Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


ABU HASSAN PERLU MEMBERI SEBAB KUKUH PERLETAKAN JAWATAN

Kenyataan Media PAS Gombak

PAS melihat perkembangan politik Selangor sejak akhir-akhir ini sebagai sesuatu yang mendukacitakan. Beberapa bulan lalu, apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat serbuan ke atas sebuah pusat hiburan dan menahan beberapa orang Islam, tindakan kerajaan Selangor menyalahkan JAIS kerana membuat serbuan tersebut amatlah memalukan, sedangkan JAIS adalah satu badan kerajaan negeri. Peristiwa terkini di mana Datuk Seri Abu Hassan Omar meletak jawatan semalam sebagai Menteri Besar Selangor berkuatkuasa serta-merta begitu memeranjatkan, namun alasan yang diberi iaitu atas sebab-sebab kesihatan sangat tidak meyakinkan.

PAS menuntut agar kerajaan bersikap telus dengan memberitahu rakyat Selangor apa yang sedang berlaku. Rakyat ingin tahu samada ianya ada kaitan dengan dakwaan oleh "orang dalam UMNO" tentang kononnya perbuatan sumbang mahram Abu Hassan dengan adik ipar sehingga melahirkan anak sepertimana yang tersiar beberapa minggu lalu dalam akhbar Java Post. Atau adakah peristiwa ini berkaitan dengan perebutan kuasa dalam UMNO Selangor, lanjutan daripada kempen pemilihan pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini?

Abu Hassan perlu berhadapan dengan rakyat dalam kemelut yang dihadapi beliau kini. Nama Abu Hassan dan parti yang diketuai beliau di Selangor iaitu UMNO tidak dapat tidak pasti tercemar dengan sangkaan-sangkaan negatif yang mula dibuat oleh orangramai, sekiranya tiada penjelasan dibuat.

JAIS dan pihak berkuasa lain perlu menyiasat hingga ke akar umbi samada apa yang didakwa dalam Java Post itu mempunyai kesahihan atau tidak. Kita juga mahukan Abu Hassan meletakkan jawatan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang bagi membuktikan kredibiliti UMNO serta membolehkan rakyat membuat keputusan samada UMNO masih diterima atau tidak.

Sekiranya terdapat kes sepertimana didakwa, PAS menuntut Abu Hassan dibawa ke muka pengadilan syariah untuk diadili. Seandainya tuduhan itu fitnah semata-mata, kewibawaannya perlu dipulihkan kerana beliau dianggap sebagai antara 'Mr. Clean' dalam UMNO.

PAS menyeru rakyat Selangor supaya mempelajari sesuatu daripada peristiwa terkini ini. UMNO telah acapkali gagal dalam menjalankan amanah untuk meningkatkan martabat Islam sebagai cara hidup dan di masa yang sama tidak mempunyai akauntabiliti terhadap apa yang mereka lakukan; sentiasa menganggap rakyat tidak perlu diberitahu apa-apa. Sudah tiba masanya parti yang jelas memperjuangkan Islam dan keadilan sejagat iaitu Barisan Alternatif yang dianggotai PAS, keADILan, DAP dan PRM diberi peranan yang lebih oleh rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli
AJK PAS Pusat merangkap
Ketua Penerangan PAS Gombak
11 Ogos 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com