Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


POSTFOR dan 120 Bekas Ahli PAS: Sokong Membawa Rebah

Sewaktu saya di kampus induk UIA, saya diberitahu oleh seorang teman bahawa, Persatuan Pelajar Sains Politik [POSTFOR] UIA menjemput Dr. Mahathir untuk menghadiri forum bersama mahasiswa. Secara sepintas lalu, saya menyebut bahawa Dr. Mahathir terlalu besar sebenarnya untuk dijemput oleh forum tersebut. Saya menambah, sepatutnya, SRC atau Student Representative Council UIA yang menjemput Dr. Mahathir. Barangkali, POSTFOR layak untuk menjemput mana-mana setiausaha kementerian, tetapi untuk Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia dan juga Presiden UMNO, pada pandangan saya tidak berapa manis andainya berbuat demikian.

Setelah saya pulang ke Kelantan, saya terbaca dalam laman web BERNAMA bahawa Dr Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan 120 bekas anggota PAS dari Marang, Terengganu di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 15 September yang lalu. Perjumpaan tertutup itu turut menyaksikan penyerahan borang keanggotaan kepada Presiden UMNO itu. Dr. Siti Hasmah dan Setiausaha Kerja UMNO, Tengku Adnan, turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Secara sepintas lalu pula, saya beranggapan 120 orang bekas ahli PAS Marang itu sepatutnya hanya bertemu dengan Setiausaha Kerja UMNO atau paling tinggi sekali pun Pak Lah selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Namun, sepatutnya, 120 orang tersebut tidak diraikan oleh seorang yang bergelar presiden kepada sebuah parti yang pernah didakwa sebagai parti Islam ketiga terbesar itu.

Lalu, saya tertanya-tanya, berdasarkan dua kes yang berlaku itu, adakah Dr. Mahathir sudah terlalu ‘murah’ sehingga statusnya sebagai seorang Perdana Menteri yang memiliki mahligai gergasi itu turun sehingga ke akar umbi begitu. Barangkali, akan ada yang menyanggah, bukankah itu menunjukkan kesediaan Dr. Mahathir untuk bersama-sama dengan akar umbi begitu? Namun, saya melihat, kes-kes yang berlaku ini menunjukkan ketidakpopularan Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Mereka yang mungkin mengganggap tindakan Dr. Mahathir ini sebagai tindakan yang merendah diri dan menghampiri nilai-nilai Islam sepatutnya memikirkan dua tiga kali sebelum membuat kesimpulan yang cetek itu. Tindakan Dr. Mahathir membuat pertemuan dengan 120 orang bekas ahli PAS itu adalah tindakan politik kepartian yang tidak sewajarnya diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri. Tindakan tersebut sudah tidak Islamik berdasarkan sirah ‘Umar Abdul Aziz yang memadamkan pelita kerajaan apabila anaknya ingin berbincang soal keluarga dan beliau menggantikan dengan pelita yang dibeli daripada duitnya sendiri. Lainlah, kalau Dr. Mahathir bertemu mereka ini atas kapasiti seorang Perdana Menteri. Namun, berdasarkan berita tersebut, secara sarahah, pertemuan tersebut adalah berasaskan politik.

Saya melihat, Dr. Mahathir sudah tidak popular di kalangan mahasiswa sebenarnya sehingga bukan sahaja SRC, malah PMU yang lain pun tidak tergerak untuk menjemput Dr. Mahathir untuk membuat forum bersama-sama dengan mahasiswa. Saya kira program Dr. Mahathir yang terdahulu yang menyaksikan kawalan yang cukup ketat terhadap kehadiran dan pembabitan mahasiswa dalam forum menyebabkan mahasiswa malas untuk menjemput Dr. Mahathir.

