Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


ROYALTI, FEDERALISME DAN RAJA-RAJA

Oleh: Farhah Rusyda

Sewaktu merasmikan Persidangan BA Royalti Minyak: Rilitik Khianat dan Balas Dendam BN 23 September lepas, Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyifatkan pembatalan royalti sebagai satu 'kemalangan politik' yang besar di dalam sejarah Malaysia kerana ia mencabul sistem federalisme dan kedaulatan undang-undang.

Sistem Federalisme adalah sistem kenegaraan yang membahagikan kuasa perundangan dan pentadbiran kepada dua peringkat kerajaan. Dua bentuk sistem kenagaraan yang lain adalah unitari (kesatuan) dan konfederasi (gabungan). Negara unitari adalah negara yang hanya mempunyai satu peringkat kerajaan iaitu kerajaan Pusat. Sementara negara konfederasi adalah negara yang terdiri daripada gabungan longgar beberapa buah negeri yang berdaulat. Kerajaan Pusat hanya sebagai penyelaras.

Kebanyakan negara di dunia ini adalah negara unitari. Contoh terdekat adalah Indonesia, Singapura, China dan United Kingdom. Jumlah semuanya adalah 174 buah negara. Negara unitari hanya 18 sahaja, namun ia tetap dianggap penting kerana ia meliputi 36 peratus penduduk dunia. Contohnya Amerika Syarikat, India, Australia, Nigeria dan Malaysia. Negara konfederasi setakat ini hanyalah Switzerland

Kenapa amalkan federalisme? Federalisme hanyalah pilihan kedua. Pilihan pertama tentunya negara kesatuan atau unitari. Pengasas negara hanya memilih bentuk negara yang menyusahkan ini bagi memenuhi keperluan dan hambatan semasa. Amerika Syarikat umpamanya memilih federalisme kerana pada asalnya negeri-negerinya terdiri dari negeri-negeri yang berdaulat selepas bebas dari penjajah yang berbeza-beza. Mereka sanggup bersatu tetapi masih belum mahu melepaskan kuasa di negeri masing-masing. Tambahan pula negaranya luas dan besar. Maka federalisme menjadi pilihan terbaik. Isu yang hampir sama berlaku di India.

Namun situasi di Malaysia adalah berbeza. Alasannya tersendiri. Melalui gagasan Malayan Union, British pernah mencadangkan negara unitari untuk Tanah Melayu. Namun rakyat menolak cadangan bentuk negara unitari ini kerana ia menjejaskan kuasa, keistimewaan dan kedudukan Raja-raja. Atas desakan kuat orang-orang Melayu, cadangan British ini berkubur begitu sahaja. Akhirnya British terpaksa mengemukakan cadangan Persekutuan Tanah Melayu iaitu sebuah negara berbentuk federalisme.

Tegasnya faktor pendorong utama sistem federalisme adalah demi menjaga kedudukan dan keistimewaan Raja-raja Melayu. Ini terbukti di dalam Perlembagaan yang menjamin kedudukan Raja-raja Melayu dan menjamin Perlembagaan negeri-negeri. Majlis Raja-raja ditubuhkan dan diberi beberapa peranan untuk tujuan ini. Natijah darui faktor inilah juga maka kerajaan negeri diberikan kuasa yang mempunyai kaitan langsung dan sentimental dengan Raja-raja Melayu iaitu soal agama Islam dan tanah.

Tindakan kerajaan pimpinan Dr. Mahathir membatalkan royalti ini bertentangan dengan semangat federalisme. Ini kerana undang-undang secara jelas mengiktiraf hak kerajaan negeri. Antara tujuan Akta Pembangunan Petroleum adalah untuk menjamin hak negeri. Seksyen 4 dengan jelas menyatakan hak kerajaan negeri untuk diberi bayaran tunai atau royalti sebagai balasan kepada pemunyaan dan hak eksklusif yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada Petronas. Peruntukan ini memang sengaja dibuat untuk menjamin hak negeri terutamanya negeri yang sedang menghasilkan minyak pada waktu itu iaitu Sabah dan Sarawak. Negeri-negeri tersebut mengugut mahu keluar Malaysia juka tidak diberikan hak sewajarnya. Ini kerana sebelum akta ini dibuat negeri-negeri terbabit menikmati 8 hingga 11.5 % royalti di samping bayaran tetap tahunan dan cukai 55% setahun.Hasil petroleum di Terengganu belum dijumpai pada waktu itu.

