Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Apabila Lim Kit Siang Bercakap Tentang Politik Islam

APABILA LIM KIT SIANG BERCAKAP TENTANG POLITIK ISLAM ….. BN MENUNGGU NAFAS TERAKHIR

Saya suka mengikuti beberapa siri pandangan dan ulasan yang diberikan oleh saudara Lim Kit Siang antaranya huraian beliau tentang pemikiran politik Rashid Ghannouchi, seorang tokoh gerakan Islam Tunisia, masa depan Barisan Alternatif (BA) dan hubungan antara DAP dengan PAS. Saya juga terbaca ulasan pembaca yang ditulis berhubung dengan pandangan saudara Lim tentang politik Islam. Sememangnya kita perlulah lebih bersikap terbuka dan positif terutamanya sewaktu menerima, membaca, menganalisa dan menjustifikasikan mana-mana pandangan.

Pada pengamatan saya, semuanya kembali kepada kebijaksanaan Dato’ Fadzil Noor sewaktu menubuhkan GERAK dahulu. Aksi politik (political action) beliau telah berjaya memberikan sumbangan ke arah tertegaknya sebuah sistem pemerintahan yang berdasarkan Islam di Malaysia. Kita perlu merujuk inisiatif beliau ini yang selepas itu berjaya pula menggabungkan beberapa parti politik pembangkang di dalam sebuah barisan gabungan yang dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA). Pada hakikatnya penggabungan ini telah mencorakkan sebuah suasana baru bagi menggantikan sosio-politik masyarakat Malaysia yang telah sekian lama suram. Perubahan sosio-politik yang disaksikan oleh rakyat samada mereka sedar ataupun tidak, iaitu perubahan budaya dan pemikiran politik di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam dan masyarakat bukan Islam. Sebelum saya melanjutkan perbincangan tentang bagaimanakah bentuk perubahan budaya dan pemikiran politik tersebut, ingin ditegaskan terlebih dahulu perubahan ini tidak pernah berlaku di dalam dunia politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO khususnya benar-benar tidak bersedia menjadikan perubahan tersebut sebagai agenda utama parti itu.

Jika sebelum ini entah bagaimana dan daripada mana wujudnya “blok tebal” di antara orang Melayu dan masyarakat lain seperti Cina dan India, yang menghalang diskusi, forum, seminar dan nadwah yang membincangkan tentang hak-hak rakyat untuk beragama, sosial dan politik apatah lagi tentang konsep negara Islam secara dua hala ataupun lebih terbuka. Masyarakat Islam sering melihat bangsa asing khususnya orang Cina dengan suatu pandangan yang negatif sementara tanggapan yang menjadi tradisi orang Cina tentang Islam yang diperjuangkan oleh parti tertentu sebagai usaha menghapus atau mengurangkan kedudukan mereka. Dalam suasana yang sengaja dibiarkan kabur ini, pertamanya telah lahir suatu budaya dan pemikiran politik yang rigid di antara parti PAS dan DAP. Adalah begitu sukar sekali untuk memecahkah kebekuan ini dengan mencari titik-titik pertemuan yang boleh menemu-jalinkan kesemua gelanggang politik yang ada. Keduanya BN khususnya UMNO, MCA dan MIC telah mengambil kesempatan yang selebar-lebarnya bagi mengekalkan kuasa mereka. Jika pemisah budaya dan pemikiran politik antara PAS dan DAP masih berkekalan, BN akan sentiasa meraut segala keuntungannya.

Jika disorot kembali ke belakang, istilah-istilah politik dan perundangan Islam seperti Siyasah Syar’iyyah, Dawlah Islamiyyah, Maslahah, Hudud, Qisas, Takzir dan sebagainya hanya berlegar di sekitar “Taman Melewar” sahaja dan istilah-istilah tersebut tidak pernah dilihat dengan tanggapan yang positif oleh masyarakat bukan Islam. Dalam bahasa yang lain, usaha yang menghendaki sebuah perbincangan terbuka diadakan bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada mereka (bukan Islam) kurang mendapat publisiti meluas.

