Saya ingin mengucapkan syabas kepada saudara Azman kerana pandangannya telah membuatkan ramai di antara kita mula berfikir tentang apakah itu kebenaran. Saya juga sependapat dengan saudara Azman menyokong arus gelombang reformasi untuk menumbangkan kerajaan BN yang sedia ada. Ini ketana banyak kelemahan yang ketara dan sudah tidak dapat ditutup lagi oleh UMNO and Company. Nampaknya UMNO tidak kekal lama dan akan menuruti jejak langkah dinosaur yang hilang ditelan zaman.
Kelemahan UMNO yang ketara ialah faktor Dr. Mahathir. Beliau kini semakin popular sebagai seorang diktator sinonim dengan Suharto, Marcos, Raja Farouk dan ramai lagi yang tak habis kalau nak disebutkan di sini. Kekejamannya menindas musuh politiknya tidak dapat dinafikan lagi. Contoh yang paling ketara ialah Anwar Ibrahim yang telah berkhidmat selama 17 tahun sebagai TPM telah diaibkan dengan begitu teruk sekali. Mangsa-mangsa yang lain ialah raja-raja Melayu, Tan Sri Musa Hitam, mangsa-mangsa trajedi Memali, tahanan-tahanan ISA, bekas Ketua hakim Negara Tun Salleh Abbas dan beberapa orang hakim Mahkamah Agong, bekas mufti Selangor Datuk Ishak Baharum, ulama-ulama dan lain-lain lagi. Selagi UMNO diperintah oleh Dr Mahathir selagi itulah UMNO semakin tidak popular di kalangan Orang Melayu.
Sikap mementingkan diri sendiri juga salah satu sebab UMNO mula disisihkan oleh Orang Melayu. Cuba kita lihat apakah pemimpin-pemimpin UMNO mengutamakan kebajikan rakyat? Harga barang yang meningkat tinggi setiap kali kenaikan gaji dan tak pernah turun-turun walaupun diarahkan oleh kerajaan, tol-tol yang melambak-lambak, pengkorpratan IPT, projek penswastaan, projek-projek mega yang membazir dan sebagainya. Bukan kita menolak pembangunan tapi biarlah yang berpatutan. Sepatutnya hasil kutipan tol dibentangkan di dalam Parlimen tiap-tiap tahun untuk mengetahui berapa kutipannya. Menara kembar KLCC entah berapa tingkat sahaja yang disewa dan duit-duit rakyat seperti Tabung Haji, KWSP, Bank Islam dan Petronas digunakan untuk menampung kerugian perniagaan anak-anak Dr. Mahathir dan kroninya. Jika hal seperti ini terjadi pada masa Datuk Harun Idris dahulu sudah tentu mereka merengkok di dalam penjara. Sewajarnya duit-duit ini digunakan untuk kebajikan rakyat seperti pembinaan rumah kos rendah, kemudahan biasiswa kepada pelajar-pelajar, pembinaan sekolah-sekolah, masjid-masjid dan lain-lain lagi.
Seterusnya faktor penyalahgunaan kuasa mengakibatkan UMNO semakin dilupakan oleh Orang Melayu. Selepas pilihanraya ini pemimpin-pemimpin UMNO kelihatan cukup menekan Parti-parti pembangkang dan penyokong-penyokongnya. Harakah sebagai contoh disekat penjualannya daripada sekali seminggu kepada 2 minggu sekali. Di Melaka mereka-mereka yang pro pembangkang dikenakan tindakan yang keras oleh Ketua Menterinya Datuk Ali Rustam. Antaranya pengeluaran duit daripada Bank Islam dan Bank Bumiputra Commerce, penamatan kontrak doktor-doktor panel yang menyokong pembangkang dan terbaru melarang kakitangannya membuat lawatan rasmi ke Kelantan dan Terengganu. Pahang pula menangguh pengajian Kelas Al Quran dan Fardhu Ain. Larangan oleh kerajaan pusat daripada berpolitik di dalam masjid juga sebagai langkah untuk menyekat pengaruh PAS dan Keadilan. Ura-ura Datuk Rais Yatim untuk membuat satu undang-undang yang memisahkan Islam daripada politik lebih dahsyat lagi. Sekiranya berjaya sudah pasti PAS akan diharamkan kerana terdapat perkataan Islam pada nama partinya. Tindakan-tindakan sebegini akan membuatkan rakyat semakin membenci UMNO dan akan mempercepatkan lagi kejatuhannya.
