Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Kemerdekaan Dari Kezaliman

Oleh: Anak Merdeka

Assalamualaikum,

Pada hari menyambut ulangtahun kemerdekaan, sebenarnya kita menyambut kemerdekaan daripada penjajah. Hakikatnya, kemerdekaan dari kezaliman masih membelengu kita rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sekelian,

Mari kita renungi, mana erti kemerdekaan dalam hidup kita hari ini. Kezaliman demi kezaliman menimpa kita rakyat Malaysia dek seorang PM yang sehingga sekarang tiada pendakwaan, tiada tindakan oleh BPR, PDRM dan Peguam Negara hatta walau seribu laporan salah laku, salah kuasa, rasuah oleh PM.

Wahai rakyat Malaysia,

Sempena hari kemerdekaan ini, ingin saya mengambil kesempatan menyeru tidak kira kepada wakil BA, ADUN BA, ahli politik BA, NGO supaya kita menjalan beberapa siri peringatan terhadap laporan yang telah dibuat oleh ramai wakil rakyat Malaysia. Pertamanya laporan oleh Sdr. Anwar sendiri, diikuti oleh Ezam dan puluhan mungkin ribuan tandatangan disertakan bersama dengan laporan tersebut. Namun Ketua Polis Negara masih bisu, Pengarah BPR pun diam, Peguam Negara kelu tak terkata. Saya mengesyorkan beberapa perkara kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian selepas kezaliman ini :

1. Kita membuat laporan polis yang terus menerus tentang rasuah yang dilakukan oleh PM (laporan bekas Pengarah BPR, Dato' Shafie Yahya) oleh semua ADUN BA, Tokoh BA, orang perseorang, NGO dan yang cintakan kedamaian.

2. Sekiranya masih tiada tindakan, kita boleh menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Pengarah BPR dan Peguam Negara supaya meletakkan jawatan.

3. Memohon permit untuk memprotes penyalahgunaan kuasa oleh ketiga-tiga orang (KPN, BPR, Peguam Negara)yang bertugas melaksanakan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan dengan disaksikan oleh pemberita dari luar negara.

4. Sekiranya masih tiada perubahan, kita menghantar memorandum kepada KDYMM Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu supaya mengambil tindakan yang sewajarnya kerana ini melibatkan kemahuan rakyat.

Tindakan yang sarankan bukanlah bertujuan menimbulkan huru-hara tetapi untuk menyedarkan rakyat dan pemegang kuasa perundangan supaya melaksanakan tugas tanpa mengira siapa yang bersalah.

Semoga apa yang diperkatakan oleh saya ini mendapat sedikit respon dari anda sekelian. Tujuan kita suci dan semuanya kerana Malaysia. Keranamu Malaysia, ayuh kita hapuskan kezaliman dan tegakkan kebenaran.

Terima kasih.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com