Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


TATI RANCANG JADI PUSAT TEKNIKAL PETROLEUM

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos (Bernama) -- Institut Teknikal Tinggi Terengganu (TATI) akan memperkenalkan tiga kursus baru iaitu Pembelajaran Luar Pantai, kursus Petroleum di Darat dan kursus Perkilangan Petroleum dalam usaha institut berkenaan untuk menjadi sebagai Pusat Teknikal Petroleum di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Harun Taib berkata ia sejajar dengan kejayaan Terengganu menarik pelabur melalui industri petroleum di negeri ini.

"TATI sedang berusaha mengoptimumkan operasi bagi mencapai faedah perbandingan supaya sektor perindustrian di Terengganu dapat menjana pulangan pelaburan semaksimum mungkin," katanya pada konvokesyen TATI kali kedua di sini, Khamis.

Konvokesyen itu disempurnakan Sultan Terengganu.

Turut hadir ialah Permaisuri Terengganu, Menteri Besar Abdul Hadi Awang dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Sebanyak 175 graduan TATI menerima diploma dan anugerah kecemerlangan pendidikan dari Sultan Mizan Zainal Abidin pada majlis itu.

Harun, yang juga Pengerusi TATI, berkata institut itu juga berhasrat menjadikan kampusnya di Kemaman sebagai Pusat Teknikal Perusahaan Plastik bagi mendokong percambahan industri hiliran petroleum yang perlu diberikan nilai tambah bagi memantapkan sektor pemerosesan perindustrian di Terengganu.

"Sehingga kini kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan membiayai sepenuhnya pembangunan TATI dan sedang berusaha supaya penggantungan kepada bantuan kerajaan dapat dikurangkan secara berperingkat-peringkat," katanya.

Katanya TATI menubuhkan anak syarikatnya sendiri iaitu TATI Production Sdn Bhd sebagai jentera untuk melibatkan diri di dalam aktiviti pembuatan dan pengeluaran menggunakan sepenuhnya peralatan yang sedia ada di TATI.

Beliau yakin dengan perkembangan itu TATI mampu berdikari di masa hadapan memandangkan beberapa syarikat tempatan dan luar negara telah mendapatkan khidmat pengeluaran anak syarikat TATI itu.

- BERNAMA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com