Sumber :
Laman tMK
Bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia telah membuat cabaran terbuka. Akhbar Straits Times Singapura 8 September melaporkan bahawa Eric Chia bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah mengenai skandal Perwaja. Dia mendakwa telah mengumpul dokumen-dokumen transaksi Perwaja dari Chile, Brazil, Jerman, Itali dan Jepun.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam satu interview dengan TVBS Asia yang disiarkan oleh Astro pada 3 September lalu berkata bahawa dia tidak ada apa-apa kekesalan sepanjang 18 tahun memegang jawatan Perdana Menteri tetapi mengaku bahawa dia telah membuat beberapa kesilapan. "Sebagai contoh, saya telah menggalakan industri besi waja di negeri ini," kata Mahathir. Beliau tentu merujuk kepada kerugian besar syarikat Perwaja milik kerajaan.
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini berkata bahawa penyiasatan skandal Perwaja masih belum selesai kerana menghadapi masalah mendapatkan keterangan dari luar negara. Dengan segala dokumen yang telah terkumpul di tangan Eric Chia, sepatutnya BPR boleh segera menyelesaiakan siasatannya itu. Pendedahan kerugian dan penyelwengan Perwaja di Parlimen oleh bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah hampir lima tahun berlalu.
Syabas kepada BPR kerana bertindak ke atas kakitangan Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) yang rasuah. Tetapi selagi skandal besar seperti Perwaja ini tidak diambil tindakan oleh BPR selagi itu BPR akan dianggap hanya berani bertindak kepada kakitangan awam biasa tetapi tidak berani bertindak ke atas tokoh-tokoh besar yang rasuah.
Anwar Ibrahim pada 19 Julai 1999 telah membuat laporan polis berhubung kes Perwaja. Dalam laporan itu Anwar mendakwa bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Eric Chia bersama Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad terlibat secara langsung menyetujui projek dan meluluskan kontrak Perwaja tanpa tender.
Seterusnya Anwar mendakwa, Mahathir dan Eric Chia telah bertindak tanpa mematuhi kaedah dan peraturan kewangan. Demikian laporan Anwar kepada Balai Polis Jalan Tun H.S.Lee, Kuala Lumpur.
"Pada 1996, Anwar mengumumkan di Parlimen berhubung kerugian yang dialami oleh Perwaja sebanyak RM 2.9 bilion. Beliau berjanji bahawa kerajaan akan menyiasat. Kementerian Kewangan kemudian melantik juruaudit Price Waterhouse pada awal 1996 dan laporan awalnya dikemukakan sekitar awal tahun 1997.
Pada ketika itu Anwar berkata percubaan bagi mendapatkan maklumat terperinci dari pihak pengurusan Perwaja, khususnya Eric Chia tidak berhasil. Eric Chia berulangkali mengatakan bahawa tindakannya adalah dengan restu dan arahan Mahathir. Ini dibuktikan berdasarkan surat kelulusaan projek dan kontrak yang ditandatangani oleh Mahathir sendiri." Demikian kenyataan Anwar di dalam laporan polis itu.
Dengan mandat yang didapati dari Mahathir, Eric Chia telah mengenepikan Lembaga Pengarah Perwaja. Akibatnya urusan tender tidak dijalankan dan terdapat bayaran yang meragukan.
Jumlah terkumpul kerugian dan lain-lain tanggungan Perwaja adalah sebanyak RM 9.9 bilion, iaitu ketika kerajaan terpaksa mengambil langkah menyelamatkan syarikat tersebut. Walaupun perniagaan Perwaja telah disusun semula melalui "Equal Concept" dengan melibatkan Maju Holdings memiliki 51% dan 49% dipegang oleh kerajaan, tetapi Perwaja masih lagi rugi. Kerugiannya pada tahun 1998 sebanyak RM 340 juta.
Hingga ke hari ini, rakyat dan negara masih lagi menanggung beban akibat kerugian dan hutang Perwaja. Jumlahnya pada akhir tahun 1998 ialah sebanyak RM 9.1 bilion.
Sekarang Eric Chia bersedia memberi keterangannya di mahkamah setelah sekian lama senyap sepi. Dia mungkin mahu membersihkan namanya. Anwar telah dedahkan kes Perwaja ini di Parlimen ketika menjadi menteri dan membuat laporan polis dari dalam penjara, semata-mata untuk menuntut supaya kes Perwaja ini disiasat dan siapa yang bersalah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.
Ketua BPR telah banyak kali berjanji untuk segerakan siasatan kes Perwaja. Jadi sekarang, Mahathir perlu ada keberanian moral untuk selesaikan kes rasuah yang mega ini. Mahathir juga perlu membersihkan namanya. Lagipun Mahathir telah mengaku bahawa beliau telah membuat kesilapan dalam soal industri besi waja di Malaysia.
Mat Despatch
11 September 2000