Sejak berakhirnya pilihan raya umum, senario politik semasa dalam negara kembali dingin. Suasana politik panas pilihan raya tenang kembali. Perang Dingin antara Barisan Nasional dan Barisan Alternatif mula reda. Kerajaan mula menasihati parti-parti politik supaya kembali berusaha mewujudkan keamanan dan perpaduan dalam negara. Walaupun dalam masa yang sama kerajaan BN melalui medianya sering menyiarkan berita-berita berunsur negatif terhadap parti-parti politik pembangkang.
PAS seperti biasa meneruskan program dakwah dan penyampaian maklumat kepada masyarakat melalui platform ceramah, kuliah, dialog, akhbar harakah dan laman web. PAS terpaksa menggunakan saluran media tersebut untuk menyampaikan maklumat kerana PAS tidak mempunyai media tersendiri sama ada radio dan televisyen. Akhbar-akhbar mainstream dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan yang diperintah oleh Barisan Nasional. PAS tidak mempunyai peluang untuk ke udara melalui televisyen dan radio. Namun program ceramah PAS terus mendapat sambutan, hatta selepas pilihan raya umum.
UMNO menyedari hakikat bahawa pengaruhnya makin merosot selepas pilihan raya umum dan dalam masa yang sama PAS terus mengadakan program ceramah-ceramah penerangan seluruh negara. UMNO tidak senang dengan senario ini dan mula menyalah dan menuduh PAS sebagai bertindak untuk mencetus ketidakamanan dan perpaduan dalam negara. UMNO berpendapat bahawa PAS patut menghentikan seluruh program ceramahnya kerana pilihan raya umum sudah berakhir. UMNO lupa bahawa mereka dengan mudah memanipulasi media untuk melebarkan pengaruh dan menyampaikan maklumat kepada rakyat.Sebaliknya PAS pula tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, dan terpaksa menggunakan saluran sendiri terutama ceramah.
Ketiadaan isu besar untuk dikaitkan dengan PAS membuatkan UMNO terkial-kial mencari punca.UMNO tidak boleh dengan terus membiarkan PAS memanipulasi ceramah-ceramah politik kerana ia dianggap akan menjejaskan maklumat yang disampaikan oleh kerajaan dan PAS memutarbelitkan maklumat sebenar. Ini semua adalah satu tuduhan yang sengaja direka oleh UMNO. Melaluinya UMNO mencipta satu perkataan iaitu "Fitnah PAS". Ceramah PAS dikaitkan oleh UMNO sebagai satu "fitnah oleh PAS terhadap kerajaan".
Ketenangan suasana politik mula kembali bergelora. UMNO mula menemui jalan dan isu yang patut dimainkan oleh media mereka. Penulis akan mengupas beberapa isu terkini yang menjadi senjata UMNO untuk memulihkan pengaruh mereka dan melumpuhkan pengaruh parti pembangkang terutamanya PAS.
Suasana politik dalam negara yang dingin kembali hangat apabila negara digemparkan dengan Kes Rompakan Senjata oleh lelaki berpakaian tentera di Kem Tentera Batalion 304, Grik, Perak. Namun setelah lebih sebulan isu rompakan senjata di Kem 304, Grik berlalu, peristiwa yang mengemparkan banyak pihak itu sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap tahap keselematan negara telah menimbulkan keraguan banyak pihak. Tanggapan masyarakat terhadap peristiwa tersebut berubah setelah berakhirnya tragedi itu yang akhirnya dikaitkan dengan satu pertubuhan silat Al-Maunah yang mempunyai matlamat hampir sama dengan matlamat perjuangan PAS. Penghujung peristiwa tersebut ialah ia diakhiri dengan satu isu politik.
Episod Sauk yang berakhir dengan penyerahan diri ahli al-maunah seramai 27 orang menimbulkan banyak persoalan. Peristiwa sauk saban hari diulas oleh laman reformasi sebagai satu drama yang gagal. Ia dianggap satu drama yang direka skrip oleh UMNO semata-mata untuk memburukkan imej Islam dan juga mengaitkan keganasan dengan PAS.
Saya mengikuti setiap hari laporan peristiwa di Grik itu melalui akhbar-akhbar pro kerajaan. Saya sendiri berfikir dengan akal yang rasional matang mengenai kejadian tersebut dan membuat penilaian hasil dari laporan-laporan yang dimuatkan di dalam akhbar-akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star dan akhbar-akhbar lain. Saya membuat satu kesimpulan, bahawa peristiwa rompakan tersebut tidak munasabah dan nampak seperti suatu perancangan telah dibuat bagi mengaitkan peristiwa itu dengan golongan ekstrimis dan pelampau Islam.
