PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN
DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
PRESIDEN PAS DAN KETUA PEMBANGKANG
31 OGOS 2000
Assalamualaikum wrt.
Bagi mewakili pakatan Barisan Alternatif (BA) dan seluruh warga Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya merakamkan ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-43’ kepada seluruh lapisan rakyat Malaysia dengan iringan doa semoga kita akan mengecapi hari-hari depan ini dengan kesejahteraan, perpaduan dan kemakmuran yang sebenarnya. Sesungguhnya tema yang dipilih untuk tahun ini menuntut supaya setiap seorang warga negara, pemimpin dan yang dipimpin, supaya benar-benar menghayati pengertian dan tuntutan kesetiaan dan komitmen ‘keranamu Malaysia’. Seandainya komitmen ‘keranamu Malaysia’ dapat dijadikan penggerak daya juang rakyat dan pemimpin, pastinya kita akan dapat mengeluarkan negara ini dari segala kegawatan dan krisis akibat dari angkara kezaliman, pemborosan penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Bagi rakyat Malaysia setiap tahun upacara sambutan ini, mengulang tayang nostalgia silam yang merakamkan detik-detik bersejarah itu. Serentak dengan itu juga ia membawa satu imbasan kenangan dan memori pejuang-pejuang kemerdekaan dari semua pihak samada golongan yang akhirnya menjadi pemerintah mahupun golongan yang dicap pembangkang yang kesemuanya telah berkorban untuk memberikan yang terbaik dari perjuangan mereka atas dasar juang ‘keranamu Malaysia’. Di samping nama seperti almarhum Tunku Abd Rahman yang sedia terukir dalam sejarah kemerdekaan negara ini, peranan personaliti dan kepimpinan al-marhum Dr Burhanuddin al-Helmy, Prof. Zulkifli Muhamad, Ishak Hj Muhammad, Ahmad Boestamam dan juga tokoh-tokoh ulama’ seperti Syeikh al-Hadi dan Syeikh Abu Bakar al-Baqir juga perlu diketengahkan untuk mengadili pengorbanan dan peranan mereka dalam perjuangan kemerdekaan negara ini. Keadilan sejarah menuntut supaya peranan seluruh lapisan pejuang kemerdekaan perlu diberi penampilan yang menepati ketetapan persejarahan yang bebas dari belenggu dan telunjuk penjajahan.
Hari kemerdekaan bagi negara yang berdaulat dan bebas dari belenggu penjajahan asing sememangnya menjadi kemegahan dan simbol kepada kedaulatan negara bangsa tersebut. Bagi kita kemerdekaan bukan sekadar kejayaan menurunkan bendera Union Jack, anak watan memimpin dan menentukan haluan negara, demikian juga pentadbiran dikuasai oleh anak watan sendiri, tetapi kemerdekaan mempunyai makna dan falsafah yang lebih besar dari itu. Kemerdekaan akan dapat memenuhi makna sebenar apabila rakyat benar-benar dapat menikmati keadilan, kebebasan, kemakmuran dan kesaksamaan di tanah airnya sendiri, yang tidak dapat dinikmati semasa penjajahan dulu. Dan sungguhpun kebebasan itu tidak mutlak dan berfungsi di atas landasan nilai, tetapi ia mesti dapat dilihat bahawa rakyat dapat menikmati hak asasinya tanpa rasa takut atau diintimidasi. Untuk itu, mestilah dipastikan bahawa undang-undang negara itu, yang kini digubal oleh anak watan yang telah merdeka, dijamin tidak membunuh hak asasi seorang insan. Jika tidak, keseluruhan kemerdekaan itu adalah jenaka semata-mata.
Hari kemerdekaan layaknya menjadi satu waktu untuk kita membuat introspeksi atau melihat ke dalam pencapaian negara sepanjang satu tahun yang lalu. Alhamdulillah dari beberapa segi keadaan zahirnya, tampak seperti lebih baik dari tahun lalu. Namun ketika ditinjau dengan lebih mendalam pastinya sesiapapun dari warga yang celik pengetahuan, maklumat, akal dan hati budinya pastinya tidak dapat menyambut hari kemerdekaan tahun ini dalam suasana yang lepas bebas dari cengkaman dan tekanan krisis yang tidak berkesudahan. Sementara kita mahu percaya bahawa negara telah keluar dari kegawatan ekonomi dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang telah pulih, pakar-pakar rujuk ekonomi dan penganalis serta pengurus dana tempatan masih gusar dan berwaspada dengan penunjuk-penunjuk ekonomi yang lain yang masih lembap dan tidak menunjukkan pemulihan kenyakinan yang tinggi samada pelabur tempatan mahupun pelabur asing. Dagangan pasaran saham yang tipis dan kemasukan pelaburan asing yang malap seluruhnya membawa erti yang kurang baik bagi kita.
