Kenyataan Akhbar Pengerusi Gabungan Profesional Melayu UK dan Eire
Kami mendapati, suasana politik Malaysia saban hari semakin menjadi
tidak karuan dan sudah mencapai tahap keterlaluan. Ini berikutan
terjadinya pelbagai peristiwa di luar batas pemikiran normal akibat
nafsu gila kuasa mendahului segala. Di sini kami sebutkan beberapa
kes semasa yang menjadi subjek perbualan rata-rata rakyat Malaysia
yang berada di tanahair dan lebih-lebih lagi kami warga perihatin
Malaysia di United Kingdom. Di antaranya:
. Arahan Perdana Menteri supaya BPR menutup siasatan ke atas
bekas Ketua Pengarah UPE, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman.
. Laporan Datuk Seri Anwar terhadap Dr Mahathir kerana
dakwaannya bahawa beliau (Dr Mahathir) telah menghalang siasatan
terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri atas tuduhan
rasuah.
. Tuduhan serius PM terhadap PAS iaitu dengan mengaitkan
bahawa PAS terlibat dalam episod perampasan senjata oleh Kumpulan
Al-Maunah tanpa ada bukti yang nyata lagi kukuh.
. Usaha-usaha untuk membuang nama Islam pada
pertubuhan-pertubuhan terutamanya PAS atas alasan penggunaan nama
Islam pada pertubuhan akan mengelirukan pandangan dan memudahkan
usaha menarik sokongan rakyat.
. Pengharaman ke atas perkumpulan-perkumpulan,
perhimpunan-perhimpunan aman dan ceramah pihak pembangkang atas
dakwaan boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara sedangkan
hak ini nyata disebutkan di dalam perlembagaan negara.
. Ugutan akta ‘drakonian’ ISA oleh para pemimpin kerajaan
kepada sesiapa yang dikira boleh menjadi ancaman kepada pihak
pemerintah. Begitu juga dengan penggunaannya, di mana tahanan boleh
dikenakan tanpa pendakwaan di mahkamah, dikenakan ke atas
anggota-anggota Al-Maunah dan beberapa individu seperti Ustaz
Shamsuri Ahmad dan lain-lainnya baru-baru ini.
. Penguatkuasaan secara sewenang-wenangnya akta-akta seperti
Akta Hasutan, Akta Media Cetak dan lain-lain akta yang dikenakan ke
atas individu-individu, penerbit dan organisasi terutama pihak yang
dilihat sebagai menentang atau tidak senada dengan Barisan Nasional
khususnya UMNO, semata-mata dibuat atas motif politik.
. Penggunaan berleluasa institusi-institusi kerajaan bagi
tujuan kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Ini jelas dilihat
dalam menangani kes perbicaraan bekas TPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
. Sekatan melampau, ugutan-ugutan dan penarikan balik permit
tanpa sebarang penjelasan ke atas akhbar dan majalah-majalah
bersifat ‘kepembangkangan’ seperti akhbar Harakah, Detik dan
lain-lain.
. Sekatan demi sekatan ke atas program-program pembangunan
rohaniah rakyat seperti ceramah dan kuliah di masjid-masjid
khususnya, sebaliknya digalakkan pula program-program hiburan yang
menghakis budaya ketimuran dan meruntuhkan akhlak generasi muda
kita, seperti yang terbaru ialah kebenaran kerajaan kepada kumpulan
Vengaboys untuk membuat persembahan konsert (21 julai lalu di
Stadium Merdeka).
. Kritikan melulu dan pengenepian pandangan pihak-pihak
tertentu terhadap pendirian SUHAKAM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Malaysia supaya rakyat dibenarkan berhimpun secara aman, seperti
yang dilaporkan oleh akhbar ‘The Star’ 3 Ogos. Begitu juga dengan
tindakan polis yang menghalang rakyat daripada memasuki Kuala Lumpur
dan tindakan beberapa media massa kerajaan yang memandang sinis
pandangan SUHAKAM dan ini sememangnya bertentangan dengan semangat
penubuhan suruhanjaya tersebut.
Oleh itu kami menggesa supaya semua pihak terutamanya para pemimpin
politik BN supaya tidak terus mencemarkan lagi keadaan ini sehingga
dunia mengetahui sebegitu buruk dan teruknya suasana politik di
Malaysia hari ini. Saban hari pula kami di sini dihujani dengan
banyak pertanyaan dari rakan-rakan sekerja dan rakan antarabangsa
bertanyakan keadaan politik semasa di Malaysia. Kami berasa alangkah
malunya sebagai rakyat Malaysia yang sebelum ini dikenali mempunyai
pemimpin-pemimpin politik yang disegani, bermaruah tinggi sehingga
membolehkan digelar pemimpin agung dunia ke tiga dan sebagainya
tiba-tiba rosak imej dengan akhlak para pemimpin negara terutama PM
Malaysia yang kini sungguh kuat pembohongannya. Bagaimanakah kami
sebagai rakyat Malaysia yang berada di luar negara ingin
menceritakan keadaan sebenar yang berlaku di tanahair tercinta dan
apakah yang kami mahu ceritakan? Menceritakan yang muluk-muluk dan
indah-indah belaka, kemajuan duniawi semata dan lantaran itu kami
menjadi pembohong juga sepertimana para pemimpin utama negara kita?
Dalam suasana sekarang ini, kami juga ingin menyeru semua rakyat
Malaysia untuk bersatu dalam menegakkan hak-hak mereka bagi melawan
segala bentuk kejelekan politik dan berusaha membendung kezaliman
yang ada bagi membetulkan keadaan politik Malaysia sesuai dengan
kemampuan dan hak sepertimana termaktub dalam perlembagaan
Malaysia.
Sekian wassalamualaikumwarohmatullah
Yang benar,
Dr. Aslam Mukmin
Pengerusi
Gabungan Profesional Melayu UK dan Eire
4 Ogos 2000