Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Gerakan protes bermula Jumaat ini

Aug 9, 2000

Gerakan protes bermula Jumaat ini
Ariani Rustam

2:30pm, RABU: Penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan perhimpunan protes proreformasi bermula Jumaat ini walaupun beliau dihukum penjara sembilan tahun atas tuduhan liwat oleh Mahkamah Tinggi semalam.

Sebuah laman web proreformasi, Laman Reformasi, hari ini mengumumkan tiga acara, termasuk dua perhimpunan aman selepas sembahyang Jumaat di Masjid Negara.

Satu lagi perhimpunan akan diadakan di Penjara Sungai Buloh, tempat Anwar dipenjarakan, bagi menyambut ulang tahun hari lahir ke 53 pemimpin yang mempelopori Gerakan Reformasi itu sejak dipecat dari kerajaan dan Umno pada September 1998.

Mereka juga bercadang mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada pagi Sabtu ini.

Orang ramai diseru menyertai acara-acara tersebut.

Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor memberitahu malaysiakini hari ini, beberapa kumpulan penyokong reformasi telah mengundang beliau untuk hadir di Masjid Negara pada hari itu.

"(Acara) ini membuktikan bahawa keputusan yang zalim terhadap Anwar tidak mematahkan semangat penyokong reformasi, malah rakyat semakin beriltizam untuk melakukan perubahan," kata Ezam.

"Hukuman yang dijatuhkan ke atas Anwar membuktikan betapa kezaliman pihak berkuasa telah sampai di kemuncaknya. Ini merupakan satu peristiwa yang malang bagi negara," tambah beliau lagi.

Ezam menambah, Pergerakan Pemuda KeADILan akan meneruskan usaha menerangkan kepada rakyat tentang "kezaliman" pemerintah sekarang supaya rakyat dapat mengambil iktibar dan menamatkannya.

Menurut Ezam lagi, beberapa wakil badan bukan kerajaan bersama Pemuda KeADILan akan berkumpul di perkarangan Dewan Bahasa dan Pustaka pada jam 9 pagi sebelum bergerak ke pejabat Suhakam di Wisma Putra, beberapa meter dari tempat berkumpul itu.

Suhakam telah pun bersetuju untuk bertemu dengan mereka dan menerima memorandum yang akan disampaikan nanti, katanya lagi.

Ezam berkata, beliau berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Musa Hitam.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) yang masih menunggu pendaftaran memohon permit polis hari ini untuk mengadakan acara menyalakan lilin di hadapan Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur selama sembilan malam berturut-turut bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar.

Sembilan malam dipilih bagi mewakili tempoh Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun atas tuduhan tersebut.

Setiausaha Agung parti itu, P Uthayakumar bagaimanapun berkata dia belum menerima sebarang jawapan dari polis berhubung permohonan itu.

Menurutnya, walaupun beberapa anggota parti itu tidak bersefahaman dengan KeADILan, "namun keputusan ke atas Anwar itu telah menaikkan kemarahan kami."


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com