetuju dengan pandangan dan pendapat mereka.
Seperti juga halnya dengan penulisan Hishamuddin Rais di dalam
artikelnya yang bertajuk "Demo antikonsert cermin intelek cetek".
Pada pandangan saya, Hishamuddin agak keterlaluan dan kasar di dalam
penulisannya yang melabelkan penunjuk perasaan sebagai mereka yang
berfikiran cetek.
Mungkin beliau mempunyai niat yang murni. Tetapi adalah amat
bersopan dan boleh diterima umum sekiranya beliau mengakui bahawa
tunjuk perasaan yang dilakukan adalah tidak bersalahan dengan prinsip
demokrasi; bahkan adalah menjadi tuntutan di dalam Islam supaya
penganutnya menunjukkan pegangan mereka terhadap kemungkaran.
Mungkin Hishamuddin terlupa semasa menulis artikelnya itu bahawa
walau dengan apa jua cara, sikap yang jelas perlu diambil terhadap
kemungkaran. Selemah-lemah iman adalah mereka yang mencemuh
kemungkaran yang telah/sedang berlaku di dalam hati.
Selain daripada terus melabelkan mereka yang hanya mampu
berdemonstrasi tetapi tidak mampu membincangkan perkara seperti
penswastaan sebagai cetek dan mengaitkan fenomena tersebut dengan
pengaruh PAS, Hishamuddin sepatutnya melihat daripada skop yang lebih
luas seperti mengambil kira peranan dan kelemahan sistem pendidikan
di negara kita.
Walaupun Hishamuddin agak keterlaluan di dalam penulisannya itu,
kita sebagai golongan yang ingin mengejar kebaikan hendaklah pula
terbuka untuk menerima kritikan yang baik seperti kenyataannya
tentang ketidakmampuan pelajar (pada pemerhatian saya terutamanya
pelajar di dalam aliran pengajian Islam) untuk membincangkan perkara
yang lebih besar impaknya kepada masa depan umat islam terutamanya.
Untuk mengatasi kelemahan ini, jalan yang paling bagus ialah dengan
mencari keseimbangan di dalam apa jua bidang dan perlakuan. Selain
daripada mampu memahami dan menghayati Islam secara mendalam, kita
sebagai umat Islam harus juga mampu membincang dan menangai
permasalahan semasa seperti yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial.
Sebenarnya, sebagai umat Islam adalah menjadi tanggungjawab kita
untuk memahami, mematuhi dan menghayati ajaran Islam. Perlunya
kepada mewujudkan undang-undang di dalam perlembagaan seperti
undang-undang melarang orang Islam membeli dan meminum arak adalah
merupakan suatu yang malang bagi umat Islam kerana kekuatan keimanan
dan kepercayaan kepada keesaanNYA sepatutnya sudah cukup untuk
menjadi benteng yang menghalang kita daripada melakukannya.
Tetapi oleh kerana di dalam dunia ini tidak semua manusia mempunyai
tahap keimanan yang sama, walaupun merupakan suatu yang agak malang
dan memalukan, undang seumpama itu wajar diperlembagakan.
Berbalik kepada tujuan asal penulisan saya ini, sebelum berundur saya
ingin memberikan peringatan kepada diri saya dan juga kepada semua
saudara seperjuangan supaya selalu berhati-hati dan menilai setiap
apa yang kita baca. Kita jangan bersikap terlalu lurus dan senang
ditipu (naïve).
Malaysiakini bukanlah merupakan tempat yang sesuai untuk sesiapa yang
baru sahaja ingin menimba ilmu dan kefahaman tentang Islam, apatah
lagi untuk tujuan mendalami.
Kalau benar-benar ingin mengkaji dan memahami Islam, terdapat banyak
penulisan yang menyentuh secara ringkas dan juga mendalam daripada
buku, video dan laman tertentu. Walau bagaimana pun, untuk tujuan
mendalami dan menghayati, berguru dengan ulama tertentu amatlah
disarankan.
Wassalam,
Joe