Hak ini dikuatkuasakan melalui perjanjian di negeri-negeri tersebut. Apabila hasil petrol didapati di Terengganu, perjanjian juga dibuat. Perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dan Petronas. Perlembagaan memperuntukkan bahawa negeri diketuai oleh Raja. Malah Kanun Tanah Negara pentakrifkan Pihak Berkuasa Negeri sebagai Raja atau YDPN. Walau pun Menteri Besar yang menandatangani perjanjian tersebut, ia hanya bertindak di atas kuasa bagi mewakili negeri. Rajalah yang menerima kesan akibat perjanjian itu kerana tanah-tanah itu tertakluk kepada kuasanya sebagai Ketua Negeri dalam konteks Perlembagaan dan Pihak Berkuasa Negeri dalam konteks Kanun Tanah Negara.

Apabila kerajaan Persekutuan membatalkan perjanjian itu, maka ia adalah satu pencabulan dan penghinaan kepada Raja-raja Melayu. Ia seolah-olah menyisihkan institusi Beraja yang menjadi teraju utama dan simbol kedaulatan negara. Cara pembatalan amat menjatuhkan maruah Raja-raja. Hanya dengan satu kenyataan akhbar oleh satu agensi kerajaan yang tidak bertandatangan, kerajaan pimpinan Dr Mahathir mahu meragut hak dan kedudukan Raja-raja ini. Tindakan ini mengingatkan kita kepada kegelojohan McMicheal yang ingin mengutip tandatangan Raja-raja Melayu sewaktu isu Malayan Union dahulu.

Raja-raja Melayu sewajarnya tidak berdiam diri. DYMM Yang Dipertuan Agong atau sekarang pemangkunya iaitu DYMM Tengku Mizan dari Terengganu sendiri diharap dapat memanggil PM datang mengadap bagi memberikan penjelasan tentang perkara ini. Baginda juga diharap dapat memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja yang berkuasa untuk bagi membincangkan perkara 'mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang maha Mulia Raja-raja' berdasarkan kuasa budibicaranya di bawah Perkara 40 (2) (c).

Tindakan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai satu campurtangan di dalam pentadbiran negara, tetapi sebagai satu tindakan untuk menjaga kedudukan Raja-raja itu sendiri. Kesan pembatalan perjanjian ini amat besar kepada sistem federalisme dan Raja-raja. Kedaulatan (atau quasi kedaulatan) negeri-negeri serta keistimewaan dan kedudukan Raja-raja terjejas akibat tindakan ini. Oleh yang demikian, DYMM YDPA adalah pihak yang paling layak untuk menyelesaikan kemelut ini.

Pemimpin Kerajaan Terengganu dan gabungan Barisan Alternatif wajar bertindak menghantar memorandum kepada Raja-raja. Rakyat Terengganu juga boleh meluahkan rasa kepada secara terhormat kepada Sultannya atau YDPA. Ini boleh dilakukan dengan menghantar poskad dan surat-surat bagi menyatakan hasrat hati. Ini bukan untuk menyusahkan Raja-raja tetapi untuk meminta agar Raja-raja memahami hati nurani rakyat. Apabila pemimpin politik tidak lagi menghormati perasaan dan jiwa rakyat maka Rajalah yang menjadi harapannya untuk berteduh.

Kebetulan Malaysia kini mempunyai Pemangku YDPA dari negeri Terengganu, negeri yang ditimpa malang itu. Baginda tentunya memahami keperitan rakyat Terengganu, dan sokongan moral rakyat dari negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak kepada rakyat Terengganu. Atau mungkin baginda mengharapkan guru agamanya yang dilantik menjadi Pemangku Sultan Terengganu, Syed Omar Abdul Kadir al Idrus bersuara dahulu bagi mewakili rakyat Terengganu. Buatlah apa saja yang terbaik demi.keadilan dan kedaulatan negara.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]