Laporan awal oleh KPN, Norian Mai menjelaskan bahawa rompakan tersebut disyaki dilakukan oleh sekumpulan 15 orang penjenayah yang terdiri daripada Melayu, India dan Iban dan ia tiada kaitan dengan sebarang pertubuhan politik di Malaysia. Namun laporan berikutnya menyatakan bahawa kumpulan Al-Maunah terbabit, hati saya mula terdetik untuk membuat sedikit penyelidikan ke atas laporan itu dan juga kumpulan Al-Maunah. Saya mula mencari laman web Al-Maunah dalam kategori silat untuk mendapatkan maklumat lanjut. Saya lihat kepada matlamat dan tujuan pertubuhan Al-Maunah. Jelas disitu terdapat suatu matlamat dan hasrat yang memang menyamai matlamat dan cita-cita PAS.
Hati saya mulai yakin bahawa peristiwa di Grik tersebut adalah suatu perancangan UMNO dan kerajaan untuk memusnahkan pengaruh dan imej PAS. Laporan akhbar yang berterusan mengenai perompak yang dikatakan berserban dan melaungkan takbir menguatkan keyakinan tersebut. Memang jelas bahawa seakan-akan wujudnya satu perancangan yang amat halus melalui peristiwa Sauk, ialah untuk mengharamkan PAS atau nama Islam pada PAS sebenarnya.
Sepanjang peristiwa Sauk, sehinggalah ke hari terakhir prompak menyerah diri, banyak percanggahan laporan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab yang mempunyai keabsahan untuk membuat kenyataan akhbar iaitu dari pihak Ketua Polis Negara, Menteri Pertahanan dan juga Panglima Tentera yang mengetuai operasi. Percanggahan laporan tersebut telah menyebabkan banyak pihak meragui kebenaran peristiwa rompakan tersebut. Ia juga diulas oleh Lim Kit Siang dalam laman malaysiakini.com.
Sehinggalah ke hari akhir peristiwa iaitu penyerahan diri dan sebulan lebih peristiwa itu berlaku, UMNO telah mencipta satu perkataan yang tidak pernah disebut oleh pihak pembangkang iaitu "sandiwara UMNO". Kita tertanya-tanya, siapa yang mengatakan UMNO bersandiwara dalam kes Grik ini. Adapun laporan dan ulasan dalam dalam web pro reformasi mengenai tuduhan bahawa ianya perancangan pihak kerajaan, adalah tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak sama ada yang rasmi atau tidak dari Barisan Alternatif.
Namun mengapa PM begitu sensitif sehingga secara terang menuduh PAS ada kaitan dengan Al-Maunah dan kes tersebut, walaupun diputar belit cerita oleh Astora Jabat yang menyatakan bahawa kerajaan tidak pernah menuduh PAS terlibat dengan kes tersebut. Namun, jelas kenyataan Dr. Mahathir semasa berucap merasmikan konvensyen UMNO Kedah, beliau mengaitkan secara langsung kumpulan Al-Maunah dengan ahli PAS. Laporan Bernama 22 Julai memetik kenyataan beliau bahawa Al-Maunah terdiri dari ahli-ahli PAS, malah Dr. Mahathir dengan jelas menyatakan bahawa Mohd Amin Razali serta keluarganya adalah ahli PAS dan kampung Sauk itu ialah kampung PAS.
Isu Al-Maunah ternyata menghantui Dr Mahathir, sama seperti isu Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga pihak kerajaan terpaksa mengadakan wawancara khas dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan isu tersebut. Kesan isu di Sauk, nampaknya tidak menyebelahi UMNO dan BN. Pihak UMNO terpaksa bertindak mempertahankan diri dengan cara mengadakan sesi penerangan seluruh negara mengenai isu Al-Maunah, walaupun PAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan dan perkataan "sandiwara UMNO". UMNO yang memulakan sandiwara dan mencipta satu frasa yang berbunyi "Sandiwara UMNO" dengan menggunakan semua media pro-UMNO, hanya dengan satu motif iaitu melumpuhkan pengaruh PAS serta Barisan Alternatif. Frasa tersebut dimanipulasi sebaiknya oleh UMNO melalui media dengan mengatakan bahawa "PAS menuduh Kes Sauk sebagai Sandiwara UMNO".