Budaya politik wang juga merosakkan UMNO. Perjuangan tanpa wang menjadikan ahli-ahli UMNO tidak bermaya kerana mereka telah terdidik dengan budaya politik wang ini. Sebab itulah arahan Dr. Mahathir supaya perwakilan UMNO balik ke rumah masing-masing dan dan semula pada hari persidangan UMNO tidak diendahkan dan sebaliknya hotel-hotel di Kuala Lumpur telah dipenuhi oleh mereka. Setiap kali berlaku pilihanraya banyak wang telah ditaburkan oleh UMNO untuk memenangi hati pengundi-pengundi. Begitu juga setiap kali berlakunya kempen pemilihan UMNO sehingga ada yang sanggup menghabiskan berjuta-juta ringgit hanya untuk memenangi kerusi Ketua Bahagian sahaja. Lambat- laun UMNO akan berkubur jua kesan politik wang yang sudah sebati dalam diri ahli-ahli mereka.
Krisis dalaman yang berlaku di dalam UMNO lebih memburukkan lagi keadaan sehingga menyebabkan ramai ahli-ahli UMNO keluar parti dan lahirnya Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan Nasional. Sejak Pemecatan Anwar Ibrahim UMNO semakin parah menderita luka yang teruk. Kelemahan UMNO semakin banyak terdedah dan Pemudanya pula sudah kehilangan taringnya kerana ramai yang telah memasuki Parti Keadilan Nasional. Orang Melayu pula sudah mula memandang sepi terhadap UMNO dan UMNO sudah kehilangan daya tarikannya.
Satu lagi kelemahan UMNO yang ketara ialah UMNO lebih menekankan pembangunan material berbanding pembangunan rohani. Akibatnya Islam hanya sekadar pada nama sahaja.Cuba kita lihat Dr. Mahathir menyertai sambutan tahun baru di KLCC dengan konsert dan lain-lain hiburan sedangkan ketika itu umat Islam sedang sibuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan bersolat Tarawikh. Pemimpin-pemimpin Wanita UMNO pula lebih suka mendedahkan rambut mereka. Buku-buku kisah benar yang berbaur seks dibiarkan dijual secara bebas. Bagitu juga dengan majalah-majalah serta VCD lucah. Disko-disko, kedai judi dan rumah urut melambak-lambak. Sepatutnya kerajaan bertindak melarang umat Islam daripada berkunjung ke sana dan minum arak dan sesiapa yang degil hendaklah dikenakan hukuman yang keras. Gejala murtad pula semakin berleluasa dan tiada undang-undang yang melarang umat Islam murtad dikuatkuasakan. Ini menunjukkan kelemahan UMNO dalam membela nasib umat Islam di Malaysia.
Apabila rakyat Malaysia khususnya Orang Melayu mengetahui kelemahan UMNO , PAS pula yang dipersalahkan atas alasan memfitnah dan memecahbelahkan masyarakat Melayu. Kegagalan UMNO menangkis hujah-hujah sebegini menampakkan lagi kelemahannya. Bagaimana PAS boleh dikatakan sesat sedangkan ramai ulama, golongan intelek, professional dan pelajar-pelajar universiti menyertainya. Hakikatnya bukan Orang Melayu berpecah belah tetapi UMNO yang pecah dan hendak karam kerana Orang Melayu lebih berminat menyertai PAS atau Parti Keadilan Nasional.
reformis alaf baru
http://www.escalix.com/freepage/nadikeadilan/