SAYA kira pertemuan dari hati ke hati antara pimpinan
Barisan Alternatif adalah usaha untuk memelihara
keutuhan kesatuan dan keutuhan platform pembangkang
yang telah meraih kejayaan yang cemerlang dalam
pilihan raya baru-baru ini. Pertemuan yang diadakan di
Petaling Jaya pada 20 Ogos 2000 ini pastinya bukanlah
pertemuan enteng, tetapi mempunyai kesan yang besar
terhadap penggemblengan tenaga BA dalam menentang UMNO
dan BN.
Sejak kebelakangan ini, BA seolah-olah dilanda krisis
dalaman apabila media-media utama yang bertindak
sebagai jurucakap tidak bertauliah UMNO mengangkat
ura-ura DAP untuk berpisah daripada BA. Media-media
tersebut bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal
apabila berita-berita perpecahan BA mula dihidu dan
cuba digembar-gemburkan.
Hakikatnya, pergeseran yang wujud dalam BA adalah
ibarat ribut di cawan kopi. Bukan sahaja BA, malah BN
yang dilagendakan kesatuan dan kekukuhannya pun sering
sahaja berkocak. Cuma kocakan BN disembunyikan oleh
media-media tersebut dan hanya disiarkan apabila Dr.
Mahathir kononnya sebagai wira perpaduan menenangkan
kembali.
PAS dan DAP adalah dua buah parti politik yang
mempunyai perbezaan yang cukup jauh. PAS mengangkat
kedaulatan Islam sebagai asas perjuangan, malah DAP
pula bermatlamatkan sebuah negara Malaysia yang adil,
bebas dan demokratik. Perbezaan ini juga dimiliki oleh
UMNO dan MCA khususnya, apabila UMNO adalah parti
kebangsaan Melayu atau nasionalis, manakala MCA
sendiri adalah parti chauvanis Cina.
Oleh sebab perbezaan yang besar ini, maka penerimaan
salah sebuah parti terhadap prinsip dan manhaj gerakan
adalah sukar dibuat melainkan melalui proses
musyawarah dan istisyar yang tebal dan
bersungguh-sungguh. Justeru, tidak hairanlah, BA
menjadikan musyawarah sebagai jalan penyelesaian
terhadap apa-apa jua masalah yang timbul.
Hal ini berlawanan dengan BN yang digembar-gemburkan
kekononannya sebagai barisan yang kukuh dan hanya
benar-benar bersatu. Setiap pergeseran yang timbul
berakhir dengan keputusan Dr. Mahathir sebagai
Pengerusi BN. Ini menunjukkan, walaupun Dr. Mahathir
bertindak atas kapasiti Pengerusi, tetapi seolah-olah
menolak prinsip musyawarah yang sepatutnya diamalkan.
Pertemuaan tersebut berlangsung antara orang
besar-besar BA, iaitu, di sebelah PAS, YAB Tuan Guru
Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan); YB Dato Fadzil
Mohd. Noor (Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang
Parlimen Malaysia); YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang (Timbalan Presiden PAS merangkap Menteri Besar
Terengganu); YB Haji Mustafa Ali (Naib Presiden PAS
merangkap ahli EXCO Negeri Terengganu); YB Dato Abdul
Halim Abdul Rahman (Bendahari PAS merangkap Timbalan
Menteri Besar Kelantan); dan YB Nasharudin Mat Isa
(Setiausaha Agung PAS merangkap Ahli Parlimen Yan).
Manakala di sebelah DAP pula dihadiri oleh Lim Kit
Siang (Pengerusi Kebangsaan DAP); YB Kerk Kim Hock
(Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Kota
Melaka); YB Tan Seng Giaw (Naib Pengerusi Kebangsaan
DAP merangkap Ahli Parlimen Kepong); Lim Guan Eng
(Naib Pengerusi Kebangsaan DAP); YB Teresa Kok
(Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP merangkap Ahli
Parlimen Seputeh); dan Dr. Chen Man Hin (Penasihat
Kebangsaan DAP).
Dalam masa yang sama, pemimpin BA lain yang turut
hadir ialah Dr. Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden,
Parti Keadilan Nasional (keADILan) yang
mempengerusikan mesyuarat dan Presiden Parti Rakyat
Malaysia (PRM), Dr. Syed Husin Ali.
