HULU TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan Negeri, Haji Abu Bakar Abdullah berkata, banyak agensi kerajaan yang sanggup untuk memberi pelbagai bantuan kepada golongan miskin bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka. Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri meminta Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk membasmi masalah kemiskinan, terutama dikalangan penduduk luar bandar.
"Oleh itu, kita harap JSR dapat memainkan peranan penting dalam menjadi perancang dan membangunkan sosio-ekonomi penduduk negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis penerangan bersepadu agensi bantuan kemiskinan kepada JSR Daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), di sini baru-baru ini. Beliau berkata, JSR perlu bertindak secara jujur, ikhlas dan berhemah dalam usaha membantu membasmi kemiskinan di negeri ini. Tambahnya, seluruh dunia, terutama dikalangan negara Islam mahu melihat Negeri Terengganu Darul Iman membangun menurut Islam. "Tanggungjawab itu terletak di bahu kita semua, terutama mereka yang diberi kepercayaan untuk menjadi ahli JSR," ujarnya.