Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


MEMORANDUM MEMBANTAH SERANGAN TERHADAP KEDUTAAN MALAYSIA DI JAKARTA DAN KONSULAT MALAYSIA DI PONTIANAK

Kepada;

TYT Duta Besar
Republik Indonesia
Kedutaan Republik Indonesia,
Jalan Ampang,
KUALA LUMPUR


7 SEPTEMBER 2000
8 JAMADIL AKHIR 1421

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh;

Bapak Tuan Yang Terutama,

MEMORANDUM MEMBANTAH SERANGAN TERHADAP KEDUTAAN MALAYSIA DI JAKARTA DAN KONSULAT MALAYSIA DI PONTIANAK

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius serangan yang dilakukan oleh beberapa kumpulan yang tidak bertanggungjawab ke atas Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsulat Malaysia di Pontianak baru-baru ini. Siri-siri serangan ini walaupun bukan ditaja oleh Kerajaan Republik Indonesia, ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan yang sangat buruk kepada hubungan kedua-dua negara dan juga politik antarabangsa.

DPP Pusat selama ini memberikan perhatian yang serius terhadap isu-isu yang berlaku di rantau Asia Tenggara terutama yang melibatkan umat Islam dan orang-orang Melayu sangat memahami pergolakan yang sedang dialami oleh Republik Indonesia. Namun begitu, pergolakan dalaman ini tidak boleh menjadi alasan untuk membenarkan serangan-serangan ganas rakyat Indonesia ke atas keduataan asing terutama kedutaan Malaysia di Indonesia.

DPP Pusat berpandangan bahawa dengan tercetusnya serangan ganas ke atas kantor kedutaan di Jakarta dan Pontianak ini akan membuka lembaran baru yang negatif dalam hubungan dua hala kedua-dua negara. Sebelum ini beberapa isu dua hala seperti tuntutan Pulau Sipadan, isu kemasukan pendatang tanpa izin Indonesia, isu penderaan pekerja Indonesia di Malaysia, isu pembunuhan pelarian politik Acheh, isu pencerobohan sempadan dan isu pembalakan di Borneo telah mencetuskan ketegangan dalam hubungan kedua-dua negara.

Sejarah hubungan saudara yang erat kedua-dua negara yang terjalin sejak zaman Majapahit lagi tidak wajar dicemari oleh anasir-anasir seperti peristiwa hitam tersebut. Cukuplah peristiwa Konfrontasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno pada 1963 yang tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada kedua-dua negara. DPP Pusat sangat bimbang jika peristiwa hitam ini akan mengembalikan kebencian kedua-dua negara yang akhirnya melemahkan pertumbuhan politik, ekonomi dan sosial di rantau ini.

DPP Pusat juga melihat kejadian ini akan mendatangkan dampak negatif kepada kerjasama serantau dan antarabangsa yang diwujudkan semenjak tahun 1960-an lagi. Badan-badan kerjasama seperti ASEAN, OIC, NAM dan kerjasama ekonomi Asia Pasifik akan terjejas dengan pergolakan negara-negara ini. Sebagai dua buah negara teras badan-badan kerjasama tersebut, sebarang pertelingkahan politik kedua-dua negara akan membuka ruang kepada perpecahan dalam kerjasama strategik tersebut.

Perkembangan politik mutakhir yang berlaku di rantau ini hari ini juga akan memungkinkan tamatnya ASEAN sebagai sebuah kawasan yang aman, bebas dan berkecuali. Konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan) yang dipegang oleh negara-negara ASEAN akan hancur jika kejadian seperti ini dibiarkan terus berlaku. Kegawatan politik yang berlaku di Indonesia seperti pergolakan di Timur Timor, Acheh, Ambon, Maluku dan Irian Jaya akan menjadi jaringan masalah politik dalaman ASEAN selain pergolakan di Patani, Mindanoa dan Arakan. Selain itu fitnah liwat Anwar Ibrahim dan tuduhan zina Bapak Gus Dur juga akan memberikan kesan kepada perkembangan politik rantau ini.

Kegawatan ekonomi yang mengundang campur tangan IMF di Indonesia, Thailand dan Filipina telah menjadikan rantau ini tidak lagi bebas. Kehadiran tentera Amerika di Singapura dan Filipina, campur tangan Australia di Timur Timor dan kehadiran pemerhati Kesatuan Eropah (EU) dalam isu Abu Sayyaf harus menjadi pengajaran kepada Republik Indonesia. Hubungan dua hala Indonesia dan Singapura dengan Israel juga memulakan detik hitam kepada rantau ini sehingga Zopfan hampir tidak relevan lagi untuk dibincangkan. DPP Pusat bimbang sekiranya serangan ke atas kedutaan Filipina tempohari dan Malaysia baru-baru ini mencetuskan suasana tidak aman kepada rantau ini.

DPP Pusat juga melihat bahawa pemulihan ekonomi Asia Pasifik yang runtuh pada 1997 hampir menjadi mustahil sekiranya negara-negara di rantau ini tidak berusaha untuk menghentikan pergolakan yang berlaku. Kita gembira apabila tanda-tanda pemulihan ekonomi mula terlihat kebelakangan ini, tetapi sangat bimbang sekiranya pergolakan-pergolakan yang berlaku akan menafikan ramalan kajian Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik (ESCAP) 2000 di bawah program Pembangun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) yang mengunjurkan pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus (6 %) pada tahun 2000 sekiranya Asia Pasifik dapat mengekalkan daya saing eksport, mengurangkan pergantungan kepada langkah fiskal dan mengekalkan keamanan yang sedia ada.

