Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Surat Terbuka Buat Musa Hitam

KEBEBASAN MEDIA

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Isu kebebasan akhbar di negara ini tidak dapat dirongkai jika senario sebenar jarang diketahui umum. Kes pengharaman majalah dua kali sebulan, Detik dan akhbar mingguan politik, Eksklusif, dibiar terpendam begitu saja oleh penerbitnya kerana mereka arif benar risiko yang bakal digantung jika mahu mengisytihar konfrontasi terhadap Kementerian Dalam Negeri.

Mungkin hanya saya dilihat menjerit dan meracau sehingga terpaksa memikul keranda Detik, naik turun Unit Kawalan Penerbitan KDN, dan menulis di internet dengan nada marah, sinis, kecewa dan ada kalanya tidak keruan, walhal penerbit yang sepatutnya 'mengamuk' diam membisu. Jelas, bagi penerbit besar seperti Karangkraf yang menaungi Eksklusif, matinya tabloid itu tidak seharusnya mengheret akhbar dan majalah lain yang diusahakannya, juga ke kubur puaka KDN!

Tujuan tulisan pendek ini bagi memaklumkan kepada Suhakam cebisan kecil yang terpinggir tentang realiti sebenar dunia media kita merujuk catatan peribadi saya sendiri. Seharusnya teman-teman lain yang senasib juga mencatat nota peribadi masing-masing buat Suhakam.

Saya mulakan dengan menulis buku politik -- sekali imbas tiada masalah besar menanti. Namun anda perlu menulis, menerbit dan lebih baik lagi mengedar, dan jika banyak duit belilah mesin cetak sendiri. Jarang penerbit besar bersedia membantu anda.

Memang tiada siapa menghalang anda menulis buku politik yang menghentam pemerintah. Tetapi pihak polis boleh "merempuh" rumah anda dengan alasan "ada bahan subversif" di dalamnya. Itulah pengalaman saya semasa menetap di Selayang Baru, lima tahun lalu. Segala buku disepahkan, entah apa yang dicarinya. Soal siasat dijalankan di depan anak isteri yang menggigil ketakutan.

Pencetak akan dicari, bukan untuk dihadapkan ke mahkamah (ya, kerana tiada kesalahan yang mereka lakukan) tapi untuk diugut dan diherdik. Namun untuk 20 judul buku saya yang awal, nama-nama pencetak yang saya letakkan semuanya palsu, tidak wujud! Tiada pencetak yang sebodoh itu untuk mempamerkan nama, sepertimana kehendak akta.

Melalui perisikan teliti, SB kemudiannya mengenal pasti pencetak setia saya di Bandar Sri Damansara, seorang anak muda Cina yang senang diajak minum pagi sambil bercerita panjang tentang rasa tidak puas hati terhadap BN. Selepas menerima ugutan halus, rakan saya itu mohon mengundur diri dari mencetak buku-buku saya.

Saya cukup faham situasi sulit yang dihadapinya. Masakan sanggup dia menggadaikan mesinnya yang bernilai berjuta-juta ringgit hanya kerana untuk mencetak buku saya yang pulangannya belum pasti. Sehingga perniagaannya ditutup saya masih berhutang puluhan ribu ringgit dengannya. Pencetak juga tertakluk di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang memberi kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri untuk membatalkan permit tanpa sebarang alasan.

Namun kebebasan menulis buku politik jarang dipersoalkan asalkan anda lasak untuk menghadapi tekanan secara sendirian. Lebih besar dari itu ialah isu kebebasan untuk menerbitkan majalah atau akhbar. Anda perlu mendapat permit dari KDN, satu kongkongan awal yang cukup menyiksakan.

Permohonannya memakan masa, leceh dan memualkan. Syarat-syaratnya tidak jelas seolah-olah siapa saja boleh mendapatkan permit. Sekali pandang benar, asalkan anda tidak ada rekod buruk dengan KDN.

Rekod buruk? Ya, anda tidak pernah menulis untuk mengkritik atau menegur pemerintah. Justeru, yang selalu memperolehi permit dengan mudah ialah mereka yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam dunia penerbitan. Aneh bukan? Anda mungkin disuruh untuk membuat pindaan demi pindaan terhadap permohonan, seperti nama majalah, tetapi akhirnya anda akan dimaklumkan dengan surat ringkas satu perenggan dari KDN bahawa permohonan anda ditolak. Sekali lagi, tiada sebab diberikan.