Polisi menggalakkan rakyat berbelanja kebelakangan ini yang berlawanan dengan gesaan untuk menabung sebelum dari itu, jelas memungkinkan inflasi yang akhirnya akan ditanggung juga oleh rakyat teramai yang sememang sudah tidak ada wang untuk berbelanja besar dalam jualan ‘mega murah’. Kesilapan dan kepincangan polisi pemulihan ekonomi negara perlu diteliti dengan lebih kritikal dan berdasarkan pengetahuan dan informasi di atas dasar ‘keranamu Malaysia’.
Sementara hari kemerdekaan juga membayangkan kesejahteraan dan keluhuran undang-undang yang menjadi hak seluruh rakyat, sambutan kali ini didahului dengan satu peristiwa penghukuman ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri yang rata-rata dianggap rakyat sebagai tidak memuaskan dalam bahasa yang paling baik atau zalim dalam perkataan yang paling tepat. Ini telah membawa satu kekecewaan rakyat untuk benar-benar melihat amalan kehakiman yang berteraskan ‘Keranamu Malaysia’ yang bebas dari gangguan mana-mana pihak yang berkepentingan.
Hari kemerdekaan ini juga membawa kita kepada satu muhasabah diri dari segi pencapaian moral, nilai jatidiri dan budaya negara bangsa ini. Keruntuhan dan kepincangan moral yang melanda remaja dan kanak-kanak sekolah semakin menampakkan gejala ini telah sampai ke peringkat krisis dan barah yang sukar untuk dikawal lagi. Ia merentasi seluruh lapisan kaum.
Sambil kita berslogan menyambut tarikh keramat 31 Ogos, rakyat biasa sedang menyaksikan dengan rasa benci bagaimana segelintir kelompok tertentu saja, yang berada di keliling elit yang berkuasa, menikmati kekayaan negara, akibat nepotisme, kronisme dan penyelewengan kuasa yang berlaku secara berterusan. Golongan miskin semakin terpinggir dan jurang ekonomi antara miskin dan kaya semakin melebar. Peluang simiskin memperbaiki taraf sosioekonomi mereka semakin sukar, seperti menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi yang melibatkan kos yang tinggi, sementara pemberian biasiswa telah dihentikan.
Mereka yang tinggal di rumah setinggan di bandar dan pinggir bandar hidup dalam persekitaran yang penuh ancaman terhadap kesihatan, dan terdedah kepada bencana alam seperti kebakaran dan banjir. Penduduk luar bandar pula terus bergelut dengan kemiskinan yang diwarisi sejak sekian lama. Semua ini sepatutnya tidak wujud lagi dalam sebuah negara yang merdeka, lebih-lebih lagi Malaysia dikenali sebagai negara makmur dan subur dengan hasil bumi dan lautnya yang melimpah ruah. Riuh rendah mengenai pembangunan yang dilaung-laungkan rupanya tidak ubah seperti indah khabar dari rupa. Pembangunan tidak seimbang ini akhirnya melahirkan rakyat yang tenggelam punca, keruntuhan akhlak remaja, dewasa dan pemimpinnya, sementara fahaman perkauman semakin menebal dan meruncing. Cuma yang menjadi penghibur yang melekakan bagi orang Melayu ialah janji-janji keistimewaan orang Melayu yang sebenarnya sudah terhakis akibat mainan politik pemimpin sendiri.
Justeru itu, ketika menyambut Hari Kebangsaan kali ini, marilah kita memperbaharui tekad dan keazaman untuk terus berjuang menyelamatkan negara kita, dengan membuat perubahan ke arah kemerdekaan yang sejati. Saya percaya majoriti rakyat negara ini berkongsi idealisme dan harapan dengan Barisan Alternatif untuk membuat perubahan supaya rakyat negara ini dapat menikmati keadilan, kebebasan dan kemakmuran bersama.
Terima kasih.
DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
KETUA PEMBANGKANG DAN PRESIDEN PAS.
31 OGOS 2000