Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Buat soalan berunsur politik: Guru boleh dikenakan tindakan ISA?

Sudah lama juga saya tidak menatap suratkhabar arus perdana. Bukan apa, kadang-kadang terasa rugi terpaksa membayar seringgit dua puluh sen semata-mata untuk membaca berita yang diputarbelit dan propaganda yang tiada kesudahannya. Sebagai pelajar universiti, sangat perlu untuk saya mengetahui isu-isu semasa. Tapi tak semestinya tak baca suratkhabar sehari, kita tak tahu segala-galanya. Banyak cara lain untuk mengetahui apa yang berlaku di sekeliling - lagipun baca suratkhabar sekarang nie tak ubah macam baca majalah politik.

Pagi tadi saya ke perpustakaan. Berehat di ruang utama sambil menonton tv terlihat pula akhbar Berita Harian di atas meja. Cerita muka depan, Daim berhujah tentang kenaikan harga petroleum. Mmmm...masih nak pertahankan setiap tindakan, detik hati saya. Entah macam mana, tangan ini menggapai akhbar yang entah 2-3 minggu saya tak pegang. Mula-mula tenangkan fikiran buka ruangan sukan. Terhibur juga membaca berita prestasi baik skuad hoki negara. Buka pula ruangan hiburan - tiada yang menarik. Hati ini memberanikan diri membaca ruangan dalam negeri. Muka pertama diselak terkejut membaca tajuk berita 'Soalan Politik: Guru Boleh Ditahan Dibawah ISA'. Setelah diamati, Ketua Menteri yang jatuh terjelepuk menjadi Sang Timbalan Menteri Di Kementerian Dalam Negeri membuat ancaman bahawa guru yang menyediakan kertas soalan peperiksaan berunsur politik boleh ditahan bawah ISA. Turut dipaparkan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan bahawa guru yang menyediakan soalan peperiksaan berunsur politik boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan kerana meracuni pemikiran pelajar. Ahhh...tak boleh jadi, detik hati saya. Lantas suratkhabar ditinggalkan, saya pun melangkah keluar dari perpustakaan. Dalam hati..."menyesal aku baca suratkhabar".

Sebenarnya, apa yang terjadi merupakan impak dari sikap kerajaan yang takut kepada bayang-bayang sendiri. Bila sudah ketakutan...batang lidipun disangka ular, tunggul kayu pun disangka hantu. Teramat-amat pelik sekali, sebuah kerajaan yang cukup gah melaungkan demokrasi sanggup menggunakan akta drakonian ISA dan akta hasutan untuk mendakwa guru-guru yang membuat soalan peperiksaan yang berunsur politik. Kalau begitu dahsyatlah guru tersebut kerana satu dua soalan peperiksaannya mampu menggugat keselamatan dan keharmonian rakyat di negara ini. Malulah sedikit pada dunia, menggunakan ISA untuk menewaskan seorang guru hanya kerana beberapa soalan peperiksaannya.

Akhirnya saya terfikir bahawa, tradisi keilmuan dan intelek di Malaysia sudah mencapai penghujungnya. Kita sudah tiba ke satu peringkat di mana, pembelajaran itu merupakan satu konsep di mana murid perlu menerima setiap apa yang disuap oleh gurunya. Guru pula hanya perlu mengajar apa yang telah ditetapkan untuk diajar. Persoalan di luar topik tidak dibenarkan. Pertukaran idea dilarang. Perbincangan sihat hanya membuang masa. Jika itu sikapnya, maka sekolah hanyalah tempat belajar yang statik. Lebih menarik, jika persoalan yang lebih meluas dibincangkan seperti persoalan agama, sosial mahupun ekonomi, maka ianya akan dicap menyebabkan gangguan kepada keharmonian kamu. Jenaka bukan? Tapi itulah yang terjadi...

Nasihat saya, kerajaan tidak perlu menggunakan akta yang ada untuk menunjukkan kuasa dan kemegahan. Rakyat telah mula jelak dengan pelbagai ancaman kerajaan semata-mata untuk melihat mereka melutut dan memberikan sokongan palsu kepada mereka. Undang-undang di tangan pemerintah yang zalim tidak ubah seperti pisau yang akan memakan diri sendiri.

Saya teringat sewaktu saya di tahun pertama. Kerana kepingin sangat, saya mengambil subjek 'Konsep, Struktur dan Dasar Politik Malaysia'. Perbincangannya sihat. Malah dalam soalan kertas kerja projek, saya diminta membuat kajian perbandingan parti-parti politik di Malaysia. Setiap isu dikupas dengan semangat intelek. Kadangkala memuji, kadangkala mengkritik. Tetapi semuanya berasaskan ilmu. Bila tiba peperiksaan akhir, soalannya semua berunsurkan politik. Subjek 'Sains Politik', takkan la soalan peperiksaan akhir berkaitan sukan pula. Akhirnya saya terfikir, ingin memberi amaran kepada pensyarah saya...takut-takut dia merengkok di penjara bahana ISA, hanya kerana menyediakan soalan peperiksaan berunsurkan politik. Malunya Malaysia!!

Student Life
Nadzryan Faqrul


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com