DPP Pusat sebenarnya lebih serius melihat peristiwa hitam ini akan menjadi titik pemecah kepada perpaduan umat Islam di rantau sebelah sini. Dengan jumlah hampir 250 juta umat, Islam menjadi agama utama rantau ini. Tetapi perpaduan yang sedia wujud akan terburai sekiranya kedua-dua negara utama umat Islam ini bertelagah. Idea perpaduan kedua-dua negara yang pernah dicetuskan oleh bekas Yang Di Pertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dan bekas Perdana Menteri Indonesia, Bapak Muhamad Natsir melalui gagasan Melayu Raya sepatutnya menjadi teras pembentukan blok politik dan ekonomi umat Islam dan orang Melayu.

Dengan terpecahnya perpaduan umat Islam dan orang-orang Melayu di rantau ini, ia akan mengundang kepada kemasukan agama-agama lain yang menggugat aqidah umat Islam. Ia juga akan melemahkan kuasa orang Melayu ke atas perkembangan politik antarabangsa dan juga melembabkan persekitaran ekonomi antarabangsa yang mula diceburi oleh umat Islam rantau ini. Usaha-usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia juga akan terkubur dengan berlakunya perpecahan dalam tamadun alam Melayu ini.

DPP Pusat sangat yakin bahawa kuasa-kuasa besar telah memberikan perhatian yang begitu tinggi terhadap sebarang perkembangan di rantau ini. Rantau ini telah dikenal pasti sebagai sangat berpotensi untuk muncul sebagai kuasa ekonomi dan politik masa hadapan. Kerana itu negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Australia, Israel, China dan Jepun sentiasa mengintai peluang untuk masuk campur dalam urusan dalaman negara-negara rantau ini. Proses globalisasi dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat, pasaran mata wang, ekonomi terbuka, liberasasi pasaran, multinational corporation dan diplomasi budaya telah sedikit sebanyak membuka ruang untuk mereka campur tangan secara tidak rasmi di negara-negara ini. Tetapi jika pergolakan ini terus berlaku, bermakna campur tangan secara fizikal atau penjajahan semula dalam bentuk baru (neo colonialisme) akan dialami sekali lagi oleh rantau ini.

Memandangkan pelbagai kesan negatif mungkin terpaksa ditelan oleh kedua-dua negara sekiranya kejadian serangan ke atas pejabat kedutaan terus berlaku, maka DPP Pusat menggesa Kerajaan Republik Indonesia supaya memberikan perhatian yang serius terhadap kejadian hitam yang berlaku ke atas kedutaan Malaysia dan Filipina ini. Sebarang pengabaian hampir pasti akan mencetuskan pengalaman yang pahit kepada kedua-dua negara khususnya dan rantau ini amnya.

DPP Pusat bagi pihak rakyat Malaysia mengutuk keras perbuatan yang tidak bertamadun yang telah dilancarkan oleh golongan yang bertanggungjawab ke atas kedutaan Malaysia sehingga mengeruhkan hubungan politik dan ekonomi dua hala serta memberikan kesan negatif kepada pecaturan antarabangsa. Mereka tidak seharusnya mengancam keselamatan diplomat Malaysia walaupun mereka bermaksud untung menyatakan bantahan kepada kerajaan Malaysia. Perkara seperti ini sepatutnya diselesaikan secara diplomatik bukannya dengan menggunakan kekerasan.

DPP Pusat mendesak supaya Kerajaan Republik Indonesia supaya mempertingkatkan kemampuan pengurusan strategik dan keselamatan untuk membendung perbuatan subversif yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kelemahan sistem keselamatan menjadi faktor terpenting terhadap kejayaan kumpulan pengganas untuk melakukan aktiviti yang tidak bertanggungjawab ini.

DPP Pusat berpandangan kegagalan Kerajaan Republik Indonesia mengawal kegiatan subversif dan pemberontakan seolah-olah memberikan lampu hijau kepada penduduk Indonesia untuk melakukan keganasan. Kes-kes di Ambon, Maluku dan Acheh seharusnya dibendung dengan tegas bukannya dibiarkan terus bergolak sehingga membawa kepada kesan negatif yang lain.

DPP Pusat juga menggesa Kerajaan Republik Indonesia memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas apa yang berlaku. Kerajaan Indonesia juga harus berjanji bahawa kejadian tersebut tidak akan berulang lagi pada masa akan datang. DPP Pusat membimbangi sekiranya kejadian ini terus berulang, ia akan menjadi bahan provokasi yang mungkin mendesak rakyat Malaysia melakukan perkara yang sama ke atas kepentingan-kepentingan Indonesia di Malaysia. Keselamatan lebih sejuta pekerja Indonesia di negara ini mungkin terancam jika Kerajaan Republik Indonesia gagal mengambil tindakan sewajarnya.

DPP Pusat sangat berharap Kerajaan Republik Indonesia akan memberikan perhatian yang serius terhadap pandangan yang dilontarkan ini. DPP Pusat sehingga kini masih mendukung semangat setia kawan bersama umat Islam Indonesia dan mempunyai cita-cita untuk melihat umat Islam rantau bersatu dan membentuk kekuatan politik, ekonomi dan sosial pada era kebangkitan rantau Asia Pasifik. Oleh itu, pihak Kerajaan Republik Indonesia harus mempastikan perpaduan yang wujud dapat dikekalkan.

Sekian, wassalam.

Yang Menjalankan Amanah,

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Ketua Lujnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com