Majlis Peguam Malaysia
Kenyataan Umum berkenaan Penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri Yang Berterusan
Majlis Peguam mengambil berat tentang penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1964(ISA) yang berterusan oleh pihak berkuasa untuk menangkap sekurang-kurangnya 67 orang yang disyaki ahli pertubuhan Al-Maunah yang mempunyai kaitannya dengan keganasan yang berlaku di Sauk.
Majlis Peguam menegaskan bahawa pihaknya tidak bersetuju / merestui apa-apa tindakan ganas ataupun ancaman-ancaman terhadap nyawa dan harta oleh mana-mana pihak. Badan ini berasa terkejut dan sedih dengan peristiwa di Sauk yang melibatkan kematian paling kurang 3 nyawa termasuk 2 orang anggota keselamatan. Pihak-pihak yang terbabit di dalam jenayah ini mestilah dipertanggungjawabkan dan dihukum mengikut proses undang-undang.
Memandangkan perkara ini, badan ini sentiasa berpendapat bahawa ISA adalah undang-undang yang tidak sesuai untuk memelihara hak-hak asasi dan hak-hak berpolitik. Akta tersebut menafikan keseluruhan jaminan-jaminan utama untuk berjumpa dengan peguam sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dasar keselamatan nasional yang berulangkali menyarankan agar dibenarkan penggunaan ISA ini adalah menurut pendapat badan ini tidak berasas. Di sana terdapat pelbagai undang-undang dan peraturan-peraturan yang boleh digunakan oleh pihak-pihak berkuasa untuk memelihara dan menjaga ketenteraman awam, nyawa dan harta benda.Penggunaan ISA di dalam keadaan-keadaan ini tidak boleh dipertimbangkan. Begitu juga ISA tidak boleh digunapakai untuk memanjangkan tempoh kepada pihak berkuasa di dalam menjalankan siasatan. Di sana wujud peruntukan-peruntukan undang-undang cukup untuk tujuan serta proses ini.
Sehubungan itu, kami mendesak pihak-pihak berkuasa untuk mendakwa dengan segera tahanan-tahanan yang dipercayai terbabit dan bertanggungjawab dan membebaskan mereka yang tidak mempunyai sebarang bukti untuk didakwa. Kami juga mendapati bahawa polis yang menyiasat telah mendapatkan / memperoleh perintah reman kedua dari Mahkamah Majistret terhadap 27 orang yang asalnya ditahan di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Punca perintah reman yang kedua ini adalah lanjutan daripada laporan polis kedua yang dibuat di balai polis yang berasingan yang mendakwa wujud beberapa kesalahan-kesalahan lain selain daripada permohonan reman yang awal. Adalah tidak jelas sama ada Majistret yang mengeluarkan perintah reman kedua sedar tentang perintah reman yang pertama.
Ini membuktikan bahawa penambahan daripada tempoh 14 hari sepertimana yang diperuntukkan dalam undang-undang, pada pendapat kami adalah satu pelanggaran terhadap peruntukan-peruntukan untuk menyiasat sepertimana yang dicatatkan dalam Kanun Acara Jenayah. Orang-orang yang disyaki adalah berkemungkinan telah terlibat lebih daripada satu kesalahan disudut undang-undang, tetapi adalah jelas kepada semua bahawa di sana terdapat hanya satu insiden atau peristiwa yang mana jenayah-jenayah itu berlaku.
Dari segi peruntukan undang-undang, pihak polis hanya diberikan tempoh untuk menyiasat selama 14 hari. Penafsiran-penafsiran yang lain terhadap seksyen 117 Kanun Acara Jenayah akan mengakibatkan orang-orang yang disyaki, ditahan lebih daripada tempoh reman kerana berdasarkan kepada laporan-laporan polis yang berulangan yang telah difailkan oleh Balai-balai polis yang berasingan.
Kami mendesak majistret-majistret yang mengendalikan permohonan reman lebih berhati-hati terhadap reman yang terdahulu. Pegawai-pegawai polis yang membuat permohonan-permohonan reman tersebut perlulah membantu mahkamah secara keseluruhannya terhadap reman-reman yang terdahulu.
Majlis Peguam mengambil peluang ini sekali lagi untuk menggesa agar dimansukhkan ISA. Negara ini yang kita cintai dan kita pelihara adalah cukup matang untuk menolak sisa-sisa peninggalan penjajah di masa lampau.
Bertarikh 5 Ogos 2000
Haji Sulaiman Abdullah
Presiden Majlis Peguam Malaysia