Sumber :
Kini-Malaysia eGroups
Tidak pernah terjadi dalam sejarah di Malaysia, mungkin di dunia agaknya, seorang Ketua Hakim Negara yang sepatutnya mendengar kes rayuan orang tertuduh, telah berubah posisi menjadi orang tertuduh. Manakala orang tertuduh pula menjadi Pendakwa raya. Tetapi ini benar-benar berlaku. Bukan di tempat lain, tetapi di Mahkamah Persekutuan Malaysia di Kuala Lumpur, pada 1 Ogos, 2000.
Hal ini berlaku antara Tun Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri. Anwar memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya melucutkan Eusoff Chin dari menjadi panel hakim yang mendengar kes rayuannya bagi memohon supaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kesnya.
Pada kira-kira jam 10.50 pagi, Peguambela Anwar, Christopher Fernanado memaklumkan mahkamah bahawa perayu (Anwar) hendak mengemukakan permohonannya sendiri. Eusoff Chin, berkata mahkamah boleh membenarkannya tetapi Anwar hendaklah melepaskan peguamnya. Anwar bagun dari kandang tertuduh lalu menyatakan dia bersetuju. Inilah permulaan kepada pertukaran senario di Mahkamah Persekutuan itu.
Anwar selama hampir dua jam telah berhujah mengapa Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin itu sepatutnya berundur dari mendengar kes rayuan itu. Sepanjang hujahnya itu, maka satu persatu terdedah akan tembelang busuk Ketua Hakim Negara yang tidak diketahui rakyat selama ini. Rupa-rupanya Ketua Hakim Negara ini terlibat dengan rasuah, dan pernah disasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan banyak perkara yang menjejaskan kewibawaan seorang Ketua Hakim Negara telah dilakukannya.
Apabila timbul kontroversi tentang Ketua Hakim Negara bercuti ke New Zealand bersama peguam V.K. Lingam dan keluarga masing-masing, banyak pihak mendesak supaya satu tribunal diadakan untuk membicarakan Tun Eusoff Chin itu. Tetapi desakan itu telah ditentang oleh Perdana Menteri.. Hasrat orang ramai yang mahu melihat Tun Eusoff Chin yang dituduh rasuah dan mencemar kewibawaan seorang Ketua Hakim Negara dibicarakan di dalam satu tribunal tidak kesampaian.
Tetapi tanpa diduga oleh sesiapa, Anwar Ibrahim secara solo telah berjaya membentuk tribunalnya sendiri di Mahkamah Persekutuan bagi membicarakan segala salah laku Tun Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara. Senario di Mahkamah Persekutuan semalam, bukan Anwar yang dibicarakan tetapi Ketua Hakim Negara dihakimkan.
Apabila perbicaraan bermula selepas mahkamah ditangguhkan sebentar, Anwar bangun dan berkata, "Saya dengan hormatnya memohon kepada mahkamah ini supaya Yang Arif Tun Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara menggugurkan dirinya dari mendengar kes rayuan ini,"
"Asas kepada perbicaraan yang adil ialah segala proseding, termasuk kes rayuan selepas ini, dijalankan oleh sebuah mahkamah yang cekap, bebas dan tidak memihak seperti yang ditetapkan oleh undang-undang. Prinsip ini termaktub di dalam Undang-Undang dan amalan Antarabangsa, dan juga Perlembagaan Malaysia," tegas Anwar. Bekas TPM itu kemudian menyebut kes Valente vs The Queen (1998) dalam Mahkamah Agung Kanada sebagai "authority" bagi menyokong hujahnya itu.
Sejak dihadapkan ke mahkamah bermula September 1998, hampir dua tahun Anwar melihat bagaimana para peguambela, pendakwa raya dan para hakim bercakap dan berhujah di mahkamah. Kini Anwar agaknya sudah masak, lalu di Mahkamah Persekutuan yang menjadi mahkamah rayuan tertinggi di Malaysia, Anwar muncul mewakili dirinya sendiri. Dalam dia mengketengahkan kes rayuannya, dia menghakimi Ketua Hakim Negara yang kontroversi itu.
Anwar berkata; "Saya mempunyai cukup bukti untuk menunjukkan bahawa Ketua Hakim Negara memperolehi penyambungan jawatannya bagi selama enam bulan lagi adalah untuk mempastikan supaya tidak ada tindakan diambil ke atasnya, dan untuk mempastikan bahawa saya gagal dalam rayuan saya ini. Saya juga mengetahui, sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu, bahawa BPR telah menyiapkan satu laporan awal terhadap Ketua Hakim Negara pada tahun 1998 mengenai rasuah".
"….dan isu rasuah itu tinggal tergantung," sambung Anwar. "Adakah Ketua Hakim Negara berani melakukan sesuatu yang tidak disenangi Perdana Menteri?"
Anwar kemudian berkata adalah sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Ketua Hakim Negara dituduh dengan salah laku, dan tuduhan-tuduhan itu disokong dengan gambar-gambar fotograf. Anwar merujuk kepada percutian Ketua Hakim Negara dengan Peguam V.K. Lingam ke New Zealand pada Disember tahun 1994.
Seterusnya, Anwar mendakwa dari bawah dan Ketua Hakim Negara kelihatan begitu kecil di meja tingginya di atas. Tun Eusoff Chin kelihatan resah macam orang bersalah. Kata Anwar, dia dulu adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet menentang Rasuah. Kerana itu dia adalah pihak yang terlibat dalam sisatan BPR pada tahun 1998 itu ke atas Ketua Hakim Negara.
Isu yang relevan di sini, ialah bagaimana mungkin seorang Ketua Hakim Negara, seorang yang disyaki dalam siasatan BPR itu, tidak dicurigai menyimpan dendam terhadap Anwar?
Anwar malah memberitahu mahkamah semalam bahawa Perdana Menteri ada memberitahunya dulu bahawa Ketua Hakim Negara marah kepadanya (Anwar).
Anwar juga mengingatkan Ketua Hakim Negara bahawa dia (Ketua Hakim Negara) pernah marah terhadapnya (Anwar) kerana ucapan Anwar pada Julai 1998 di hadapan perhimpunan pelajar-plajar Malaysia di London. Dalam ucapan itu bekas TPM itu membuat komen terhadap kes Lim Guan Eng. Anwar berkata semalam, Peguam Negara yang memberitahunya dulu tentang Ketua Hakim Negara marah kepadanya.
Ketua Hakim juga marah terhadap Anwar kerana Anwar bertemu dengan Syed Ahmad Idid, seorang hakim yang telah mengkritik sistem kehakiman Malaysia.
Akhir sekali Anwar membangkitkan kes saham Ayer Molek yang membabitkan Ketua Hakim Negara. Anwar berkata kemudiannya di hadapan panel Mahkamah Persekutuan itu bahawa keyakinan masyarakat umum terhadap kehakiman telah terhakis.
Ketua Hakim Negara amat marah dengan pendedahan segala salahlakunya. Dia kelihatan seperti orang yang tertuduh terpaksa membela dirinya di mahkamah yang dia sendiri ketuai.
Lalu Anwar berkata, "Demikianlah semuanya yang saya tahu tentang anda, jadi saya khuatir akan sikap berkecuali anda. Dengan itu, saya merayu supaya anda menggugurkan diri,"
Anwar kemudian duduk. Ketua Hakim Negara kemudian mengisytiharkan dia tidak akan menggugurkan dirinya. Perbicaraan kes rayuan itu akan diteruskan dengan dia menjadi salah seorang panel hakimnya.
Demikianlah rupa dan wajah sistem kehakiman di Malaysia waktu kini. n
tMK