Membaca novel 'Cinta Hari-hari Rusuhan' karya Faizal
Tehrani memberikan impak yang berbeza tentang
pengamatan saya tentang keberanian perjuangan pelajar.
Walaupun fiksyen, ianya didasarkan pada realiti
suasana perjuangan pelajar era 70-an. Soal kemiskinan,
keamanan bahkan hingga membawa ke persoalan
antarabangsa menjadi bahan yang diperjuangkan
mahasiswa. Mana-mana perjuangan pelajar pun tak pernah
tiada yang yang terkorban. Digantung mahupun dibuang
universiti adalah perkara biasa. Itupun dah mujur dari
merengkok di dalam penjara mahupun jadi pelarian
politik ke luar negara.
Suasana berubah, gerakan pelajar juga berubah.
Mana-mana juga negara di dunia ini melihat perjuangan
pelajar dengan penuh hati-hati. Bukan apa, silap-silap
gaya kuasa jadi taruhannya. Lihat saja Indonesia, Pak
Suharto dijatuhkan hanya kerana laungan keramat
reformasi para pelajar. Aneh...mahasiswa 20 tahun
mampu menewaskan negarawan ulung berusia lebih 60
tahun. Itulah kesannya.
Di Malaysia, seperti pengenalan di peringkat awal
tadi, telah saya nyatakan bahawa perjuangan mahasiswa
era 70'an sesuatu yang mengagumkan. Selalu saja era
tersebut menjadi inspirasi generasi mahasiswa alaf
baru. Walaupun ramai yang menjadi mangsa dan terkorban
mahupun ramai yang membelot untuk menikmati kerusi
empuk kerajaan, namun perjuangan mahasiswa tetap
mempunyai idealisme dan nilainya yang tersendiri
tentang tatacara bagaimana menyedarkan pihak kerajaan
tentang kesilapan mereka. Ledakan terhenti seketika di
era 80'an. Tak tahu mengapa...mungkin tiada isu besar,
ataupun kerana idola perjuangan era 70'an, Pak Anwar
sudah beralih ke kerusi kerajaan. Kocakan kecil ada
juga tetapi belum cukup untuk menggegarkan negara.
Hanyalah apabila tiba tarikh keramat 2 September 2000,
bila Pak Anwar jatuh dari kerusi tawanannya. Negara
gegak gempita...laungan reformasi bergema.
Persis di
Indonesia...mungkin ada semangat yang terlimpah di
sini. Dan tanpa diduga...mahasiswa...menguak
kocak...menghasilkan arus...mahu perubahan katanya.
Era 70'an jadi azimat perjuangan. Tiba-tiba mahasiswa
jadi berani. Tiba-tiba mahasiswa bersemangat.
Tiba-tiba mahasiswa terasa mereka sedang berjuang.
Bukan berjuang untuk dapat A di dewan peperiksaan
tetapi berjuang untuk Keadilan. Saya yang berada di
kampus terasa bahangnya. Sebelum kes pemecatan, cuba
juga mencari idea, mengorak isu, menguji sikap
mahasiswa tentang keprihatinan semasa, tapi tiada
respons. Entah apa gegak gempita, selepas pemecatan
Anwar, semua jadi semangat, semua ingin berjuang.
Mahasiswa yang kononnya lesu, menutur kata penuh
wibawa, menangkis setiap pendapat dan penerangan yang
dianggap tak masuk akal. Pak-pak menteri dan menteri
besar terpaksa turun padang, bercerita pada kami
mengapa Anwar dipecat. Mahasiswa mendengar, tapi
selepas itu berhujah memberi pendapat. Ahhh...seperti
mati hidup semula, melihat mahasiswa tampil
berkata-kata seperti seorang pemidato ternama.
Sehinggalah bila kerajaan mula tercabar. Bila kerajaan
mula terasa mahasiswa menentang. Bila undang-undang
drakonian AUKU digunapakai. Mahasiswa keliru.
Mahasiswa terfikir masa depan. Mahasiswa mula
percaya...ahhh..perjuangan ini sia-sia. Mahasiswa mula
berpendapat...untuk apa berjuang, siapa aku untuk
merubah. Untuk apa berjuang kalau segulung ijazah yang
jadi buruan, tak kesampaian untuk digapai. Dan
tiba-tiba mahasiswa diam. Satu demi satu pimpinan di
ambil tindakan hingga akhirnya mahasiswa kembali ke
sifat asal. Lesu dan beku.
Akhirnya, saya mula terfikir. Inikah silap mahasiswa.
Adakah kerana jiwa mereka kecil. Adakah kerana jiwa
mereka lemah. Benarkah mahasiswa pengecut? Pantang
ditekan...mahasiswa mengalah. Pantang
diugut...mahasiswa melutut.
Hinggalah tiba suatu ketika...beberapa bulan lepas.
Astora Jabat datang menjual idea. Mahasiswa tercabar
intelek. Mana mungkin dipermainkan dengan hujah
dangkal. Mahasiswa melawan. Mahasiswa berperang hujah.
Dituduh penghasut...mahasiswa digantung...mahasiswa
rela.
Hinggalah tiba suatu ketika apabila Menteri Pendidikan
membentang hujah. Membawa propaganda kepartian.
Mahasiswa menyanggah. Mahasiswa diugut dengan AUKU.
Mahasiswa melawan. Dituduh menentang...mahasiswa
digantung...mahasiswa rela.
Akhirnya saya terasa diantara kewujudan kelesuan
mahasiswa, masih ada harapan untuk mahasiswa bangun.
Mahasiswa bukan pengecut cuma mahasiswa kecil jiwanya.
Api reformasi belum padam. Ia cuma mengecil. Api ini
akan marak jika jiwa mahasiswa besar. Ia hanya akan
terjadi jika kita tahu bagaimana menyemarakkan api itu
dan bagaimana membuat mahasiswa berjiwa besar. Sebagai
mahasiswa...saya masih yakin...mahasiswa bukan
pengecut.
Student Life
Nadzryan Faqrul