Perhatikan disini apa di sebalik rompakan senjata di Grik itu:
Motifnya jelas iaitu: Untuk menakutkan kaum-kaum lain yang bukan Islam kepada Islam dengan mengaitkan Islam secara langsung sebagai ekstrimis dan keganasan. (SB India dan Komando Mathew dilaporkan media sebagai dibunuh dengan kejam)
Mengapa Motif sedemikian: Kerana sokongan Bukan Islam terutama kaum Cina dan India terhadap PAS semakin bertambah sehingga pengaruh PAS meningkat.
Cubaan UMNO melumpuhkan pengaruh PAS dan BA nampak tidak begitu berkesan sebenarnya kerana UMNO dilihat terpaksa bersikap defensif atau mempertahankan diri, bukannya bertindak secara ofensif (serangan terhadap lawan). UMNO terpaksa menukar strateginya dan menukar pelan gerak sarafnya kepada Pelan B, iaitu mereka mesti bertindak secara ofensif. Pakar sarafnya berjaya menemui satu strategi yang ternyata berkesan iaitu "menimbulkan isu Amanat Haji Hadi". UMNO berjaya mengalih isu Sauk kepada isu yang dikatakan sebagai Amanat Haji Hadi yang kononnya dikeluarkan oleh Haji Hadi Awang pada 7 April 1981, di Kampung Banggol Peradong, Terengganu. Ternyata, UMNO menemui sengat berbisa melalui isu ini. Dihentam PAS habis-habisan kerana kononnya mengeluarkan fatwa mengkafirkan orang UMNO. Dikaitkan pula dengan solat dua imam yang ditimbulkan oleh UMNO di Besut. Semuanya menjadi bagi UMNO sehingga medianya sendiri pergi menemubual Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang bagi mendapatkan penjelasan mengenai Amanat tersebut.
Namun UMNO lupa dan tidak menyedari bahawa tindakannya menemubual Tuan Guru bukan satu langkah yang bijak dan menyebelahi mereka. Tuan Guru menjawab dengan baik dan berhikmah, sepertimana yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia, sehingga tiada ruang bagi UMNO untuk terus menyalahkan PAS dan Haji Hadi mengenai isu tersebut. UMNO dengan sendirinya menamatkan pelan Bnya apabila menyiarkan wawancara wartawan Utusan dengan YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Mungkin itu kesilapan UMNO ataupun UMNO ada motif lain untuk terus mengenakan PAS. Namun tindakan ofensif UMNO tidak berakhir, bila Astora Jabat terus menyalahkan Amanat Haji Hadi dalam ruangan Bicara Agama dalam Utusan malaysia. Astora Jabat mencabar PAS dan meminta Tuan Guru Haji Hadi bertaubat. Mengapa Astora Jabat begitu berani ?. Ini Kerana Astora tidak boleh dicabar balik secara terbuka melalui akhbar dan media lain oleh PAS. Astora dengan senang hati saban hari menyerang PAS dan pemimpin PAS melalui ruangannya di Utusan Malaysia kerana PAS tidak mempunyai ruangan yang sedemikian di mana-mana media.
Apa sebenarnya motif Pelan B ini ?
1. UMNO cuba mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap mereka, setelah peratus undi Melayu yang diperolehi oleh UMNO dalam pilihan raya umum lalu merosot dengan teruk.
2. Melumpuhkan pengaruh dan prestasi PAS serta memudarkan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap PAS.
Amanat Haji Hadi berakhir walaupun tidak sepenuhnya dan masih disebut oleh pihak UMNO. UMNO menemui perancangan baru dengan mengemukakan Pelan C. Pelan baru gerak saraf UMNO ialah Hak Istimewa orang Melayu. Mula dibangkitkan dengan sengaja oleh media UMNO dengan menyiarkan saranan David Chua dalam Mapen II, yang kononya boleh menghapuskan hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia berterusan sehingga pemimpin-pemimpin UMNO terus mengeluarkan kenyataan dan mendesak kerajaan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.
Isu ini meledak diwaktu Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew melawat Malaysia. Mengapa ia sengaja ditimbulkan semasa Lee Kuan Yew berada di sini? Kita masih tertanya-tanya apa motifnya. Adakah untuk memberi isyarat kepada Singapura bahawa Malaysia tetap bertegas dalam soal hak-hak keistimewaan orang Melayu, kerana dulu Lee Kuan Yew pernah membangkitan soal meritokrasi, iaitu kelebihan diberi berdasarkan merit, bukan berdasarkan kaum dan Malaysia patut mengamalkan prinsip meritokrasi ini.
