Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Keberanian Milik Kita. Kecurigaan Bukan Milik Kita!

Saya telah pun membaca respons Cucu Dato’ Bahaman terhadap pandangan saya. Secara peribadi, saya meminta maaf terhadap beliau kerana menganggap beliau adalah salah seorang daripada mereka yang berhijrah daripada sebuah parti purba itu. Dalam hal ini, mungkin saya agak lancang, walaupun pada hakikatnya tanggapan saya tersebut hanyalah berbentuk kebarangkalian sebagaimana yang saya tulis dalam artikel tersebut.

Saya adalah ‘tunas’ baru dalam penulisan esei di ruang siber ini. Namun, ini tidak bermakna saya amat baru dalam bidang penulisan kerana sekurang-kurangnya, saya telah menulis sebelum Anwar Ibrahim dizalimi lagi. Cumanya, mungkin kerana ruang lingkup penulisan saya hanyalah bersekitar di kalangan masyarakat kampus di tempat pengajian saya, maka barangkali Cucu Dato’ Bahaman tidak menyedari kewujudan saya ini.

Sememangnya saya bersetuju dengan tanggapan beliau bahawa aktif atau tidak dalam aktiviti parti bukanlah suatu ukuran mutlak komitmen terhadap perjuangan menegakkan yang haq sebagaimana saya mengharapkan beliau turut bersetuju dengan pandangan saya bahawa ukuran keberanian itu bukan hanya terhenti seperti yang ditulis oleh Cucu Dato’ Bahaman tersebut.

Sebagaimana Cucu Dato’ Bahaman mempertahankan komitmen beliau terhadap haq bukan semata-mata bergiat aktif dalam parti politik, saya kira adalah tidak adil untuk beliau menuduh pihak atau pun individu perseorangan sebagai pengecut, hanya kerana tidak mengikut jejak langkah Anwar Ibrahim.

Mungkin, Cucu Dato’ Bahaman tidak pernah berhadapan dengan ugutan dan tindakan di luar batas demokrasi seperti yang dihadapi oleh guru-guru yang pro-PAS kerana beliau mungkin tidak menyerlahkan kedudukan politiknya [saya harap ini bukan tuduhan cacat dan lancang lagi]. Begitu juga, sekian banyak calon PAS yang sebelum bertanding dalam pilihan raya adalah pegawai-pegawai kerajaan terutama dalam bidang pendidikan yang terpaksa menganggur hanya kerana kalah dalam pilihan raya tersebut [ironiknya mereka sendiri tahu betapa mereka kemungkinan mereka kalah dalam pilihan raya adalah besar].

Begitu juga, dalam masa yang sama, betapa ramai pelajar-pelajar yang pro-PAS mengalami diskriminasi, terutama mereka yang menuntut di sekolah-sekolah kerajaan. Bukan sedikit, mereka ini dianggap seperti penjenayah atau sekurang-kurangnya pelaku kesalahan disiplin sehingga mereka diburu, diintai, diintip dan diancam. Namun, mereka tetap setia dengan prinsip mereka walaupun mereka hanyalah anak belasan tahun sahaja.

Inilah hakikat keberanian yang terselindung di sebalik keberanian seorang Anwar. Anwar Ibrahim juga seorang yang berani. Namun, dalam masa yang sama, bukan hanya beliau sahaja yang berani. Itulah, idea utama yang saya kemukakan dalam artikel saya yang lepas.

Saya juga sebagaimana Cucu Dato’ Bahaman, tidak berhajat untuk ‘bergaduh’ dengan beliau. Saya sudah menghabiskan masa saya selama dua tahun ‘bergaduh’ dengan mereka yang tidak sealiran dengan PAS seperti Ikhwan Utara dan ABIM [dengan maaf kerana ketika itu mereka masih bersama-sama dengan UMNO], lalu saya mendapati pergaduhan tersebut adalah sia-sia.

Namun, saya kira adalah perlu saya memperbetulkan tanggapan beliau terhadap kayu ukur keberanian itu. Saya yakin, sebagaimana ramai yang menyokong pandangan Cucu Dato’ Bahaman, maka tidak salah untuk saya katakan bahawa ramai juga yang menyokong pandangan saya. Namun, ramai di sebelah Cucu Dato’ Bahaman dan ramai di sebelah saya sebenarnya mempunyai ittijah atau tujuan yang sama.

Kita berhadapan dengan kerajaan purba Dr. Mahathir yang berjenterakan t-rex yang ganas. Namun, keganasan tersebut masih belum dapat ditangkis, bukan kerana kita tidak berani, tetapi kerana keberanian kita tidak digemblengkan seoptima mungkin.

Kita mempunyai mereka yang berani di kalangan PAS. Kita mempunyai mereka yang berani di kalangan Keadilan. Kita mempunyai mereka yang berani di kalangan DAP. Kita mempunyai mereka yang berani di kalangan PRM. Kita mempunyai mereka yang berani di kalangan mahasiswa. Kita mempunyai mereka yang berani di kalangan ‘academician’. Kita mempunyai mereka yang berani di kalangan buruh. Dan tidak lupa, kita mempunyai mereka yang berani di kalangan reformis jalanan. Namun, keberanian tersebut tidak digemblengkan.

Dalam masa yang sama, timbul kecurigaan di antara satu sama lain. Hal ini semakin parah, apabila ada di kalangan kita sendiri yang menyuburkan kecurigaan tersebut. Mereka ini adalah wujud di kalangan PAS. Mereka ini juga adalah wujud di kalangan Keadilan. Mereka ini juga adalah wujud di kalangan DAP. Mereka ini juga adalah wujud di kalangan PRM. Mereka ini juga adalah wujud di kalangan mahasiswa. Mereka ini juga adalah wujud di kalangan ‘academician’. Mereka ini juga adalah wujud di kalangan buruh. Dan tidak lupa, mereka ini juga adalah wujud di kalangan reformis jalanan.

Kecurigaan inilah yang cuba dimanipulasikan oleh UMNO dan BN. Mereka tidak berjumpa dengan kelemahan-kelemahan yang cukup kuat untuk dieksploitasi melainkan kecurigaan tersebut. Malangnya, di kalangan kita cuba untuk menyuburkan kecurigaan tersebut atas dalih kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Saya kira, saya, Cucu Dato’ Bahaman dan setiap akar, batang, ranting, daun dan buah kepada perjuangan ini berkewajiban untuk menyingkirkan kecurigaan ini daripada kita semua. Sekarang bukan masalah Negara Islam PAS, Malaysian Malaysia DAP, Isu Anwar Keadilan, atau apa-apa jua slogan. Namun, sekarang, adalah masalah untuk menjatuhkan parti pemerintah seorang diri Dr. Mahathir.

Ingat, 2004 adalah, “Revenge. Sweet lasting revenge. Now it’s time for all of us to get a taste. It’s time to payback!” [Michael; lakonan Brad Pitt dalam Sleepers]

Hj Mohnas


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com