Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


UPI dan PASTI dimanakah garis pemisahnya.

Di dalam sesi dialog anjuran Urusetia Penerangan Negeri yang berlangsung di Kijal dua minggu lalu, perkara kedaifan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah dikemukakan kepada penal sesi tersebut. Peserta juga mencadangkan agar Unit Pembinaan Insan (UPI) yang baru ditubuhkan membuat peruntukan kepada PASTI untuk menampung perbelanjaannya. Seorang ahli panel telah menjelaskan bahwa Kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan PASTI sebagai satu institusi Kerajaan yakni terus kekal sebagai institusi Parti dan derma orang ramai amatlah diharap dan dihargai.

Pada mulanya, penanya tidak langsung terfikir di kepalanya untuk mecadangkan agar PASTI dijadikan institusi Kerajaan, hanya bertujuan untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan PASI, khususnya PASTI Kijal menerusi peruntukan UPI. Bangunan yang usang dan alam keliling yang berserabut menjadikan PASTI Kijal tidak kondusif kepada pembelajaran murid-muridnya. Lagi pula pemakanan yang sekadar mengisi perut kosong, almaklum sahajalah harapkan sumbangan masyarakat kampong yang daif, tidak dapat membantu pertumbuhan mental yang subur untuk menyemai benih-benih keilmuan yang dihasratkan. Walhal, pembinaan insan seharusnya dimulakan dari peringkat awal, yakni, pra-sekolah. Ungkapan kata yang sering kedengaran, " Melentur buluh biarlah dari rebungnya " .

Dari apa yang saya dengar di dalam sesi dialog itu, persoalan samada PASTI dijadikan institusi Kerajaan atau tidak saya rasa, boleh diperbahaskan lebih lanjut. UPI, sepengtahuan saya, adalah sebuah badan Kerajaan yang dipertanggungjawabkan membina/mempertingkatkan kekuatan rohani dan jasmani masyarakat agar dapat melahirkan suatu masyarakat yang bertaqwa dan jatidiri. Untuk melaksanakan fungsi ini, tentunya unit ini mempunyai sasaran atau kelompok sasaran yang tertentu seperti pegawai kerajaan, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, sekolah-sekolah dan lain-lain institusi yang difikir perlu. Olehkerana sekolah-sekolah kerajaan berada di bawah naungan Kerajaan pusat, sekolah-sekolah yang tidak dinaungi Kerajaan pusat, contohnya sekolah agama rakyat, seharusnya menjadi sasaran UPI. Kalau tidak tersilap dengar, sekolah sebegini telahpun diiktiraf sebagai sasaran penting UPI, justru boleh dianggap sebagai institusi Kerajaan. Dan di sinilah timbulnya kesamaran kedudukan PASTI. Melihat kepada keadaan ini, saya berpendapat bahwa jika sekolah agama boleh dijadikan institusi Kerajaan, tiada sebab mengapa PASTI tidak boleh diiktiraf sedemikian.

Samaada Kerajaan Negeri hendak mengiktiraf PASTI sebagai institusi Kerajaan atau tidak, yang paling pentingnya ialah agar PASTI dibantu Kerajaan, dan unit yang mempunyai hubungkait yang rapat dengannya ialah UPI. Bantuan ini perlu memandangkan bahwa PASTI yang selama ini semata-mata bergerak di atas sumbangan rakyat amatlah daif dan tidak kondusif sebagai satu daripada sasaran Kerajaan mempertingkatkan ketaqwaan dan jatidiri masyarakat.

Sekian, terima kasih.

Watchdog.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com