Semua media cetak dan elektronik terus membangkitkan isu ini sehingga ditimbulkan kembali 17 tuntutan pilihan raya oleh Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu). Seolah-olah media memang dikawal dan diarah untuk memaparkannya kepada rakyat. Utusan dan TV 3 sekali lagi menjadi media yang amat aktif memainkan peranan tersebut. Isu ini ternyata hangat bila disiarkan bantahan-bantahan dari orang Melayu dan juga Pemuda UMNO Malaysia. TV 3 memaparkan bantahan dari golongan profesional Melayu termasuk pelajar IPT yang melakukan demontrasi di Putra Jaya. Tidak pula kelihatan FRU yang mengawalnya dan ia seperti dikepalai oleh PM apabila beliau sendiri yang berucap pada perhimpunan tersebut sehingga sebak dada. Tiada pula yang ditangkap kerana menyertai perhimpunan haram tersebut. Pemuda UMNO Malaysia dipimpin oleh Naib Ketuanya juga mengadakan demontrasi dan menghantar memorandum kepada Suqiu. Perhimpunan aman nampaknya halal bagi UMNO tapi haram bagi Barisan Alternatif.
Isu Hak Keistimewaan Orang Melayu terus dimainkan oleh media. Pemimpin-pemimpin UMNO pula terus memberi ulasan dan krtikan masing-masing ke atas pihak yang cuba mempertikaikan hak-hak tersebut. Mengapa media membangkitkan isu tersebut ? Adakah ia boleh dianggap mencabul Akta Hasutan kerana cubaan media dan UMNO seolah-olah untuk menimbulkan ketegangan antara kaum? Siapa yang patut memberi tafsiran? UMNO mempunyai imuniti dalam semua aspek. Walau apa kenyataan dan isu yang dibangkitkan, ia tetap tidak melanggar Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan ISA di sisi UMNO dan BN.
Walaupun isu tersebut menjadi satu agenda utama UMNO, terutama gerakan Pemudanya, mengapa ia dibangkitkan ketika ini. Pemuda UMNO bersungguh-sungguh menyerang Suqiu walaupun tindakan Suqiu mengemukakan tuntutan itu sebenarnya telah diterima oleh kabinet Dr Mahathir sebelum berlakunya pilihan raya umum. (sila rujuk Berita Harian 23 September 1999 "Kabinet terima petisyen kaum Cina). Tidakkah tindakan pemuda UMNO ini seperti ingin memulakan perang dengan rakan kongsi BN yang lain iaitu MCA dan Gerakan. Suqiu dalam kenyataannya menjelaskan bahawa mungkin terdapat silap faham terhadap 17 tuntutan tersebut. Menurut Suqiu, tuntutan mereka langsung tidak dikaitkan dengan hak keistimewaan Melayu sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan.
Semua pemimpin UMNO nampaknya berjuang habis-habisan dalam isu mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Mungkin ada pakatan terlebih dahulu antara UMNO dengan MCA dan Gerakan sebelum isu ini ditimbulkan oleh media dan pemimpin UMNO. Ada tersirat sesuatu disebalik isu ini, sama seperti isu Sauk dan Amanat Haji Hadi. Apa motif UMNO dan media-media mereka memanipulasikan isu tersebut
Ternyata motifnya mudah untuk dikenalpasti dan hanya ada satu matlamat utama UMNO iaitu untuk mengesahkan kepada rakyat bahawa UMNO adalah satu-satunya tunjang kepada masyarakat Melayu dan satu-satunya parti yang dapat mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Naib Presiden UMNO (Dato' Seri Najib) sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia 21 Ogos 2000 (Isnin) yang berbunyi "Hak Melayu tetap dipertahan selagi UMNO berkuasa". Kenyataan ini membawa maksud tersirat bahawa, hanya UMNO yang boleh mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Untuk mencapai matlamat tersebut, UMNO terus merayu rakyat agar mereka terus memberi sokongan yang padu kepada UMNO demi keutuhan bangsa Melayu dan memelihara kepentingan dan hak-hak mereka dari digugat oleh bangsa-bangsa lain. Dengan kaedah ini, UMNO mengharapkan sokongan kaum Melayu terhadap parti mereka dapat dipulihkan setelah merosot teruk dalam pilihan raya umum 1999 yang lalu.
Selepas isu ini, apa pula sandiwara UMNO seterusnya ? Pokok pangkalnya, apa jua isu yang terpapar di dada-dada akhbar serta media elektronik pro kerajaan Barisan Nasional, hanya merupakan satu agenda gerak saraf mereka untuk memanipulasi pemikiran rakyat agar terus memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Pengkaji politik
BA Pentadbiran Awam