Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Demokrat Tulen Itu Dengan al-Wasilah

Saya fikir hanya lelaki itu yang sahaja sanggup mengungkapkan ungkapan ‘gila’ dan membuat kerja ‘gila’. Saya tidak fikir wujud lagi manusia lain yang menjadikan ‘penguasa di musim senja’ itu [meminjam ungkapan Anwar Ibrahim] sebagai idola.

Bagi saya cukuplah hanya seorang manusia sahaja di muka bumi Malaysia ini yang sanggup menuduh orang lain menumbuk diri sendiri untuk mendapatkan simpati, atau menuduh keluarga meracunkan ahlinya untuk membangkitkan kemarahan rakyat. Tidak perlu ada lagi manusia yang mengarahkan FRU yang lengkap dengan senjata merempuh benteng dan ribat manusia yang tidak berdosa dan tidak mempunyai senjata. Tidak perlu wujud lagi kerja-kerja ‘gila’ ini hanya untuk membelasah, membantai dan menghentam rakyat sendiri yang dahagakan keadilan dan keamanan.

Cukuplah dengan seorang lelaki itu. Jangan tambahkan dengan lelaki-lelaki yang ternyata tidak menguntungkan umat manusia. Biarkan kenyanyukan itu pula membelasah, membantai dan menghentam lelaki itu secara tidak sedar. Biarkan dia menghabiskan sisa-sisa hidup dengan menambah kezaliman demi kezaliman untuk berhadapan dengan Allah sambil mengheret bebanan penganiayaan yang terlampau besar itu. Biarkan bangunan ala batu nisan itu menjadi batu-batan yang terpaksa dihela sepanjang perjalanan yang penuh berliku nanti.

Cukuplah dengan lelaki itu. Jangan ada lelaki kedua. Malangnya, nyatalah, lelaki kedua itu wujud juga. Entah apa istimewa lelaki itu sehingga mampu menghasilkan baka yang sudi pula mengikutnya. Lelaki yang dulunya dikenali sebagai seorang yang lemah-lembut, bersopan, tidak ganas dan jangan lupa ‘demokrat tulen’, nyata berubah segala-galanya.

Ada Harakah dua kali seminggu, dibatasinya dua kali sebulan. Apa ini? Kerja ‘gila’ dalam zaman yang mengutamakan kepantasan detik dan saat atau mili saat? Manusia mengejar teknologi maklumat yang memendekkan waktu dan masa, serta dunia internet semudah di hujung jari yang menghubungkan Tokyo dan New York sepantas kilat, mendekatkan Kutub Utara dan Kutub Selatan yang tidak pernah bertemu, tetapi lelaki itu melambatkan berita dan maklumat. Bukankah ini kerja ‘gila’ dalam alam yang normal?

Ada Detik, sebagai cebisan untuk penulis-penulis kerdil menyampaikan fikrah, idea dan perasaan mereka, lalu tanpa simpati dan sensitiviti, lelaki itu menguburkan setelah lama membiarkan jenazah itu diharungi lalat dan langau. Bukankah ini kerja ‘gila’ dalam keadaan umat dunia berlumba-lumba menikmati nafas demokrasi dalam atmosfera yang bebas? Negara Komunis satu demi satu hilang dari peta dunia, tetapi lelaki ini cuba mengembalikan era serba sempit dan serba terkongkong itu?

Ada Eksklusif yang kadang-kala tampak memihak pada pro-estabalishment, selalu pula memihak kepada alternatif, lalu dimatikan begitu sahaja. Alahai, lelaki itu mahu satu pandangan satu pernyataan? Bukankah itu adalah kerja ‘gila’ seorang lelaki yang tidak boleh mendengar pandangan kedua? Kalau begitu, potong sahaja cuping telinga kiri, pecahkan gegendang telinga kiri, cungkil biji mata kiri dan sumbat lubang hidung kiri supaya, hanya ada satu pandangan, satu pendengaran dan satu penghiduan! Bukankah ini kerja ‘gila’ juga!

Sekarang, tinggal lagi al-Wasilah, untuk remaja yang mempunyai pandangan, pendengaran dan mulut. Al-Wasilah bukan majalah untuk artis menyatakan fantasi seks yang melampau itu. Majalah ini bukan untuk mendedahkan seluruh tanah dengan lekuk dan lubangnya kecuali menutup dua bukit besar dan gaung itu. Majalah itu bukan untuk anak-anak muda membaca siri-siri seks yang mengghairahkan, lalu hilang pedoman sehingga sanggup mencari anak-anak gadis di bawah umur!

Al-Wasilah hanyalah saluran untuk remaja yang mempunyai kesedaran dan hati nurani untuk menangkap makna kebebasan yang sebenar serta memperjuangkan nilai-nilai demokrasi yang nyatalah sudah terhakis daripada diri ‘demokrat tulen’ itu. Al-Wasilah tidak lain daripada majalah yang memaparkan cara hidup dan norma anak-anak muda yang mengikut lunas-lunas agama dan adat. Itulah al-Wasilah!

Saya adalah antara sekian anak-anak muda yang menjadikan majalah itu sebagai antara majalah yang dapat memberikan maklumat yang berguna. Saya adalah antara sekian ramai anak-anak muda yang melihat majalah-majalah yang bertaburan di negara ini banyak yang menyeleweng daripada lunas-lunas cara hidup yang bersih.

Namun, mengapa majalah al-Wasilah ini sahaja yang dijadikan sasaran? Mengapa, wahai lelaki tua alias ‘demokrat tulen’? Mengapa kamu biarkan majalah-majalah kotor, korup dan lucah itu bersepah di kaki lima jalan raya? Adakah kamu mahu membiarkan anak-anak remaja dan generasi hari ini menjadi pelucah dan pelampau?

Alahai lelaki ‘demokrat tulen’ itu, usah kau contohi ‘penguasa di musim senja’!

Hj Mohnas

=====


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]