Petikan Berita :
Harakah Daily
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Hrkh)- Pihak peguam bela dalam perbicaraan kes Al-Maunah yang bersambung semalam menggesa Hakim Mahkamah Tinggi, Zulkifli Ahmad Makinuddin, supaya menggugurkan dakwaan ke atas anggota Al-Maunah kerana ia menyalahi perlembagaan.
Peguam Karpal Singh memberitahu mahkamah, tertuduh berhak dilepaskan tanpa dibebaskan kerana mereka dituduh di bawah Ordinan Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-Kes Keselamatan)(Pindaan) 1975 (ESCAR) yang terbatal dan tidak sah.
Kata Karpal lagi, undang-undang berkenaan (ESCAR) menyalahi perlembagaan kerana Parlimen tidak pernah membentangkan pindaan-pindaan yang memberikan kuasa perundangan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat sepanjang tiga dekad yang lalu.
"Yang DiPertuan Agung tidak boleh, dari segi undang-undang, mengumumkan Pengisytiharaan Darurat dan ini menyebabkan kesemua perintah darurat yang dibuat selepas itu, termasuk ESCAR, tidak sah," kata Karpal.
YDA mengumumkan keadaan darurat berikutan rusuhan berdarah pada tahun 1969.
Bagaimanapun, pihak pendakwaraya yang diketuai oleh Peguam Negara, Mohtar Abdullah menjelaskan, pindaan-pindaan tersebut telah dibentangkan oleh Parlimen.
Kesemua 29 mereka yang tertuduh, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara seumur hidup kerana kesalahan melancarkan peperangan terhadap Yang Dipertuan Agong. Perbicaraan tersebut mengizinkan penggunaan beberapa peruntukan di bawah ESCAR.
Perbicaraan semalam agak tegang apabila Peguam Negara, Mohtar Abdullah, dan peguam bela, Karpal Singh, bertikam lidah apabila Mokhtar berkata, pihaknya akan membuktikan mereka yang tertuduh cuba menghasut pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan.
Antaranya Mokhtar mengaitkan kumpulan al-Maunah dengan percubaan menyerang sebuah janakuasa elektrik di Perak untuk memotong bekalannya, di samping mendakwa anggota al-Maunah menggunakan pelancar "grenade" untuk menyerang kilang arak dan kuil Hindu di Kuala Lumpur.
Perbicaraan ditangguhkan ke Isnin depan apabila hakim memerintahkan pihak pendakwa dan peguambela membuat semakan dan kajian mendalam untuk menyokong hujah mereka.
Perbicaraan anggota Al-Maunah ini merupakan kes jenayah menderhaka pertama di negara ini.