Antara kesepakatan yang dibuat dalam mesyuarat
tersebut adalah persetujuan pemimpin-pemimpin PAS dan
DAP tentang prinsip-prinsip kebersamaan dalam
bergerak, iaitu, sebelum sesuatu dasar atau tindakan
yang berkaitan dengan agama, budaya, akhlak atau
kedudukan wanita yang menyentuh kepentingan masyarakat
berbilang kaum, agama dan budaya di Malaysia,
diumumkan kepada khalayak ramai, perbincangan akan
diadakan di peringkat Majlis Pemimpin-Pemimpin Barisan
Alternatif. Prinsip dan proses musyawarah ini akan
diamalkan juga dalam menangani beberapa isu semasa
yang sebelum ini menimbulkan perselisihan dalam
interaksi PAS dan DAP. Musyawarah akan disusuli dengan
tindakan sewajarnya oleh kerajaan-kerajaan Kelantan
dan Terengganu, jika perlu, dalam keadaan tertentu.
Saya kira persepakatan ini tentulah lebih banyak
menyentuh tindakan-tindakan di sebelah PAS kerana
selepas kemenangan PAS di Terengganu, Lim Kit Siang
dan pimpinan-pimpinan DAP yang lain terpaksa berkejar
ke Pantai Timur untuk mendapatkan maklum balas
terhadap agenda Kerajaan Negeri Terengganu di bawah
Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beberapa isu penting yang
sebenarnya kesan daripada eksploitasi media utama
terhadap PAS menyebabkan DAP pasti tidak senang duduk
selagi mana PAS tidak ‘didiamkan’ daripada mencetuskan
agenda dan projek yang berkait rapat dengan negara
Islam.
Sudah tentulah, hal ini berpunca daripada
ketidakfahaman DAP terhadap agenda negara Islam yang
menjadi prinsip perjuangan PAS. Sememangnya sukar
untuk memberikan kefahaman kepada DAP yang majoritinya
adalah non-Muslim tentang negara Islam yang sebenar,
bukannya negara Islam yang dimomok-momokkan oleh media
utama dan BN. Oleh itu, setiap kali, media utama
menggeletek DAP dan BA dengan isu negara Islam PAS,
maka setiap kali itulah seolah-olah DAP cepat melatah.
Mujurlah, latahan DAP dapat dipadamkan apabila DAP
sanggup untuk bersemuka dengan PAS manakala, PAS
dengan senang hati menerima DAP untuk menerangkan
hakikat yang sebenar.
Oleh itu, adalah wajar andainya PAS mengadakan forum
atau seminar khas yang menerangkan kedudukan negara
Islam yang diperjuangkan oleh PAS sebagaimana yang
termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah. Saya melihat
selagi mana PAS tidak menerangkan kenegaraan Islam
secara terperinci, maka selagi itulah, DAP akan
terpaksa ‘berkejar ke sana dan ke mari’ apabila isu
daulah ini tercetus.
Persepakatan yang dibuat pada hari tersebut adalah
langkah awal untuk menautkan kembali komponen BA,
namun bukan kelangsungan terhadap kesatuan di kalangan
mereka. PAS sudah memahami prinsip Malaysian Malaysia
DAP, tetapi DAP masih belum memahami prinsip
kenegaraan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Melalui forum dan seminar khas ini, maka PAS akan
mendedahkan negara Islam daripada perspektif sejarah,
kepentingan dan kerelevanan kepada keseluruhan
pimpinan BA yang lain termasuk Keadilan. Sudah
tentulah hal ini perlu membabitkan pemimpin-pemimpin
BA di semua peringkat termasuklah di peringkat
cawangan.
Saya kira persoalan ini sebenarnya tidaklah menjadi
masalah kerana forum atau seminar khas ini boleh
dipecahkan sama ada mengikut zon atau pun mengikut
negeri. Tenaga-tenaga untuk mengisi agenda ini
mestilah tenaga yang sudahpun memahami selok-belok
kenegaraan Islam tersebut, dan berpandukan kertas
kerja yang disiapkan.
DAP tidak perlu bimbang dengan agenda ini. Sebenarnya
yang perlu bimbang terhadap agenda ini hanyalah UMNO
dan BN!
Hj Mohnas
=====