Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Memperingati September 20 1998

Sewaktu Pak Long di tahun pertama di UM, Pak Long cukup kenal dengan Anwar Ibrahim yang pandai berpidato dan sentiasa mempunyai banyak hujah untuk mematahkan hujah lawan. Dulu Pak Long selalu doakan diberi Allah kebolehan sedemikian. Sekarang pula Pak Long selalu doakan agar dikurnia Allah SWT salah seorang dari anak remaja Pak Long semangat juang dan kebolehan yang sedemikian.

Bila Anwar bawa geng PBMUM untuk menconteng cat beberapa buah bas kepunyaan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan beberapa tanda jalan di dalam kampus kerana tidak menggunakan Bahasa Melayu Pak Long turut sokong. Kemudian bila dia "dihentam" oleh Presiden PMUM di dalam akhbar Malay Mail kerana kononnya bertindak melakukan acts of "vandalism and destruction" dia cabar Presiden untuk berdebat di Dewan Tunku Canselor (DTC). Tonggang terbalik jadinya Si Presiden kena hentam di atas pentas DTC. Akhirnya Si Presiden letak jawatan. Pak Long sokong seratus peratus! Anwar Ibrahim seorang pejuang yang petah dan bijak!

Bila Anwar ajak mahasiswa berdemo di Kg Kerinci untuk "menyambut" Tanom Kittikachorn (PM Thailand ketika itu?) Pak Long pun turut serta. Bila RU mengamok Pak Long lari lentang pukang, tak tahan dengan bomb pemedih mata. Semangat yang berkobar luntur seketika dek nafas yang tersekat-sekat kena asap perit! Tapi Pak Long mendapat perkhabaran yang Anwar teruk dibelasah kerana cuba membela seorang mahasiswi yang lemah yang dihentam RU! Pengorbanan sedemikian memang sudah menjadi lumrah hidup Anwar Ibrahim! Bila kebanyakan "pejuang" gentar dia terus mara! Itu yang membuat Pak Long kagum dengan "kawan se negeri" Pak Long ni! Banyak lagi contoh-contoh "perjuangan jalanan" yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim yang boleh dijadikan kayu ukuran mengenai iltizam perjuangan beliau; contohnya isu kemiskinan Baling!

Kepercayaan Pak Long bahawa Anwar "ingin" menjadi agen perubahan masyarakat menjadi lebih mantap bila Anwar mengasaskan ABIM pada sekitar pertengahan tahun tujuh puluhan. Pak Long tidak turut serta menjadi ahli ABIM oleh sebab-sebab tertentu, tetapi Pak Long tetap menjadi "simpatisan" Anwar!

Walau bagaimanapun, tiba 1982 Anwar masuk UMNO! Pak Long terkejut besar. Bagi Pak Long, peristiwa tersebut paling tidak dapat Pak Long terima. Bagaimana mungkin Anwar Ibrahim bersekongkol dengan parti yang, di dalam pengetahuan dan pengalaman peribadi Pak Long, paling bercanggah dengan "idealisme" Anwar Ibrahim yang Pak Long kenal. Pak Long kenal benar dengan "perjuangan" UMNO dan orang-orang UMNO. Mak, Ayah, saudara mara serta seluruh kampong Pak Long semuanya UMNO. Tapi itu bukannya menjadikan Pak Long setuju dengan UMNO. Malah, lagi dekat Pak Long kenal UMNO lagi Pak Long tak setuju. Kalau nak disimpulkan dalam perkataan yang ringkas, semua yang berkaitan dengan UMNO tu adalah paling tidak adil dan feudal, malahan lebih feudal dari Prince John di zaman Robin Hood!

Benak Pak Long langsung tak mahu faham! Bila kawan-kawan kata Anwar akan membawa perubahan di dalam UMNO Pak Long hanya mencebeh mulut. Dalam hati Pak Long selalu bertanya, "apa yang akan mengubah siapa?". Bila Anwar jadi menteri dan sudah "berlagak" dengan "designer suit" kesana kemari hati Pak Long selalu mengiakan bahawa Anwar telah "diubah". Bila Anwar jadi TPM dan kesana kemari dengan "outrider" dan S350 (ke S500?) "confirmation" di dalam hati Pak Long sudah "total"! Habis "terubah" Si Anwar Ibrahim! Pak Long terus melupakan hasrat melihat "pejuang" tulin membawa perubahan.