Oleh itu, POSTFOR yang didakwa dikuasai oleh kepemimpinan yang terikat dengan politik kepartian yang bertaraf forum pelajar itu yang terpaksa menjemput Dr. Mahathir datang ke kampus UIA. Saya diberitahu oleh teman saya itu bahawa POSTFOR hanyalah sebuah kelab yang bertaraf forum yang tidak silap saya berada di bawah persatuan fakulti. Ibaratnya adalah seekor tikus memanggil badak sumbu untuk menghadiri majlis makan malam bersama tikus-tikus! [dengan maaf andainya ibarat ini tidak kena]

Saya tidak menafikan kepentingan seorang Perdana Menteri menyahut jemputan mereka, tetapi apa yang saya hairan adalah di mana maruah seorang Perdana Menteri yang terpaksa menerima jemputan daripada sebuah kelab yang kerdil apabila mahasiswa sudah tidak pandang kepada seorang Perdana Menteri.

Pandangan saya, Dr. Mahathir tidak perlu untuk hadir ke forum berkenaan. Sebaliknya, hantar sahaja Hamid Othman contohnya ke dalam forum tersebut. Bukankah itu adalah antara kegunaan Hamid Othman yang dihidupkan kembali? Dan saya juga suka menasihati POSTFOR bahawa pada masa depan, ambillah tindakan yang lebih bijaksana kerana saya tidak nampak di mana bijaksananya tindakan tersebut. Jangan terlalu ghairah untuk menjemput orang besar sebaliknya fahamilah protokol demi memelihara maruah seorang Perdana Menteri.

Begitu juga, dalam kes pertemuan dengan bekas ahli PAS itu, saya sekali lagi cukup muak. Cuma muak kali ini bercampur dengan kasihan. Muak kerana Dr. Mahathir telah menyalahgunakan kediaman rasmi untuk tujuan politik secara sarahah itu dan kasihan kerana Dr. Mahathir terpaksa menagih simpati daripada mereka yang telah pun tidak mendapat tempat di kalangan PAS dan BA.

Begitukah harga seorang Perdana Menteri pada kaca mata rakyat Malaysia? Barangkali mereka yang hadir cukup seronok kerana dapat menyerahkan sendiri borang kepada Presiden UMNO, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak sedar bahawa mereka sudah menjatuhkan air muka seorang presiden. Nilai seorang presiden lebih kurang dengan nilai 120 orang yang ditolak oleh PAS!

Apatah lagi, apabila saya membaca perenggan yang berikutnya, saya tidak dapat menahan pilu lagi. Dr. Mahathir sanggup menjadi ‘pemandu pelancong’ kepada mereka ini. Saya turunkan berita itu, “Dr Mahathir turut meluangkan masa membawa mereka melawat sekitar Kompleks Seri Perdana yang menjadi sebahagian daripada pembangunan bandar pintar Putrajaya, ibukota pentadbiran negara yang baru.”

Apakah anggapan masyarakat antarabangsa selepas ini? Saya kira, pelancong asing yang datang melawat Putrajaya boleh ‘demand’ kepada Dr. Mahathir untuk membawa mereka juga melawat sekitar Kompleks Seri Perdana nanti. Barangkali, boleh dibuat dan diatur jadual supaya tidak bertembung dengan tugas-tugas rasmi Perdana Menteri.

Saya kira Tengku Adnan bertanggungjawab dalam ‘kecuaian’ ini. Sepatutnya, Tengku Adnan tidak terlalu ghairah untuk menunjukkan sokongan rakyat Terengganu kepada Dr. Mahathir. Apalah yang hendak dibandingkan dengan 120 orang itu dengan majoriti rakyat Terengganu yang menolak Wan Mokhtar dan UMNO [jangan lupa baca juga sebagai: Dr. Mahathir] pada pilihan raya yang lalu. Tugas Tengku Adnan bukanlah membawa ahli-ahli PAS yang desparados itu [itu pun kalau betul ahli PAS] untuk mengadap Dr. Mahathir dan menyerahkan borang keahlian. Cukuplah dengan membawa mereka ke pejabat UMNO bertemu dengan Khalil, Setiausaha Agung UMNO untuk menguruskan kemasukan mereka.

Malangnya, kita memiliki seorang Perdana Menteri yang sudah tidak popular di kalangan rakyat sendiri sehingga sanggup menerima ‘publisiti murahan’! Nasihat saya, jagalah dengan sokongan tersebut, kerana selalunya sokongan dalam bentuk sedemikian hanyalah sokong yang membawa rebah!

Hj Mohnas

=====


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]