Laporan TARMIZI MOHD JAM
Kuala Lumpur, Isnin 14 Ogos: Kesemua calon-calon yang bakal ditabalkan sebagai Menteri Besar baru Selangor adalah terdiri dari pemimpin Umno yang "hilang kelayakkan" untuk menduduki kerusi keramat itu, berikutan perletakan jawatan MB oleh Abu Hassan Omar secara "mengejut" minggu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Besar, Ustaz Solehin Mokhyi menyifatkan nama-nama yang dihantar oleh Badan Perhubungan Umno Selangor baru-baru ini tidak memenuhi kehendak Mahathir yang menginginkan seorang pemimpin yang "layak" mengikut kaca mata beliau.
Ustaz Solehin mengingatkan kepada hampir 8 ribu hadirin di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar, dengan kenyataan terbuka Mahathir sewaktu pelepasan jawatan Menteri Besar oleh Muhamad Muhd Taib tiga tahun dulu, kununnya hanya Abu Hassan Omar sahaja yang layak dan perlu diturunkan ke DUN bagi membolehkan beliau ditabalkan menjadi Menteri Besar, menggantikan Muhamad Muhd Taib.
Kata Mahathir, calon-calon dari kalangan wakil rakyat di Selangor semuanya tidak layak dan hanya Abu Hassan sahaja yang dianggap "layak" bagi mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh Muhmad Muhd Taib itu. Ini sekaligus, kata Ustaz Solehin, Mahathir telah menghina wakil-wakil rakyat di Selangor pada masa itu sebagai tidak layak dan untuk itu, satu pilihanraya kecil telah diadakan bagi membolehkan Abu Hassan bertanding kerusi DUN untuk tujuan mengisi jawatan Menteri Besar yang dikosongkan itu.
"Bukankah nama-nama yang dihantar kepada Perdana Menteri itu, juga adalah nama-nama wakil rakyat yang telah dianggap "tidak layak" oleh Mahathir tiga tahun dulu?" tanya Ustaz Solehin dan disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Menurut beliau lagi, Umno Selangor kini sedang menghadapi krisis dalaman yang makin teruk dan Mahathir pastinya akan memilih MB yang baru dari kalangan mereka yang "bermasalah" dan boleh menurut kehendaknya.
Abu Hassan meletakkan jawatan MB Selangor minggu lalu atas sebab-sebab kesihatan dan menumpu perhatian terhadap keluarga. Bagaimanapun, rakyat Selangor khususnya tertanya-tanya apakah perletakkan jawatan itu berkait dengan isu skandal seks sumbang mahram antara beliau dan adik iparnya atau adanya tekanan politik dari PM.
Ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu khusus mengenai isu perletakkan jawatan Abu Hassan Omar sebagai MB Selangor. Turut memberikan ucapan ADUN Kajang, Dr. Shafie Abu Bakar, Ketua Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar dan Naib Presiden PAS, Hassan Shukri.