Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Dr M Merungut Kerana Gaji Rendah?

Rujukan Bahan :
Laman PRM

Dr M @ Cek Det seolah-olah merungut kerana beliau berpendapatan tidak cukup tinggi. Katanya, gaji beliau cuma RM16 ribu sebulan saja. Ini kurang daripada sesetengah orang yang di bawahnya. Katanya, gaji Presiden PETRONAS ialah RM30 ribu sebulan. Selanjutnya, Cek Det mengatakan beliau bekerja 16 jam sehari, tanpa dibayar “overtime”. Jikalau hendak dikira, tentu berjuta-juta hutang kerajaan kepadanya, beliau mendakwa.

Memang gaji Cek Det lebih kecil daripada gaji ketua PETRONAS. Bahkan ia kecil juga daripada gaji Perdana Menteri Singapura. Adakah sekarang ini beliau teringin hendak menaikkan gajinya setinggi yang diperolehi Presiden PETRONAS atau Perdana Menteri Singapura itu? Sekiranya beliau sudah teringin, barangkali tidak susah bagi Menteri Kewangan memasukkannya dalam Belanjawan akan datang, dan tidak sulit bagi Parlimen meluluskannya. Bukankah Cek Dek menguasai majoriti dua pertiga dalam Parlimen?

Sebelum kita pun sama-sama bersetuju, Cili Api rasa kita perlu mendapatkan keterangan lengkap tentang berbagai-bagai keistimewaan yang diperolehi PM, terutama sekali apabila dia bernama Mahathir. Cili Api tidak tahu apakah jenis-jenis elaun yang didapati Cek Det dan berapa jumlahnya bagi tiap-tiap jenis. Tetapi dengan mata kasar Cili Api dapat melihat bermacam-macam dan besar pula jumlahnya. Mungkin semuanya bukan merupakan elaun, akan tetapi keistimewaan.

Cuba tengok rumah (maaf, mahligai) tempat kediaman Cek Det sekarang. Apabila Cek Det menjadi PM, beliau keberatan hendak tinggal di rumah kediaman rasmi tiga orang PM sebelum beliau. Jadi, sekonyong-konyong beliau membina sebuah rumah yang lebih hebat, dinamakan Sri Perdana. Harga membinanya dikatakan lebih kurang RM12 juta. Ini jumlah bukan main besar pada waktu itu. Selepas kira-kira 18 tahun tinggal di sana, Cek Det dan Datin Serinya merasakan Sri Perdana kurang besar dan tidak cukup hebat. Maka itulah beliau membina mahligai di Putrajaya.

Cuba banding dengan rumah rasmi PM Britain dan PM Singapura. Sebenarnya Cili Api bukan memandang tinggi mereka sangat. Akan tetapi, sekurang-kurangnya PM Britain sekarang tinggal juga di Nombor 10, Downing Street, iaitu kediaman rasmi semua PM sebelumnya. Di Singapura pula, Lee Kuan Yew dalam tempoh 30 tahun menjadi PM, terus tinggal di kediaman rasmi yang sama. Beliau tidak membina rumah, apatah lagi mahligai, yang lebih hebat bagi dirinya. Begitu juga dengan PM sekarang, yang mengganti LKY. Cek Det selalunnya suka menjadikan LKY sebagai teladan dalam beberapa hal. Mengapa tidak mahu meneladaninya dalam soal kediaman rasmi ini?

Cek Det dengan mudah boleh membina mahligai yang lebih indah dan lebih mahal daripada Istana Agong. Malangnya bagi Agong yang sekarang, dan mungkin yang akan datang, tidak ada peluang hendak mendapat istana yang baru. Sebabnya, Cili Api dengar tapak tanah yang telah disediakan untuk sebuah Istana Agong yang baru sudah pun dijual. Khabarnya di atas tapak itu akan dibina kondominium mewah. Tidak pula Cili mendengar tentang tapak lebih baru yang disediakan sebagai ganti.

Itu kisah mahligai saja. Bagaimana dengan perkakas-perkakas dalam rumah pula? Kerusi meja dan pinggan mangkuk mesti sesuai dengan taraf mahligai itu. Siapakah yang menyediakan semua ini? Adakah Cek Det mesti membelinya daripada wang gajinya? Tentu tidak. Sudah tentu semuanya dibeli dengan wang kerajaan, dan ini bermakna wang rakyat. Bukankah ini keistimewaan bagi PM @ Cek Det? Dan ini boleh dianggap sebagai sebahagian daripada elaun untuk beliau juga, bukan?

Cek Det ini seorang PM yang paling suka melancong ke luar negeri. Barangkali beliau salah seorang PM yang paling banyak sekali melancong. Beliau boleh ke sama ke mari dengan jet eksekutif yang dibeli dengan harga lebih RM200 juta itu. Di luar negeri beliau boleh tinggal di tempat yang mahal-mahal serta mewah-mewah. Cili Api ingin tahu berapakah belanja yang dikeluarkan dari wang kerajaan, ertinya wang rakyat, bagi tiap-tiap kali Cek Det keluar melancong? Berapa banyak sepanjang tahun ini dan tahun lalu? Berapa pula jumlahnya selama 20 tahun Cek Det menjadi PM? Memang betul selalunya beliau keluar negeri untuk menjalankan tugas rasmi atau melawat sambil bekerja. Akan tetapi mengapa begitu sering sangat?

Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan yang memang kuat mengeluarkan berita yang menghina terhadap Presiden Gusdur, mempersendakan beliau sebagai seorang presiden yang paling banyak sekali melancong keluar negeri. Yang Cili Api nampak, dia ke sana ke mari waktu baru-baru menjadi presiden, mungkin untuk mendapat sokongan dan pengiktirafan dunia. Tetapi, dalam empat lima bulan lalu boleh dikatakan beliau tidak ke mana-mana sangat. Sekurang-kurangnya DPR (parlimen Indonesia) diberitahu secara rasmi jumlah yang dibelanjakan untuk lawatan beliau. Bilakah Kementerian Kewangan akan melaporkan kepada Parlimen Malaysia butir-butir tentang perbelanjaan untuk perjalanan PM Dr M @ Cek Det?

Hai. Bukan main banyak lagi keistimewaan yang diperolehi PM itu. Terlalu banyak jika hendak dibangkitkan kesemuanya. Cili Api ada rasa hendak membangkitkan tentang berapa banyak yang boleh diperolehi Dr M @ Cek Det jikalau beliau berundur sebagai PM. Tentu jauh lebih besar jumlahnya daripada wang “overtime “ yang beliau katakan kerajaan berhutang kepadanya. Tetapi, buang masa saja. Cek Det tidak akan mahu berundur. Beliau ingin meneruskan perjuangan yang belum selesai, keranamu Malaysia, sampai penghujung hayat. Boleh jadi ini bererti seribu tahun lagi. Tidak boleh? Mengapa tidak? Bukankah Malaysia Boleh? Sudah tentu Cek Det boleh hidup seribu tahun lagi!

Cili Api


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com