KOTA BAHARU, (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang berkata kerajaan pusat perlu membayar royalti minyak kepada Terengganu menerusi kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang.
Katanya keputusan kerajaan pusat untuk menyalurkan bayaran itu kepada rakyat Terengganu menerusi sebuah Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) adalah tidak wajar kerana kerajaan negeri adalah pihak yang berhak untuk mengendalikan wang itu.
"Tindakan kerajaan pusat itu adalah tidak demokrasi serta tidak menghormati keputusan rakyat pada pilihan raya (umum) yang lepas," katanya pada ceramah politik di sini malam tadi.
Yang turut berceramah ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kementerian Kewangan mengumumkan Selasa lepas bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar wang ehsan kepada Terengganu melalui kaedah baru dikenali sebagai Program Pembiayaan Wang Ehsan yang tidak lagi disalurkan terus kepada kerajaan negeri itu.
Pemberian wang itu akan disalurkan melalui JPP yang ditubuhkan khusus bagi merangka pelaksanaan program pembangunan untuk faedah bersama rakyat negeri itu.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Presiden PAS berkata keputusan kerajaan pusat berhubung bayaran wang ehsan itu menunjukkan kerajaan pusat gagal melaksanakan prinsip "federalisme" termasuk berlaku adil berdasarkan perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas, yang telah termeterai 20 tahun lepas.
Menurutnya kerajaan negeri yang diterajui PAS sekarang perlu diberi peluang untuk menyalurkan wang berjumlah RM400 juta itu melalui kaedahnya sendiri kepada rakyat bagi membuktikan kepada semua pihak bahawa parti itu mampu mentadbir lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).
"Kerajaan negeri (Terengganu) Barisan Nasional sejak 20 tahun yang lepas telah memegang duit minyak tetapi masih ramai rakyat di Terengganu yang masih miskin. Malahan mereka (kerajaan BN yang lepas) meninggalkan beban hutang kerajaan Terengganu sebanyak RM700 juta," katanya.
Hadi berkata PAS yang mula memerintah negeri itu sejak sembilan bulan lepas telah menunjukkan prestasi memberangsangkan kerana rakyat menikmati kehidupan lebih baik apabila harga barangan semakin murah dan bilangan pengunjung luar ke Terengganu pula meningkat.
Nik Aziz pula berkata kerajaan PAS Kelantan turut menjadi mangsa kerajaan pusat kerana sehingga ini ia belum menerima peruntukan tahunan kira-kira RM100 juta bagi tahun ini.
Beliau juga tidak bersetuju dengan kewujudan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan yang bertindak sebagai kerajaan pusat sejak Umno tewas pada pilihan raya 1990 di negeri itu kerana tidak memberikan banyak faedah kepada rakyat.
Nik Aziz berkata ramai kaum Cina di Kelantan kini menyokong perjuangan politik PAS kerana menikmati sendiri sikap terbuka pemimpin parti berkenaan dalam memerintah negeri itu.
-- BERNAMA