September 1998! Anwar disingkir habis-habisan! Dihina habis-habisan! Pak Long hampir berkata "padan muka Anwar!". Pada peringkat awalnya Y.B. Mohamad Sabu pun kata "sapa suruh dia masuk tong najis!! " (lebih kurang gitulah). Tapi hati Pak Long menangis. Aku tak akan percaya! Ini kerja gila! Di dalam benak Pak Long tersirat satu jenis "rasional" yang mengiakan bahawa kerja begini hanya mungkin berlaku dikalangan UMNO. Pak Long pernah melihat perkara fitnah memfitnah berlaku di kalangan UMNO kampong. Rupa-rupanya ia berlaku juga sebesar ini! Pak Long hanya memohon, " Ya Allah! Berikan aku keupayaan melihat yang haq sebagai haq dan yang bathil sebagai bathil,.... Bukan sebaliknya. Janganlah Kau sesatkan hamba Mu yang kerdil ini.."

Sudah hampir dua tahun berlalu. Pak Long masih kebingungan. Semua yang berlaku "do not add up" kata orang putih! Tetapi kepercayaan dan tawakkal Pak Long kepada Allah SWT selalu mengingatkan hati kecil ini bahawa segala yang berlaku dan berlalu mesti ada "sabab musabab"nya. Doa orang yang ikhlas mana mungkin terhijab. Niat suci perjuangan mana mungkin tersia. Dari zahirnya, niat seorang pejuang bernama Anwar Ibrahim adalah ikhlas - masuk UMNO untuk "membuat perubahan"; untuk menjadikannya lebih adil, dan tentunya lebih "Islamic". Hati kecil ini selalu ditenangkan dengan pujukan-pujukan seperti; "..masih terlalu awal, perjuangan memakan masa..", atau "..kita perlu bersabar, perjuangan itu memerlukan pengorbanan,...". Entahlah!!

Tetapi sifat bersyukur (jangan sampai dituduh tak bersyukur dek UMNO!!!) dengan pemberian Allah SWT telah membuahkan beberapa "rasional" dibenak hati Pak Long. Baru sekarang Pak Long faham!

(i) Adakah perlu Anwar terus berada di dalam UMNO untuk "merobah" parti itu? Tak perlu! Sekarang sudah terubah sedikit demi sedikit.

(ii) Bukankah UMNO hari ini, 2 tahun selepas tersingkirnya Anwar Ibrahim, sudah banyak berubah? Dari parti yang diminati ramai kepada parti yang hampir telah disingkirkan oleh orang Islam.

(iii) Rakyat sudah berani membantah dan mengkritik pemerintah yang dirasakan tidak adil. Inilah perubahan yang perlu berlaku.

(iv) UMNO terpaksa berubah untuk mengambil hati orang Melayu kerana "grass root" Melayu sudah berani bersuara.

Inilah dia perubahan yang sedang berlaku sedikit demi sedikit. Mungkin bukan perubahan seperti sekarang yang diniatkan oleh Anwar semasa "terjun" ke dalam UMNO dengan menggunakan payung terjun yang disediakan oleh Dr Mahathir dulu. Tetapi, bukankah perancangan Allah yang lebih baik? Mereka merancang, Allah merancang. Perancangan Allah lah yang lebih baik ( Terima kasih kepada YB Mohamad Sabu kerana sering mengingatkan kita akan ayat ini!).

Pak Long percaya bahawa perubahan yang sedang berlaku ini hanyalah sedikit dari perubahan besar yang akan berlaku di dalam hidup dan pemikiran rakyat Malaysia. Kita doakan dengan seikhlas-ikhlasnya agar perubahan kepada yang lebih baik ini akan dikurniakan Allah kepada kita semua rakyat Malaysia, UMNO dan bukan UMNO, BN dan bukan BN, PAS dan bukan PAS, BA dan bukan BA. Kita doakan perubahan kepada yang lebih baik. Kita tidak bersetuju dengan pemerintah hari ini bukan kerana kita dengki mereka, tetapi kerana kita sayangkan negara Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk menyatakan yang haq dan menentang yang bathil demi kesejahteraan kehidupan rakyat. Menentang pemerintah tidak bererti menentang kerajaan. Rakyat tidak pernah memberi hak kepada pemerintah untuk memerintah Malaysia untuk selama-lamanya. Kita tentang dengan cara yang termaktub di dalam undang-undang negara yang kita cintai! Jangan sekali-kali dituduh kita menderhaka! Jangan juga dituduh kita tidak bersyukur!

Sekian. Wassalam. Selamat menyambut 20 September!

Kerana Mu Malaysia. Untuk Mu Malaysia. Demi Mu Malaysia

Yang Ikhlas

Pak Long (Kaki Demo Tahun 70an)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : [email protected]