Apabila terbaca pandangan Lim Kit Siang ataupun saya katakan ia sebagai suara hati beliau, saya merasakan titik tolak ke arah perubahan sosio-politik Malaysia sedang berlaku. Begitu menarik sekali kupasan beliau yang turut menyentuh persoalan Siyasah Syar’iyyah dan negara Islam yang saya rasakan Dr. Mahathir, Dr Lim Liong Sik dan Samy Vellu pun tidak mampu menandingi kehujahan saudara Lim. Malah ia memberikan penyelesaian kepada komponen BA dan lebih bernas daripada teks ucapan Dr. Mahathir yang disediakan oleh “tokoh agama” peribadinya.

Daripada huraian saudara Lim, saya melihat poin terbesar yang ingin disuarakan beliau ialah tentang kesediaan DAP untuk berkompromi dengan BA dan lebih spesifik lagi dengan parti PAS dalam mewujudkan sebuah kerajaan alternatif. Cita-cita ini amat besar sekali di mana PAS mewakili suara umat Islam dan DAP menjadi suara orang bukan Islam. Tidak terpinggir dalam meniti arus ini beberapa parti lain seperti Keadilan dan PRM. Secara sedar ataupun sebaliknya, Lim Kit Siang telah mengkritik beberapa budaya dan pemikiran rigid yang selama ini menguasai kedua-dua pihak (PAS dan DAP). Beliau meyarankan agar PAS dapat memperjelaskan terlebih dahulu apakah itu negara Islam yang sepatutnya, sistem politik dan sejauhmanakah hak-hak asasi manusia boleh terjamin selepas “negara” itu ditubuhkan. Maknanya jika PAS bersedia untuk itu, DAP akan lebih terbuka hati dan telinganya untuk berkompromi.

Hasrat dan luahan saudara Lim ini wajar mendapat perhatian yang serius oleh pendokong parti Islam kerana setidak-tidaknya pendapat itu menjadi suara seorang pemimpin politik masyarakat bukan Islam. Para pemimpin PAS tidak seharusnya berdiam diri dengan hanya berpada dengan beberapa isu asas yang disepakati secara bersama dengan komponen BA. Sikap memendamkan isu negara Islam akan memberikan “pedang” yang tajam kedapa BN mencantas permuafakatan BA menjelang pilihanraya 2004 nanti. Oleh itu sikap yang lebih terbuka sangat-sangat diperlukan oleh kedua-dua pihak bagi mengorak langkah ke arah mencetuskan perubahan sosio-politik Malaysia lebih-lebih lagi memberikan paradigma politik kepada pengundi-pengundi yang semakin sedar untuk membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang.

Bercakap tentang hak-hak asasi yang perlu diperjuangkan oleh setiap komponen BA, tidak bermaksud PAS perlu mengendurkan idealisme perjuangan dalam menegakkan syariat Islam dan negara Islam dan DAP juga tidak perlu terlalu mendesak sehingga boleh menggadaikan prinsip perjuangan parti komponen BA. Saya merasakan ada sesuatu yang masih kekurangan pada tanggapan saudara Lim berhubung dengan pendekatan PAS khususnya dalam menarik minat bukan Islam menyokong parti itu. Menurut beliau, PAS sebagai tonggak BA perlulah menjuarai perjuangan menuntut keadilan, kebebasan dan kesamaan yang merupakan hak semulajadi manusia yang dianugerahkan oleh Allah tanpa mengambil kira perbezaan bangsa, bahasa dan agama. Rentetan daripada itu, saudara Lim secara simbolik menyatakan sokongan kepada BA dapat ditingkatkan lagi dengan PAS sendiri meletakkan perjuangan hak-hak asasi ini di antara agenda perdana parti itu. Agenda itu akan kelihatan lebih mendapat perhatian masyarakat bukan Islam khususnya orang Cina jika dibandingkan dengan slogan negara Islam semata-mata.

Dari aspek ini saya melihat ada rasionalnya pendapat saudara Lim. Perjuangan menegakkan Syariat Islam melalui penubuhan negara yang bercirikan Islam sememangnya menjadi idealisme perjuangan anggota PAS dan setiap muslim yang waras. Namun hal ini biasanya berlaku jika semua rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang beragama Islam sahaja. Namun realiti Malaysia yang bergerak di atas struktur sosial yang terbina daripada masyarakat majmuk, orang bukan Islam melebihi 40% nisbah kependudukan tidaklah boleh diketepikan sesekali. Apatah lagi sewaktu idealisme politik masyarakat Melayu terbahagi kepada PAS dan UMNO maka simpati golongan 40% ini sangat diperlukan. Dalam usaha mencari satu titik pertemuan di antara rakyat Islam dan bukan Islam maka saudara Lim berpendapat proses ini akan lebih meyakinkan golongan bukan Islam sekiranya perjuangan mendapatkan hak-hak asasi rakyat menjadi agenda utama BA. Dengan hak-hak yang diperjuangkan itu maka sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat BA berjaya menyatukan suara rakyat Islam dan bukan Islam menjatuhkan kezaliman kerajaan BN yang sudah bangkrap ini.

