Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


GOLONGAN MISKIN DI T'GANU LAYAK TERIMA PERUBATAN PERCUMA

KUALA TERENGGANU, 3 Sept (Bernama) -- Golongan miskin dan tidak berupaya di negeri ini layak mendapat bantuan perubatan percuma di hospital-hospital kerajaan.

Pengerusi Kebajikan, Sosial dan Kesihatan negeri, Abu Bakar Abdullah. berkata, di bawah skim bantuan itu, golongan berkenaan perlu mendapat pengesahan daripada wakil rakyat di kawasan masing-masing, hospital atau Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai kesihatan dan kemampuan mereka.

"Bantuan itu telah lama diperkenalkan bagi membantu golongan miskin dan tidak berupaya menerima bantuan perubatan percuma," katanya selepas menutup majlis sukan pingpong anjuran Pertubuhan Orang Buta Malaysia cawangan Terengganu di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, golongan miskin yang menghidap penyakit kronik dan perlu menjalani pembedahan perlu merujuk kes mereka kepada Jabatan kebajikan negeri bagi membiayai kos perubatan mereka.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menerima kira-kira 4,000 permohonan baru daripada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan di bawah skim bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ketika ditanya mengenai mereka yang layak menerima bantuan tetapi telah terkeluar daripada senarai selepas dilakukan proses pemutihan baru-baru ini, beliau berkata, mereka boleh mengemukakan rayuan semula.

"Kita memberi jaminan akan mempertimbangkan sebarang rayuan jika mereka benar-benar layak," katanya.

Beliau berkata, selepas dilakukan proses pemutihan, didapati banyak di kalangan golongan berkenaan telah melepasi paras kemiskinan dan tidak lagi layak menerima bantuan itu.

Syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri bagi bantuan itu ialah memperolehi pendapatan di bawah RM400 sebulan, mempunyai anak sekurang-kurang lima orang dan mereka yang tua atau tidak berupaya menanggung sara hidup, katanya.

-- BERNAMA


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]