Isu penghapusan hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang dicetuskan oleh kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II), Dato David Chua, dalam Far Eastern Economic Report (FEER) adalah satu sandiwara yang dilakon oleh MCA dan UMNO untuk memenangi semula sokongan masyarakat Cina dan masyarakat Melayu kepada MCA dan UMNO masing-masing.
Walaupun Dato Chua mewakili Gabungan Dewan-dewan Perniagaaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) untuk menganggotai MAPEN II, tetapi adalah pengetahuan umum khususnya di masyarakat Cina bahawa beliau adalah ahli MCA dan adalah seorang pemimpin MCA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1980an. Dato Chua juga pernah menjadi calon MCA yang bertanding di bawah tiket Barisan Nasional di kawasan Parlimen Seputeh pada tahun 1986. Di samping itu, beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan pimpinan tertunggi MCA dan UMNO
Jika dikaji rekod Dato Chua, beliau bukan seorang yang lantang menyuarakan pendapat peribadi ataupun pandangan parti dan pertubuhan-pertubuhan yang diwakili beliau. Oleh yang demikian, adalah sukar dibayangkan mengapakah beliau tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang masih dianggap sensitif oleh Barisan Nasional sendiri. Kenyataan penghapusan hak keistimewaan Melayu yang dikeluarkan beliau tempoh hari sudah pasti ada undang di sebalik batu.
Isu tersebut sengaja dibesar-besarkan dan disensasikan oleh akhbar yang dikuasai oleh Barisan Nasional dengan menerbitkan reaksi berbagai pihak termasuk hampir semua pemimpin UMNO.
Sandiwara ini direka dengan rapi di mana apabila kontroversi ini dicetuskan, Dato Chua yang mempunyai latar belakang dan imej MCA akan dihebohkan sebagai pejuang hak orang Cina di kalangan masyarakat Cina kerana berani mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu. Sementara itu, UMNO dapat menggunakan peluang yang sama untuk membuktikan bahawa UMNO adalah pejuang dan pelindung orang Melayu dan perlu dikekalkan sebagai wadah politik orang Melayu.
Ini adalah satu permainan politik serampang dua mata yang akan memanafaatkan politik MCA dan UMNO. Dato Chua dipilih sebagai watak utama kerana bagi masyarakat Melayu, latar belakang MCA beliau tidak begitu diketahui umum dan ini boleh mengelakkan kutukan ke atas MCA. Bagi masyarakat Cina pula, latar belakang MCA beliau memang tidak boleh dipertikaikan.
Saya menyeru UMNO dan MCA menghentikan permainan politik yang merbahaya ini dengan serta merta demi memelihara perpaduan rakyat dan perhubungan antara kaum yang rapat dan mesra pada masa ini.
Teng Chang Khim
Ketua Pemuda DAP