Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Cabaran Milenium Baru: membendung gejala sosial

Umat islam di Malaysia hari ini dilanda masalah sosial seperti keruntuhan moral. Sesetengah mengatakan permasalahan sosial adalah di dalam keadaan yang berkadar terus dengan peningkatan kesedaran. Maksudnya, walaupun gelaja sosial sedang meningkat, kesedaran menjaga moral juga meningkat. Walau bagaimanapun, permasalahan sosial yang melanda harus ditangani.

Di dalam sesebuah negara yang ideal (seperti negara Islam yang berpandukan Al-Quran dan hadis), secara tersendirinya akan terdapat empat benteng/tembok yang dapat menghalang atau setidaknya dapat membendung daripada menularnya permasalahan sosial dengan berleluasa.

Benteng penghalang atau tembok tersebut ialah kekuatan diri (kekuatan keimanan di dalam diri), peranan keluarga, peranan masyarakat, dan peranan undang-undang.

Kalau dilihat kepada senario kehidupan di Malaysia hari ini, peranan masyarakat telah agak berkurangan dan undang-undang yang berkaitan tidak wujud pula. Kalau pun peranan masyarakat dan undang-undang masih wujud, ianya di dalam keadaan yang agak tidak sempurna (cacat) dan pergantungan sepenuhnya tidak boleh diberikan.

Berpandukan hakikat inilah (ketiadaan peranan masyarakat dan undang-undang di dalam bentuk yang sempurna), umat islam di Malaysia hendaklah meletakkan pergantungan dan kepercayaan mereka kepada kekuatan diri dan peranan keluarga di dalam membendung permasalahan moral yang sedang melanda masyarakat kita.

Ini amatlah bersesuaian kerana berbeza dengan masyarakat dan undang-undang, diri dan keluarga adalah elemen yang paling dekat dengan kita dan kita pula mempunyai kuasa ke atas mereka.

Walaupun begitu, tidaklah bermakna kita mengabaikan usaha ke arah mengembalikan peranan masyarakat dan peranan undang-undang. Bahkan, masyarakat (kita adalah di antaranya) memang sedang berusaha. Buktinya boleh dilihat melalui kecenderungan mereka untuk memilih, menyokong dan berjuang di bawah parti yang sanggup memperjuangkan keadilan dan nilai keislaman.

Tetapi kalau diteliti, daripada kedua-dua benteng tersebut, akhirnya kekuatan diri, iaitu kekuatan keimanan di dalam diri, adalah segala-galanya - benteng yang paling utama.

Ini kerana keluarga (ibubapa) boleh cuba berusaha sekuat dan sekeras mana di dalam menjaga dan mengawasi perlakuan kita, tetapi mereka tidak lah mampu melakukannya sepanjang masa. Malah peranan keluarga mula berkurangan setelah kita meningkat dewasa dan setelah kita mempunyai/memilih kerjaya sendiri.

Islam sendiri ada menegaskan bahawa setiap manusia akan bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan. Seseorang itu tidak akan menanggung dosa/pahala manusia yang lain.

Melalui kekuatan diri, di mana kita berada sama ada di dalam masyarakat yang tinggi tatasusilanya atau sebaliknya, bersendirian atau berteman, insyaAllah kita tidak akan terikut dengan rentak, jauh lagi daripada terjebak dengan gejala sosial.

Walahu'alam,
Johari Alwi,
Marang, Terengganu,
Ogos 2, 2000.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com