KENYATAAN AKHBAR
DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
PRESIDEN PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
12 SEPTEMBER 2000
ROYALTI MINYAK: USAHA MEMBUNUH DEMOKRASI
Sekali lagi rakyat Malaysia menyaksikan penghinaan Barisan Nasional terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Sekali lagi rakyat yang cintakan keadilan melihat bagaimana BN memperkosa satu-satunya sistem yang cuba mereka tegakkan, iaitu demokrasi. Setelah mereka melanggar setiap peraturan demokrasi dalam pilihanraya yang lalu, kini mereka menunjukkan sikap tidak ‘gentleman’ dalam menghadapi kekalahan di bawah sistem mereka sendiri. Kini mereka masuk ke fasa yang lebih berbahaya, dengan cara menolak demokrasi malah turut menolak sistem federalisma yang menjadi asas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia.
Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Barisan Alternatif adalah kerajaan yang sah dan diiktiraf oleh perlembagaan persekutuan. Barisan Alternatif (BA) mendapat kemenangan atas keruntuhan dan kemusnahan BN yang ditolak oleh majoriti rakyat Terengganu. Kekalahan BN adalah manifestasi kegagalannya sendiri. Rakyat Terengganu mahu ditadbir oleh BA, mereka mahukan negeri mereka dibangunkan oleh pemerintahan BA. Mereka menaruh kepercayaan bahawa BA akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya. Mereka percaya BA boleh mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan yang ditanggung selama ini. Jika mereka mahukan BN, nescaya mereka kekal memilih BN dalam pilihanraya lalu, tetapi mereka telah membuat keputusan berpatah arang dan berkerat rotan dengan BN. BN harus bersabar menerima hakikat pahit ini dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh dianggap menolak pilihan rakyat, dan bertindak seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.
Sistem federalisma telah membahagi-bahagikan tugas dan fungsi kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengikut konvensyen dan undang-undang. Sikap saling menghormati batas dan sempadan masing-masing merupakan intipati sistem ini. Setiap negeri dalam sistem federalisma ini mempunyai maruah yang dinaungi oleh Sultan dan pemimpin negeri. Setiap hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan dibuat atas semangat kerjasama dua hala dan disahkan melalui prosedur dan tatacara yang telus. Sikap inilah yang mengekalkan keharmonian dan kelicinan hubungan negeri-persekutuan selama ini. Namun, segala keharmonian ini dihancurkan oleh tindakan-tindakan sebelah pihak kerajaan pusat.
Pengalaman Kerajaan Negeri Kelantan selama ini, yang tidak dilayan samarata seperti lain-lain negeri telah banyak kali dirakamkan. Kelewatan kerajaan pusat menyalurkan peruntukan kewangan dari geran ‘capitation’ mengikut jadual, umpamanya, telah menyusahkan perancangan dan perlaksanaan aktiviti pembangunan Kelantan. Kelantan mempunyai hak untuk dilayan (rights of equal treatment) seperti negeri lain. Akibat perasaan permusuhan mereka, maka rakyat Kelantan disusahkan. Ini amat tidak adil.
Kini Negeri Terengganu pula menerima nasib yang sama, semata-mata kerana ia kini diperintah oleh PAS dan Barisan Alternatif. Kerajaan Pusat secara kuku besi telah merungkai perjanjian yang dibuat antara Petronas dan kerajaan negeri pada tahun 1975 bagi menentukan pembayaran royalti secara tunai 5% daripada hasil pengeluaran minyak dari pesisir pantai Terengganu. Selama 22 tahun sejak 1978, pembayaran ini telah dilakukan tanpa sebarang masalah. Tiba-tiba sahaja, pembayaran yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan negeri mengikut perjanjian itu, tidak akan disalurkan lagi kepada kerajaan negeri. Kini sebuah Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) pula ditubuhkan dengan fungsi yang sama dengan kerajaan negeri. Langkah ini jelas menghina kedudukan kerajaan negeri yang sah.
Alasan kerajaan pusat yang mendakwa bahawa peruntukan tersebut bukan royalti tetapi Wang Ihsan adalah dalih yang dangkal. Perkataan tersebut tidak langsung disebut dalam mana-mana perjanjian Mereka menganggap mereka telah tersilap selama ini. Apa yang sebenarnya silap mereka lakukan ialah kegagalan kerajaan negeri BN selama ini menggunakan peruntukan itu untuk membangunkan rakyat negeri Terengganu. Kini negeri Terengganu kekal sebagai negeri kedua termiskin di Semenanjung, walaupun mempunyai kelebihan peruntukan daripada negeri lain. Sebenarnya kitalah yang berhak mempersoalkan kemanakah wang yang begitu banyak dibelanjakan, dan bukannya kerajaan pusat menyoal cara kerajaan negeri sekarang yang baru memerintah selama beberapa bulan.
Kerajaan Pusat sebenarnya menghantar isyarat yang cukup menakutkan. Ia memberitahu dunia bahawa ia boleh membelakangkan sebarang perjanjian rasmi sesuka hatinya. Ia memberikan kejutan kepada pihak perniagaan luar negara yang cergas mengadakan hubungan dengan negara ini. Tindakan yang sama boleh berlaku ke atas mereka. Iklim ini tidak baik untuk membina imej negara dan bertentangan dengan usaha membawa pelaburan luar ke negara ini. Kita mahu kerajaan pusat membatalkan hasrat keji mereka dan meminta maaf kepada rakyat dan kerajaan Terengganu. Kita juga mengingatkan Perdana Menteri bahawa menepati perjanjian adalah tuntutan Islam dan mengkhianatinya adalah menjadi suatu kesalahan besar.
PAS dan BA telah cuba untuk menunjukkan semangat perpaduan atas nama kepentingan negara, dengan turut menyertai sambutan hari kebangsaan di peringkat pusat dan negeri baru-baru ini. Nampaknya kerajaan pusat tidak tahu untuk mengukur kesetiaan kita kepada negara lalu mengambil pendekatan permusuhan dengan BA. Oleh yang demikian, PAS dan BA berjanji akan menentang niat jahat BN di Terengganu dan akan menggunakan pengaruh dan sokongan rakyat untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat negeri Terengganu. PAS berjanji bahawa episod ini akan berakhir dengan kemenangan bagi pihak kerajaan negeri BA. Kita tetap berpegang kepada apa yang sudah termeteri dan tiada siapa yang boleh mengabaikan pandangan kita dalam hal ini.
DATO’ HAJI FADZIL MOHD. NOOR
PRESIDEN PAS