Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Lanjutan dari tulisan HC (Taman Melewar DiCabul: PAS Rileks Lagi)......Bahagian ke 2.

Berhubung dengan penaklukan Markas PAS di Taman Melewar, sehingga hari ini tiada langsung bantahan resmi dari mana-mana pemimpin PAS walaupun PAS gah dalam membuat sebarang bantahan. Adakah majlis yang dianjurkan oleh pihak parti KeADILan, maka PAS tidak berhak untuk masuk campur, walaupun diadakan di rumah sendiri? Kenapa dua malam sebelum itu Sdr. Mahfuz Omar bersemangat sekali untuk bersama-sama dengan Barisan Pemuda Alternatif bagi menjatuhkan Mahadead dalam masa 15 bulan (Kempen Anwar 15)? Kenapa parti KeADILan di 'aniaya' tetapi tidak mendapat pertolongan dari PAS? Kenapa parti PAS tidak mengkotakan kata-kata 'bersama-sama menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran' yang sering dilaungkan di pentas-pentas ceramah?. Mungkin erti 'bersama-sama' bagi PAS adalah hanya sekadar berceramah bersama-sama tapi apabila ke gelanggang KeADILan berjuang bersendirian. Apakah sindrom 'hanya suka berceramah' pada parti PAS itu masih relevan dalam senario politik yang semakin menekan dan sempit?

Kita masih tertanya-tanya dimanakah kedudukan parti PAS sebenarnya berhubung dengan isu Sdr.Anwar Ibrahim? Adakah hanya untuk menangguk di air keruh lagi??Apabila Sdr. Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman 9 tahun penjara pada 8 Ogos lalu, hampir semua pemimpin PAS berkokok....'sistem kehakiman yang korup'....'matinya sistem perundangan yang adil'...dan sebagainya. Bantahan demi bantahan dibuat. Terlalu pantas PAS membuat kenyataan seiring dengan bantahan-bantahan yang di buat oleh pihak lain. Malahan pula, apabila KeADILan mengisytiharkan 'perang' dengan keputusan hakim, PAS juga masih nampak seiringan dengan pihak-pihak lain.Sehinggalah program-program di atur untuk menggerakkan rakyat membantah sistem kehakiman yang korup.....tetapi, dimanakah Sdr. Mahfuz Omar?

Terbukti pada hari Jumaat 11 Ogos di Masjid Negara dan 13 Ogos di Penjara Sg. Buloh, tidak nampak kelibat pemimpin-pemimpin dari Dewan Pemuda PAS...apatah lagi Sdr. Mahfuz Omar!! Apakah 'bersama menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman' hanya sandiwara PAS? Adakah PAS sudah rasa mencukupi apabila hanya menyertai menghantar memorandum kepada SUHAKAM pada 12 Ogos yang lalu? Kalau hanya itu sumbangan PAS sejak kempen 'Anwar 15' dilancarkan, saya tidak pasti apakah PAS ikhlas dalam perjuangan ini.

Kalau di buat analisis, PAS tidak perlu turun ke padang untuk menjuarai isu Sdr.Anwar Ibrahim kerana PAS memang tahu, rakyat Melayu yang berugama Islam akan menyokong mereka. Tetapi PAS perlu ada maruah diri, jangan sampai di labelkan sebagai parti 'ambil kesempatan'. Apa yang telah berlaku dan sedang berlaku sekarang, sememangnya PAS tidak ikhlas bersama-sama KeADILan berjuang menentang kezaliman Mahadead. Rakyat sedang memerhatikan gelagat PAS dalam banyak isu dan keadaan.

PAS sebagai parti yang terbesar dalam Barisan Alternatif seharusnya jangan terlalu ego dan mendabik dada tetapi sering bekerjasama dengan lain-lain parti komponen. Rakyat Malaysia telah mengamanahkan kepada parti PAS untuk menerajui pakatan ini. Sepatutnya, sebagai ketua dan abang kepada parti-parti lain, PAS mesti lebih pro-aktif, berani, ofensif dan berkemampuan memimpin. Sepatutnya, PAS perlu menerajui kempen 'Anwar 15' kerana isu Sdr.Anwar Ibrahim adalah isu nasional bukan hanya isu peribadi. Malahan pula PAS perlu menunjukkan bahawa mereka menghargai segala apa yang mereka perolehi dari isu Sdr. Anwar Ibrahim.

Dengan sikap mendiamkan diri pemimpin PAS terhadap pencabulan Markas PAS di Melewar, hanya kerana parti KeADILan menganjurkan ceramah tersebut, sedikit sebanyak telah mengiyakan tanggapan saya selama ini terhadap PAS setelah Sdr. Anwar Ibrahim dipecat dari kabinet pada 2 Sept 1998. Masih terngiang-ngiang di telinga saya bagaimana di awal pemecatan dahulu, ada pemimpin PAS yang pernah memanggil 'Anwar B****t' di dalam ceramah mereka. Allahualam....

Saya ingin menyatakan bahawa pandangan saya dan Sdr. HC adalah ikhlas dan bukannya untuk memprovok mana-mana pihak. Cuma sebagai salah seorang rakyat yang cinta kan perjuangan ini, PAS semestinya 'bukan hanya perlu IKHLAS tetapi mesti nampak IKHLAS.' Peranan yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk memimpin Barisan Alternatif seharusnya dinobat dan dipikul dengan rasa penuh tanggungjawab.Bekerjasama lah sesama rakan perjuangan, kerana perjuangan ini perlu di teruskan dan saf perlu dirapatkan untuk mencapai kemenangan.

Salam Reformasi......Lawan Tetap Lawan.

Ucop demo


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com