Suara saudara Lim tersebut antara lain menegaskan DAP akan terus setia bersama BA jika hak-hak rakyat yang sememangnya menjadi dasar perjuangannya, dapat diterapkan ke dalam BA dan selepas ini bukan hanya DAP sahaja yang menyuarakannya. Bagi pihak PAS pula, tindakan ini sekurang-kurangnya membantu PAS menjelaskan pandangan Islam yang sebenar kepada bukan Islam. Justeru itu, suatu gabungan yang mantap dalam tempoh hayat yang panjang seperti ini mesti dikukuhkan di samping beberapa agenda perdana juga perlu diperkemaskan.

Jika ditinjau dari perspektif Islam, segala hak-hak asasi seperti kebebasan, keadilan sejagat, persamaan dan sebagainya merupakan prinsip-prinsip sistem politik Islam (Qawa’id Nizam al-Hukm). Ia sangat ditekankan oleh al-Quran dan Sunnah yang menyeru umat Islam menjadi masyarakat yang bebas, adil dan hidup penuh bersaudara dan negara yang ditadbir oleh mereka mestilah menjadi berlandaskan prinsip-prinsip tersebut. Jika dilihat dari sudut yang lebih mendalam, sebenarnya saudara Lim tidak perlu risau kerana segala hak-hak tersebut merupakan kewajipan agama umat Islam yang menyamai kewajipan solat, puasa, haji dan sebagainya. Di atas nama kewajipan agama, perjuangan menuntut hak-hak tersebut bukan sekadar tuntutan moral dan kesedaran untuk mencapai taraf hidup yang selesa sahaja bahkan suatu tuntutan yang melibatkan soal pahala dan dosa. Bagi umat Islam perjuangan tersebut berjalan seiring dengan perjuangan menegakkan negara Islam dalam sebuah unit yang tidak terpisah.

Jika kita melihat dunia politik BN pula, Dr. Lim Liong Sik dan Samy Vellu yang mewakili orang bukan Islam dalam BN tidak pernah berfikiran positif seperti saudara Lim. Apatah lagi untuk membincangkan Siyasah Syar’iyyah dan kenegaraan Islam sudah tentu Dr. Lim dan Samy Vellu tidak biasa mendengarnya daripada sekutu mereka iaitu UMNO. Kedua-duanya tidak ubah seperti kertas potostat dan suara rakaman Dr. Mahathir. Lebih memalukan lagi apabila mendakwa sebagai orang yang paling berjasa kepada Islam, Dr. Mahathir sedikitpun tidak pernah untuk mengaruhi Dr. Lim dan Samy Vellu untuk melihat Islam secara labih jauh dengan positif dan tidak terlalu biadap sewaktu membicarakan selok belok Islam. Perubahan budaya dan pemikiran politik dalam komponen BA sangat-sangat merugikan BN yang telah sekian lama mengunci budaya dan pemikiran politik rakyat Malaysia. Malah lebih menjijikkan lagi apabila UMNO sanggup memperjudikan agama untuk mematahkan segala “kunci” yang dapat membuka kebekuan ini. Perpaduan di antara pembangkang merupakan mimpi ngeri yang menakutkan Dr. Mahathir dan kawan-kawannya.

Jika perubahan ini semakin mengembang dan terus berjalan dalam persekitaran sosio-politik yang sihat maka tidak mustahil, riwayat hidup BN sudah sampai ke penghujungnya. Namun perlu diingatkan jika perpaduan antara PAS dan DAP serta komponen BA lain telah mula goyah maka cita-cita menegakkan sebuah negara Malaysia yang adil hanya tinggal kenangan indah bagi rakyat Malaysia yang sentiasa mahukan keadilan. Dikatakan lagi jika DAP dan PAS bergeser kali ini maka untuk kembali sekali lagi ke dalam sebuah platform politik yang satu akan mengambil masa setidak-tidaknya 20 tahun.

Hapiz Mahaiyadin
UM
[email protected]
21-09-2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]