Jangan bawa contoh saya sendiri, semua orang tahu ending ceritanya. Seorang penerbit muda, Anissofian Amran, pada 9 September 1999 memohon majalah bulanan ehwal semasa, Mesej. 29 September, KDN minta nama ditukar kerana sudah ada permohonan atas nama sama.

14 Oktober, Anis mengemukakan dua nama baru sekali gus, Madani dan Agenda. Juga dimaklumkan masalah sama, beliau diminta cari nama lain. 11 hari selepas itu, beliau menghantar dua nama lain, Warkah dan Sirah. Sepatutnya KDN mengemaskinikan rekod komputer nama-nama majalah yang telahpun diluluskan di samping nama majalah dalam permohonan. Tidak perlulah terhegeh-hegeh pemohon bertanya khabar status permohonan mereka. Jangan harap pegawai KDN akan memaklumkan kepada kita jika tidak ditelefon dan ditanya selalu.

Anda nak tahu apa keputusannya? Anis tidak pernah dipanggil KDN ataupun polis cawangan khas untuk memberi apa-apa penjelasan seolah-olah tiada masalah berbangkit. Hanya pada 14 Februari 2000, Tengku Mahmood Tengku Ismail memaklumkan melalui surat satu perenggan "dukacita dimaklumkan Kementerian ini mengambil keputusan menolak permohonan tuan".

Jadi, apa anda, atau lebih tepatnya, saya, boleh lakukan? Permit memang tidak akan diberikan walaupun saya mohon penjelasan di mana yang perlu saya perbaiki bagi menepati kehendak KDN. Pegawainya pasti tidak akan melayan permohonan itu. Bukankah mereka, seperti Menterinya juga, berkuasa penuh untuk menolak permohonan dan dalam kes Detik, Wasilah dan Eksklusif, mengharamkannya?

Lalu, bila ada pelawaan teman-teman yang mempunyai permit untuk menerbitkan sesuatu makalah, saya tentu menerima dengan lapang hati. Tahu sajalah untuk memulakan bisnes penerbitan. Kita perlukan masa sekurang-sekurangnya dua tahun sebelum dikenali umum. Tapi ingat, hayat permit hanya setahun. Belum apa-apa KDN akan menghantar surat - bukan sekadar amaran - minta penjelasan mengapa permit tidak boleh dibatalkan kerana melanggar syarat.

KDN mendakwa syarikat saya, Penerbitan Pemuda, telah mengambilalih permit yang diberikan kepada pihak lain. Percayalah, kalau saya bukan antara penulis yang disenarai-hitamkan KDN, saya boleh buat apa saja dengan permit itu.

Begitu banyak syarikat penerbitan yang melakukan usahasama dengan pihak lain yang mempunyai kemahiran dan pengalaman. (Kalau mahu, saya boleh memberi sepuluh nama majalah dalam sekelip mata sebagai bukti amalan talam dua muka KDN). Tetapi tiada masalah selagi anda tidak mengecilkan hati Menteri.

Cuba tanya Abdullah Badawi, akhbar Umno Terengganu, Al-Haq yang dilancarkannya itu, siapa pemiliknya yang sebenar? Bukankah ia milik bekas seorang wartawan politik. Tiba-tiba saja nama penerbitnya menjadi Umno Terengganu.

Pelik, KDN meluluskan permit kepada syarikat dan individu yang tiada pengalaman, sedangkan pemohon yang hidup mati bergelumang dalam dunia penerbitan tidak pernah dihiraukan.

Kita bukannya memohon akhbar harian dan stesen TV yang kini dibolot mutlak Umno. Paling tinggi pun kita minta akhbar mingguan. Seorang pegawai KDN menasihatkan saya, janganlah buang masa memohon penerbitan bercorak politik, pasti tidak diluluskan. Saya mencabarnya, letakkan dalam syarat bahawa makalah politik atau ehwal semasa tidak dibenarkan memohon.

Apa yang dicatat ini adalah ulangan nasib malang penerbit bebas di Malaysia. Mungkin ramai sudah jemu mendengarnya, tapi kali ini saya mahu Musa Hitam menelitinya pula. Tanpa kebebasan media usah bercerita tentang demokrasi. Ahli-ahli Suhakam digesa memberi perhatian serius dengan sikap talam dua muka KDN itu.

"DETIK DAN Al-WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com